بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, March 22, 2012

Berguru fahami hadis, bukan bersandarkan laman sesawang


Oleh Lokman Ismail

2012/03/22


HADIS Rasulullah SAW ialah sumber hukum dan panduan bagi umat Islam, selain  al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah dipertanggungjawabkan oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.


Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."



Setiap Muslim diperintahkan supaya menerima segala diputuskan oleh Rasulullah SAW dan melaksanakannya.


Dr Muhammad Ajaj al-Khatib dalam 'Usul al-Hadis Ulumuh wa Mustalahuh' mentakrifkan hadis sebagai: "segala sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat sama ada tindak tanduk fizikal atau akhlak, sirah sama ada sebelum atau sesudah menjadi Rasul."


Kepentingan al-Quran dan hadis digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya, Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik). 


Kaedah tradisi mencari hadis ialah menggunakan kitab hadis atau buku agama. Namun, keadaan sekarang sudah banyak berubah selari dengan perubahan teknologi moden. Kaedah melayari internet kini dimanfaatkan oleh mereka yang ingin mencari sesuatu hadis.


Kelebihan memperoleh hadis melalui internet ialah mudah. Dengan hanya menaipkan beberapa perkataan yang berkaitan di ruang 'carian', pencari akan dibentangkan atau diberikan keputusan 'carian' yang 'mungkin' dicari oleh pencari. 


Kelemahan memperoleh hadis melalui internet ialah masukan atau entri yang tidak bertanggungjawab. Gerbang internet boleh dimasuki atau ditembusi oleh sesiapa saja. Kelonggaran ini membolehkan sesiapa saja membuat entri tanpa ada tapisan. Akibatnya wujud hadis yang tidak tepat. Ia ditulis mengikut kefahaman atau ilmu yang tidak sempurna. 


Sebenarnya kefahaman mengenai hadis perlu mengambil kira latar belakang dan tujuannya. Contoh hadis riwayat Muslim dari Aisyah dan Anas yang bermaksud: "Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu." 


Ada pihak menjadikan hadis itu sebagai alasan untuk meletakkan hukum berkaitan perkara tertentu berlainan apa ditetapkan oleh ajaran Islam atas alasan Allah SWT telah membenarkannya kerana ia adalah urusan dunia yang mana manusia mengetahui keperluannya. 


Sebenarnya hadis itu jawapan Rasulullah SAW terhadap aduan seorang petani Ansar mengenai hasil kurmanya kurang disebabkan tidak dibuat cantuman debunga jantan dan betina berdasarkan 'pendapat' Rasulullah SAW bahawa tidak perlu dilakukan perkara itu. 


Petani Ansar tidak melakukan cantuman debunga kerana menyangka 'pendapat' itu satu 'perintah', sedangkan apa yang dinyatakan Rasulullah SAW itu hanya satu pendapat yang tidak semestinya betul. 


Lebih serius lagi apabila banyak ditemui hadis palsu dan daif yang digunakan pihak tertentu untuk kepentingan diri dan kelompok. Mereka menggunakan hadis secara bebas dan tidak konsisten dalam menjelaskan maksudnya. 


Sebenarnya Rasulullah SAW telah memberi amaran mengenai sifat pihak yang mengada-adakan perkara yang bukan daripada Baginda. 


Jika hadis sahih kerap disalahertikan oleh mereka yang tidak mahir ilmu hadis, inikan pula penyelewengan menggunakan hadis palsu dan daif. Mereka yang jahil ilmu hadis terus menjadikan hadis palsu dan daif untuk menyokong tindakan salah yang dilakukan. Bahkan, hadis itu dijadikan bukti bahawa mereka bertindak atas arahan atau kepeluan agama. 


Mereka yang berniat buruk terhadap Islam sengaja memasukkan hadis palsu dalam laman sesawang. Hadis palsu itu bukan saja hadis palsu yang sudah dikenal pasti oleh pakar hadis sebelum ini, tetapi mungkin juga hadis palsu yang baru dicipta. 


Ingatlah sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jauhilah daripada perkara yang direka-reka dan diada-adakan, setiap yang direka-reka itu adalah bidaah dan setiap yang bidaah adalah sesat." - (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi). 


Sebab itu, setiap Muslim perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan hadis palsu.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...