بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, March 17, 2012

Ketahui hikmah di sebalik pensyariatan


Oleh ZUARIDA MOHYIN

SESUNGGUHNYA Allah SWT mensyariatkan agama Islam untuk memberi kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat. Malah Allah telah berfirman tentang martabat nabi-Nya SAW dalam surah al-A'raf ayat 157.


Firman Allah SWT yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi (tidak menulis dan tidak membaca), yang (namanya) dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Mereka orang-orang yang beriman kepadanya (nabi), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Mereka itulah orang yang beruntung.


Allah SWT telah menjadikan nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Demikian juga Allah menjadikan risalah terakhir yang diturunkan kepada manusia ialah agama Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.


Keistimewaan risalah (agama) yang diutus oleh Allah SWT ini adalah semuanya menyeru manusia kepada melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Telah Kami wahyukan kepada mereka agar mengerjakan kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya kepada Kami-lah (Allah) mereka selalu menyembah. (al-Anbiya: 73)


Semua ajaran tersebut diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada orang Islam semasa hidup di dunia agar dapat menikmati suatu kehidupan yang baik, kemudian berpindah daripadanya kepada kebahagiaan yang sempurna, kemenangan yang lengkap serta kemuliaan yang besar, iaitu mendapat keredaan Allah dan nikmat syurga-Nya di akhirat.


Setiap orang yang mengkaji dengan mendalam agama yang agung ini, akan mendapati bahawa ia dibina atas ajaran yang suci dan tujuan yang sangat murni.


Maka telah sempurnalah satu anugerah kepada umat Islam serta limpahan rahmat yang datang daripada segenap sudut kepada mereka. Dari satu sudut, umat Islam diperintahkan supaya melakukan ketaatan dan kebaikan serta dilarang daripada melakukan maksiat dan perkara-perkara buruk.


Pada masa yang sama, kita diperintahkan oleh Allah SWT agar mengikuti dan mencontohi serta meneladani sifat-sifat sempurna dan ciri-ciri istimewa penghulu segala manusia iaitu Rasulullah SAW.


Oleh itu, jadilah agama Islam ini suatu agama yang lengkap dari segenap perintah, larangan, syariah perundangan, kelebihan amalan dan galakan untuk melakukannya.


Yang pastinya, mengetahui keindahan Islam itu menjadikan seseorang Muslim itu bertambah kuat pegangan agamanya, bertambah cinta kepada-Nya serta bertambah kuat iltizamnya.


Malah keindahan ini juga dapat menjadikan orang yang terpesong daripada landasan kembali kepadanya, boleh membuka pintu yang besar daripada pintu-pintu iqtina' (penerimaan secara terbuka) agar mereka mendapat petunjuk dan menerima Islam, lalu selamat dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.
Suatu perkara yang tidak diragukan lagi, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama: "Umat Islam hari ini, bahkan penduduk alam ini seluruhnya sangat berhajat kepada penjelasan tentang agama Allah, menyedari keindahannya serta mengenali hakikat kebenarannya. Demi Allah, kalau sekiranya manusia hari ini mengetahui tentang hakikat sebenar agama ini, nescaya mereka akan berduyun-duyun memeluk Islam."


Justeru Telaga Biru Sdn. Bhd. telah mengambil kesempatan menggembleng usaha bersama Dr. Abdul Basit Abd. Rahman menerbitkan buku Keindahan Islam: Hikmah-Hikmah di Sebalik Pensyariatan yang mengandungi tujuh bab utama yang merangkumi topik berkaitan akidah, ibadat, kekeluargaan, larangan, perundangan, politik dan akhlak.

Buku ini akan memperlihatkan bahawa keindahan Islam itu bukan sekadar pada agamanya. Bahkan keindahannya merangkumi seluruh kehidupan manusia.


Ia sekali gus satu usaha dalam menyebarkan keindahan Islam yang akan menjadikan bumi yang dipijak ini lebih indah dan makmur untuk didiami. Sebagaimana firman Allah SWT: Negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.(Saba': 15)


Kitab Mahasin al-Islam (Keindahan Islam) ini adalah koleksi tulisan beberapa pensyarah Universiti Islam Madinah (UIM). Tulisan mereka ini kemudiannya telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa di bawah projek yang dikelolakan oleh Jabatan Kajian Ilmiah UIM.


Dr. Abdul Nasit Abd. Rahman yang merupakan bekas mahasiswa UIM yang telah diberi tanggungjawab untuk menterjemahkan buku asal ini kepada bahasa Malaysia.


Buku ini menerangkan tentang keindahan syariat Islam dalam seluruh perintah dan larangannya iaitu;
* Dari segi keimanan
* Ibadat
* Kekeluargaan
* Muamalat
* Jenayah
* Hubungan antara rakyat dengan pemerintah
* Akhlak yang mulia


Selain menjelaskan perintah dan larangan tersebut, ia juga menceritakan faedah-faedah, hikmah-hikmah, maslahat-maslahat dan pelbagai manfaat kepada manusia di sebalik pensyariatannya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...