Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
2012/03/12
KEADILAN bagi kaum lelaki dan perempuan
dipelihara dengan maha halus lagi maha teliti dari kekuasaan sifat Allah Taala.
Di bawah tapak kaki masing-masing, terdapat syurga maha indah. Syurga anak
lelaki atau perempuan di bawah tapak kaki ibu. Syurga isteri di bawah tapak
kaki suami yang ditaati. Maha bijaksana kekuasaan Allah Taala yang mencipta
hukum dan putaran ketetapan ini.
Dalam menjalani kehidupan berumahtangga,
terlalu berat cabaran dan masalah yang timbul sebenarnya sangat memerlukan
keperihatinan untuk memahami setiap apa berlaku dengan sabar, dan penuh reda.
Isteri perlu menyedari hakikat bahawa lelaki adalah pemimpin kepada
rumahtangga, dan tidaklah perlu berhasrat mengambil hak mutlak ini seandainya
apa yang diperintahkan oleh suami tidak bertentangan dengan syariat
Islam.
Firman Allah SWT:
“Lelaki adalah pemimpin bagi wanita
dengan kelebihan diberikan oleh Allah SWT” ( Surah An-Nisa: ayat 34).
Suami mempunyai ruang-ruang perlu dipenuhi
untuk menunaikan kewajipan lain yang diperintahkan oleh Allah Taala, seperti
kewajipan menjaga orang tua, menunaikan fardu kifayah seperti menguruskan
jenazah, melaksanakan hak kejiranan, hak kemasyarakatan serta ada kewajipan
bersama dalam peranan dan tanggungjawab menjaga hal keselamatan dan
kesejahteraan komuniti setempat. Selain, terdapat tuntutan utama iaitu
berdakwah di jalan Allah mengikut kemampuan.
Hakikat ini perlu difahami isteri tentang
kewajipan besar suaminya bukan sekadar kepada keluarga namun kepada agama,
bangsa dan tanah air.
Nusyuz atau perbuatan derhaka oleh isteri
sebagaimana difahami oleh masyarakat kita hari ini hanya berlaku sekiranya
isteri enggan menunaikan permintaan suami ke tempat tidur tanpa alasan
munasabah. Mengikut hukum syarak, keenganan isteri boleh dikatakan derhaka.
Ketidakperihatan isteri terhadap keinginan dan seks suami berupaya melahirkan
bibit-bibit perselisihan faham, prasangka dan sekiranya dibiarkan berlarutan
nescaya menyumbang berlaku keretakkan dalam rumahtangga.
Terlalu besar dosa bagi isteri yang enggan
melayan kemahuan suami sebagaimana hadis:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah
SAW bersabda: Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, dia
enggan, lalu suaminya tidur dalam keadaan marah, para malaikat melaknatnya
hingga ke subuh. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa
isteri perlu memberikan layanan yang paling baik, sopan dan manis kepada suami
untuk tidur bersama-sama semoga terhindar dari apa dikatakan derhaka. Syurga
dijanjikan kepada para isteri yang melayani kemahuan seks suaminya dengan baik
sehinggakan suaminya tidur dengan senang. Sabda Rasulullah SAW dalam
hadisnya:
“Mana-mana wanita yang tidur dalam keadaan
diredai suaminya maka dia berhak mendapat syurga”. (Riwayat Tarmizi, Ibn
Majah)
Sikap menolak kehendak suami secara kerap
tanpa ada sebab munasabah, bakal merubah emosi lelaki tidak keharuan, tidak
terkawal dan membentuk tindakan kasar serta sukar mengawal kemarahan ditambah
lagi dengan kemunculan bisikan iblis yang bertambah mudah membakar kemarahan
agar menjadi lebih parah.
Lihatlah betapa besarnya ganjaran kepada
isteri yang mentaati perintah suaminya. Sikap merendah diri para isteri untuk
menghormati dan melayani kehendak dan keperluan suami amatlah dituntut kerana
kaum perempuan paling mudah untuk masuk syurga dengan hanya mentaati suami
sebagaimana dijanjikan Allah Taala.
Kaum lelaki sebenarnya
dipertanggungjawabkan oleh Allah Taala dengan pelbagai tugas, selain ketua
dalam menguruskan rumahtangga yang merangkumi kewajipan mentarbiah isteri dan
anak-anak supaya akur dengan penghidupan Islam dari segi ibadat wajib yang
ditunaikan serta kewajipan lain seperti menutupi aurat.
Kegagalan suami menegur dan mengawal dengan
membiarkan anak dan isterinya terbiar aurat di mata masyarakat serta tidak
menghalang batas-batas pergaulan anak di bawah jagaan adalah satu dosa yang tak
tertanggung.
Kaum lelaki ditaklifkan oleh Allah dengan
pelbagai tanggungjawab, bukan sekadar pemimpin kepada sebuah rumahtangga namun,
ada tugas lain yang dituntut dalam Islam. Antara pokok persoalan yang bakal
didepani di hadapan Allah Taala untuk sampai ke pintu syurga adalah tentang
tugas lain sebagai khalifah di muka bumi seperti tanggungjawab dakwah terhadap
agamanya, usia muda yang digunakan. Apakah tanggungjawab terhadap saudara
seagama yang lain sewaktu hayatnya, sumbangan kepada negara dan sebagai
pemimpin yang punya pelbagai persoalan mesti dijawab.
Beban begitu banyak sebenarnya perlu
dipikul oleh kaum lelaki di atas muka bumi ini bukan setakat beban tugas
sebagai suami atau bapa kepada anak-anaknya merangkumi aspek-aspek yang lain
termasuklah kemestian solat berjemaah di masjid, berbuat baik kepada jiran
tetangga, keperihatinan kepada golongan miskin, serta keperluan berfungsi
sebagai anggota masyarakat serta adanya kewajipan melaksanakan fardu kifayah
seperti menguruskan kematian, melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar bahkan
adanya pelbagai tuntutan lain yang harus disedari. Maka, agak sukar bagi kaum
lelaki memasuki syurga Allah Taala selagi perkara-perkara ini tidak
dilaksanakan.
Lantaran, saranan dan peluang kepada kaum
wanita untuk memasuki syurga Allah dengan harus diberikan perhatian dan menjadi
keutamaan. Tiada jalan mudah ke syurga melainkan memerlukan pengorbanan dan
keimanan yang kuat selain, mentaati suami adalah jalan alternatif membolehkan
sampai ke syurga dengan cepat. Namun demikian kaum wanita juga perlu menjaga
hal fardu yang lain seperti solat dan mengekalkan kehormatan diri dengan akhlak
sempurna bersama memastikan aurat terjaga sebagai syarat yang lain perlu
dipatuhi sebagaimana hadis: Sabda Rasulullah: "Jika seorang perempuan
telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti
dia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu
Hibban)
Penulis merupakan guru Pendidikan Islam di
Sekolah Menengah Teknik Seberang Perai, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment