Wednesday, March 7, 2012
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian
alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta
para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua manusia memiliki nafsu. Nafsu adalah anugerah Allah SWT kepada manusia.
Ada nafsu yang mendorong kepada kebaikan dan ada juga nafsu yang mendorongan
manusia kepada kejahatan.
Terdapat tujuh peringkat nafsu yang
dimiliki oleh manusia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga
dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup.
Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab,
"Saya anak jantan." Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin
dan berkuasa.
2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan din sendiri. Tidak
hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan,
sedih tapi buat lagi. Ada kalanya buat jahat sehingga dikenakan hukuman dalam
penjara. Janji tidak buat lagi tapi buat juga. Rasa sedih lagi dan buat jahat
bukan kerana seronok tapi lemah melawan nafsu. Walaupun sudah niat tidak mahu
buat lagi dan sudah serik, namun terbuat juga lagi. Contohnya, ketika lalu di
kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam
tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini
sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.
3. Nafsu Mulhamah
Erti pada lafaz ialah nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin,
diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya.
Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan
Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan
hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia
sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan (border).
Kalau tidak ada ribut atau ujian, jika mati insyaAllah selamat. Sebab sudah di
atas border tapi belum sampai ke seberang. Namun masih dalam bahaya kerana
apabila datang ribut, dia mungkin berbalik semula. Atau bila ujian datang,
walaupun tidak jatuh tetapi sudah mula goyang. Orang di atas border ini tidak
dikatakan tenang, masih dalam keadaan bahaya. Baru diberi ilham. Bila sudah
sampai ke seberang barulah, masuk kawasan selamat dan barulah dikatakan tenang.
4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan
kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji.
Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan
tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah
atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak
menggugatnya. Orang ini sudah menjadi wali kecil, sudah naik di atas border
orang soleh. Nafsu peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat, tidak
tergugat lagi.
Maka Tuhan mengalu-alukan ketibaannya, dengan firman-Nya yang bermaksud :
"Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu,
dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan
hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Surah Al Fajr
ayat 27-30)
Dari ayat ini, seolah-olah Tuhan tidak sabar hendak menyambut tetamu-Nya:
"Mari-mari, cepat-cepat Aku tidak sabar, Aku hendak jumpa engkau
ini."
Kemudian, dalam ayat tadi, Tuhan berfirman:
Maksudnya: "Kembalilah dalam keadaan redha kepada Aku, dan Aku redha
dengan engkau." (Al Fajr: 28)
Tuhan mengalu-alukan dan kalau mati pada waktu itu, dia selamat. Oleh kerana
dia sudah selamat, sebab itulah Tuhan menyeru. Manakala bagi orang yang
nafsunya belum selamat, dia akan mati dalam keadaan jikalau Tuhan hendak azab
pun boleh, hendak diampunkan pun boleh.
Semuanya atas sebab keadilan Tuhan. Kalau kita hendak mengharapkan kekuatan
diri sendiri, bimbang tidak selamat. Sebab itu kita mesti mencari kekuatan lain.
Di antaranya perbanyakkan selawat, berbuat baik, bertawasul dengan guru-guru
dan lain-lain, mudah-mudahan itu menyelamatkan. Allah berfirman:
Maksudnya: "Bergaullah dengan hamba-hamba-Ku (iaitu para rasul, para nabi
dan wali-wali), dan masuklah ke Syurga. Ku." (Al Fajr: 29-30)
Ertinya, cari-carilah sebab untuk mendapatkan rahmat dan Allah SWT. Bila
mencapai peringkat nafsu mutmainnah, baru¬lah selamat. Nafsu-nafsu di bawah
daripada peringkat itu tidak selamat.
5. Nafsu Radhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia me redhai apa sahaja yang
Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah
hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan
dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di maqam ini, bila kena pukul,
mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi. Nafsunya
sudah jadi malaikat.
6. Nafsu Mardhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan
mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi:
"Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran
Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."
Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah
mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata
yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.
7. Nafsu Kamilah
Nafsu peringkat ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah darjat atau peningkatan kepada nafsu
mutmainnah tadi. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke macam
ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya
setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita tingkatkan nafsu kita daripada
Ammarah atau Lawwamah kepada nafsu Mutmainnah dan seterusnya kepada nafsu
Radhiah dan Mardhiah. Beruntunglah sesiapa yang dipilih oleh Allah SWT untuk
dimasukkan kedalam hamba-hamba-Nya yang dirahmati dan diredai-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai
jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang redha dan
diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke
dalam syurga-Ku." (Surah al-Fajr ayat 27-30)
Sumber : Tujuh Peringkat Nafsu Manusia
No comments:
Post a Comment