بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, March 18, 2012

Hukum fiqah fleksibel, beri keringanan pesakit tunai solat



Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

2012/03/18

SOLAT tiang agama dan sesiapa yang tidak menunaikannya diibaratkan sebagai meruntuhkan agamanya. Rasulullah SAW sangat menitik beratkan aspek solat malah sehingga saat terakhir hayat Baginda pesanan agar umatnya bersolat masih bermain di bibirnya yang mulia itu. 

Dalam apa keadaan sekalipun, solat tidak boleh sama sekali dilekakan termasuklah tatkala kita dilanda penyakit pada anggota tubuh badan. Namun, kajian sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang mendapati hanya 15 peratus saja pesakit Muslim yang menunaikan solat ketika terlantar di hospital sangat mengejutkan kita semua.


Islam memudahkan umatnya dalam mengerjakan sesuatu yang disyariatkan. Begitu juga dalam hal solat. Misalnya untuk berwuduk yang dikirakan oleh sesetengah pesakit mendatangkan kesulitan, maka Islam memberikan keringanannya.
Tetapi kena ingat bahawa selagi seseorang pesakit itu masih mampu berwuduk, maka hendaklah berwuduk sebagaimana kaedah biasa. 

Tetapi dalam kes di mana pesakit sudah tidak mampu untuk membasih anggota badannya ketika berwuduk, maka cukuplah sekadar dia mengusapnya walaupun dengan menggunakan sehelai kain basah. 

Hal bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyatakan, ‘apabila kamu sekalian aku perintahkan, maka kerjakanlah mengikut kemampuanmu.’ 

Dalam kes pesakit tidak boleh menggunakan air, kaedah bertayamum perlu digunakan. Ada pula sesetengah kes tertentu, pesakit mengeluarkan darah tidak henti-henti sehingakan sukar untuk berwuduk atau bertayamum. 
Bagaimana halnya dengan masalah sebegini? Darah yang mengalir tidaklah membatalkan wuduk kecuali darah yang keluar melalui dua jalan, dubur dan kubul. Selainnya pengaliran darah tidak membatalkan sama sekali wuduk sama ada darah itu dalam kuantiti sedikit ataupun banyak. 

Begitulah keringanan yang diberikan kepada pesakit agar urusan solatnya tidak terhalang disebabkan sesuatu penyakit yang menimpa. 

Dalam situasi lain, terdapat sesetengah pesakit mengalami kesukaran untuk menunaikan solat kerana dikatakan air kencingnya sentiasa menitis tanpa dapat disekat. Ulama berijmak bahawa dalam kes seperti ini, seseorang seharusnya meneruskan solat selepas berwuduk atau bertayamum meskipun air kencingnya menitis-nitis kerana dalam keadaan penyakit seumpama ini dianggap tidak membatalkan wuduk. 

Malah dalam permasalahan ketika mendirikan solat, Islam begitu mengambil kira kedudukan kesihatan seseorang umatnya. Langsung tidak memberi beban kerana ada kaedah tersendiri dalam pelaksanaannya. 

Pesakit yang sudah tidak mampu berdiri seperti orang biasa yang sihat, boleh bersolat dengan duduk. Jika secara duduk tidak mampu, harusnya dia solat dengan berbaring. Dalam sesetengah keadaan berbaring pun masih sukar untuk mengangkat atau menggerakkan anggota tubuh, maka tiada jalan lain lagi kecuali dengan menggerak-gerakkan saja anggota badan untuk bersolat. 

Malah seandainya menggerakkan anggota badan pun sudah tidak berupaya dilakukan, Islam membenarkan jalan terakhir, iaitu dengan isyarat di hati. 

Begitulah tingginya kedudukan solat dalam Islam sehingga dalam situasi apapun, ia tetap mesti ditunaikan apabila tiba waktunya. Betapa indahnya Islam memberikan kaedah untuk mempermudahkan umatnya agar dalam situasi apapun, dia mampu melaksanakannya. 

Sepatutnya ketika kita sedang ditimpa kesulitan akibat sesuatu penyakit, hati dan jiwa kita semakin mengingati kepada kematian. Dengan ingat kepada mati, kita menjadi semakin bertekun untuk mendirikan solat. 

Kesedaran dan keinsafan mesti tinggi bahawa apabila kita meninggal dunia, kemudian disemadikan di liang kubur, Malaikat Munkar dan Nakir akan mengajukan enam soalan yang antaranyanya ialah mengenai solat dan kiblat kehidupan. 

Jadi, bagaimana kita mampu menjawab seandainya solat diabaikan ketika hidup. Apakah kita hendak menyatakan kita tidak bersolat lantaran ditimpa penyakit dan terlantar tidak dapat berwuduk dan bersolat sedangkan kaedah begitu fleksibel diberikan untuk pesakit atau mereka dalam keadaan uzur. 

Kata Dr Abdullah al-Qarni, tokoh ulama dan penulis Arab yang terkemuka bahawa solat diwajibkan ke atas semua peringkat Muslim yang baligh lelaki dan perempuan, merdeka dan hamba, orang kaya dan miskin, orang bermukim dan bermusafir, orang sihat atau sakit, selama ia masih berakal. Dan ia tidak begitu bagi ibadat lain. 

Dalam isu terdapat ramainya pesakit yang dikatakan liat untuk mendirikan solat ketika berada di hospital, adalah wajar pihak terbabit bertindak secara proaktif berganding bahu untuk memberikan kesedaran dan seterusnya menyalurkan pengetahuan sebenar agar mereka faham mengenai keringanan kaedah dalam solat. 

Pihak berkenaan khususnya berkaitan dengan hal ehwal Islam juga wajar turun padang meninjau dalam usaha memantapkan pemahaman kepada pesakit. Pegawai agama mungkin sangat sesuai ditempatkan di hospital secara berkala kerana dengan pendekatan seperti ini akan mampu memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pesakit berhubung kewajipan solat hatta dalam situasi yang uzur.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...