بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, March 18, 2012

Persoalan Agama: Cakap banyak, mulut celupar tanda akhlak buruk



Bersama Ustaz Zahazan

2012/03/18

SAOALAN:



SAYA ada beberapa soalan mengenai sikap seorang rakan saya yang mempunyai perangai menyakitkan hati. Kalau ditegur, dia kata memang begitu perangainya. Bolehkah seseorang yang mempunyai akhlak buruk berubah menjadi baik. Bagaimanakah yang dikatakan akhlak baik yang dikehendaki agama. 

RASHID,

Klang, Selangor DE


JAWAPAN:


RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Perbaikilah akhlak (budi pekerti) kamu sekalian.” Imam Ghazali menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana kita boleh menolak perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga boleh berlaku pada binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu boleh dijinakkan? Begitu juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya, dapat dijinakkan menjadi patuh serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam akhlak dan sikap.”

Orang yang menyatakan akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah, maka kita tanya kepadanya: 
“Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan yang kita dituntut untuk menyampaikannya, atau nasihat-menasihati antara satu sama lain, ataupun pendidikan.” 

Hakikat budi pekerti itu adalah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan. 

Jika yang terbit daripada perilaku itu perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun syarak, maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya, jika yang terbit adalah perbuatan jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat. 
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya orang yang terdekat kepadaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.” 

Sudah sepatutnya orang yang beriman dengan Rasulullah SAW bersemangat untuk menghiasi dirinya dengan semua bentuk akhlak mulia. Sehingga Rasulullah SAW mencintainya dan dekat dengannya di akhirat kerana sikap dan kelakuannya mengikut apa yang Baginda perintah. 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.” 

Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap, mutafaihiqun ialah orang yang sombong dan mutasyaddiqun ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah SAW dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh hingga tercapai cita-citanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...