SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
PERJANJIAN Hudaibiah sangat memberikan kesan kerana ia turut membawa kepada berlakunya pelbagai peristiwa lain termasuk melibatkan beberapa individu dan kisah mereka sangat memberikan pengajaran.
Ini termasuk kisah kisah Abu Bashir atau nama sebenarnya Utbah bin Usaid bin Jariah yang mana perjanjian Hudaibiah telah menghalangnya daripada mendapatkan perlindungan Rasulullah di Madinah.
Beliau seorang Muslim yang sangat taat pada Islam walaupun terpaksa hidup dalam keadaan yang begitu tertekan kerana menetap di Mekah.
Beliau pernah di penjara dan sudah tentunya diseksa dengan pelbagai seksaan yang teruk.
Tetapi Abu Bashir tetap bertahan, tidak sekali-kal meninggalkan Islam, sehinggalah pada suatu hari beliau mengambil keputusan untuk keluar dari Mekah dan menuju ke Madinah bagi mendapatkan perlindungan daripada Nabi Muhammad.
Beliau tidak lagi sanggup hidup di Mekah kerana di Madinah tentulah dia akan menjadi seorang Muslim yang bebas mengamalkan Islam.
Beliau berjaya melepaskan diri dari cengkaman pihak Quraisy dan terus melarikan diri dengan berjalan kaki tanpa henti merentas padang pasir yang jauh semata-mata untuk mendapatkan perlindungan daripada Rasulullah.
Namun tanpa disedari, Abu Bashir sebenarnya dikejar oleh dua orang kafir Quraisy untuk menangkapnya dan menyumbatnya ke dalam penjara.
Tetapi Abu Bashir akhirnya berjaya melarikan diri dan sebaik sahaja sampai di Madinah beliau terus menemui Rasulullah di masjid.
"Wahai Muhammad, aku datang dan berhijrah kepada kamu dan berikanlah perlindungan kepadaku dari kekejaman si kafir Quraisy.
"Selagi aku tidak meninggalkan Islam mereka akan terus menyeksa aku dan kini aku tidak lagi dapat bertahan dengan seksaan mereka kecuali mendapatkan perlindungan dari mu di sini," kata Abu Bashir.
Tetapi Rasulullah sedar tindakan baginda memberikan perlindungan kepada Abu Bashir bermakna melanggar syarat-syarat dalam Perjanjian Hudaibiah yang tidak membenarkan baginda menerima sesiapa yang melarikan diri dari Mekah malah baginda perlu memulangkan semula.
Tambahan pula, dua orang kafir Quraisy yang mengejar Abu Bashir akhirnya sampai di Madinah. Mereka juga segera menemui baginda dan menyampaikan surat dari pihak penguasa di Mekah yang menuntut supaya Abu Bashir dikembalikan kepada mereka sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian Hudaibiah.
Tentulah sangat berat untuk baginda untuk melepaskan Abu Bashir apatah lagi menyerahkannya kembali kepada pihak kafir Quraisy. Tetapi sebagai seorang yang berpegang kepada janji, baginda terpaksa memujuk Abu Bashir supaya kembali ke Mekah.
"Wahai Abu Bashir, aku sedar betapa besarnya pengorbanan yang telah kau lakukan kerana sanggup berhijrah seorang diri semata-mata melarikan dari pihak Quraisy yang tidak habis-habis menyeksa umat Islam.
"Namun sesungguhnya kami telah memberikan perjanjian kepada kaum Quraisy seperti yang kamu sendiri ketahui. Kerana itu sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu yang akan terlepas dari penindasan dan menikmati kebebasan, pada suatu hari nanti.
"Maka pergilah kamu kembali kepada kaum mu di Mekah dan Allah pasti akan bersama kamu," kata baginda.
"Ya Rasulullah, apakah tuan akan mengembalikan saya kepada kaum musyrikin yang selalu memfitnah saya dalam mengerjakan agama saya dan sedangkan saya sanggup ke mari dengan merentas padang pasir sejauh ini seorang diri tanpa henti," ujar Abu Bashir dengan nada kecewa.
"Aku memahami keadaanmu wahai Abu Bashir. Janganlah kamu bimbang pertolongan dan bantuan Allah pasti akan bersama kamu. Percayalah, malah kamu antara yang akan menyambut kami dan kemenangan untuk kita semua kembali bersatu di Mekah," pujuk Rasulullah.
Oleh kerana kata-kata baginda itu umpama sebuah jaminan, akhirnya Abu Bashir pun bersetuju dan mematuhi dan merelakan dirinya dibawa pulang ke Mekah oleh dua wakil pihak Quraisy itu.
Walaupun begitu Abu Bashir tetap mempunyai rancangannya tersendiri untuk melepaskan dirinya dari cengkaman pihak Quraisy dan tidak mahu kembali ke Mekah.
Helah Abu Basyir
Sepanjang jalan, puas beliau puas memikirkan cara untuk melarikan diri. Akhiirnya beliau mengambil kesempatan ketika ketiga-ketiga mereka berhenti di sebuah dusun di Zul Hulaifah.
Sambil-sambil mereka duduk berehat itu, Abu Bashir pun bertanyakan mengenai kehebatan pedang yang dibawa oleh orang Quraisy.
Beliau kononnya tertarik melihatkan pedang-pedang yang dibawa oleh mereka .
"Bolehkah saya melihat dan memegang sendiri pedang kamu itu dan saya ingin merasakan sendiri ketajaman pedang yang kelihatan begitu hebat sekali," pinta Abu Bashir.
Tanpa menyedari niat Abu Basyir yang sebenar, lalu salah seorang dari orang Quraisy itu pun menyerahkan pedang kepadanya.
Abu Bashir pun berpura-pura membelek-belek pedang tersebut sambil memuji-muji akan kehebatannya sehingga kedua-dua musuh yang berada di hadapan mata itu berasa sungguh bangga dan sombong diri.
Apabila melihat mereka begitu leka dan gembira dengan puji-pujian dari Abu Bashir itu, lalu Abu Bashir pun dengan pantas melibaskan pedang tersebut dan menikam sehingga mati salah seorang dari orang Quraisy tersebut.
Apabila dilihat rakannya telah mati, seorang lagi dari orang Quraisy itu segera melarikan diri.
Dia bukannya melarikan diri ke arah Mekah tetapi ke Madinah dan terus mengadap Rasulullah di masjid dan segera memberitahu kejadian Abu Bashir yang berjaya memperdaya mereka dan membunuh rakannya.
"Sahabat Tuan telah membunuh rakan saya, Jika saya tidak melarikan diri ke mari nescaya saya juga mati dibunuhnya," kata orang Quraisy itu.
Lalu dia meminta agar Rasulullah bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan oleh Abu Basyir dengan memulangkan sendiri Abu Basyir itu ke Mekah dengan diiringi oleh para pengikut Rasulullah.
Namun Rasulullah menolak permintaan orang Quraisy itu dengan mengatakan apa yang berlaku adalah diluar kawalan baginda tetapi mereka sendiri yang cuai menjaga Abu Basyir sehingga terpedaya.
Tidak lama kemudian Abu Basyir pun sampai ke Madinah dengan sebilah pedang yang terhunus lalu menemui Rasulullah.
Lalu beliau berkata: "Wahai Rasulullah, telah sempurna tanggungan tuan kerana tuan telah menyerahkan saya kepada kaum (musyrikin Quraisy) dan saya telah mempertahankan agama saya daripada difitnah atau dipermainkan.
"Kini saya bebas dan saya memohon agar saya dibenarkan untuk tinggal di Madinah untuk berada dalam naungan dan lindungan tuan."
Rasulullah tentu sahaja hendak menerima Abu Basyir tetapi baginda bimbang jika baginda kelak dituduh melanggar perjanjian Hudaibiah.
Oleh itu permintaan Basyir buat kali kedua itu masih tidak dapat diterima oleh baginda.
"Jika begitu lepaskan saya untuk saya tinggal di mana sahaja saya suka kecuali di Madinah mahupun Mekah asalkan saya kini bebas dari cengkaman Quraisy dan dapat mengamalkan Islam dengan aman dan tenteram tanpa sebarang gangguan," kata Abu Basyir.
Baginda merestui permintaan Abu Basyir dan mendoakan agar Basyir memperoleh kehidupan yang beliau idam-idamkan.
Lalu Bashir memilih untuk menetap di sebuah dusun yang bernama Iesh yang terletak di wilayah Zil Marwah berhampiran dengan tepi laut yang lazimnya di lalui oleh para pedagang dari Madinah menuju ke Syam.
Dalam tempoh sekejap sahaja Abu Basyir kemudiannya dapat mengumpulkan umat Islam di desa itu, terutama mereka yang hendak melarikan diri dari cengkaman Quraisy di Mekah tetapi tidak boleh berhijrah ke Madinah ekoran dari Perjanjian Hudaibiah.
Seramai 70 umat Islam menetap bersama-sama dengan Abu Basyir di desa Iesh dan mereka hidup aman tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment