بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, March 29, 2012

Kontang ilmu mudah tunduk tipu daya dunia

Sumber

Oleh Nik Salida Suhaila

2012/03/29

Modal insan susut jika guna teknologi terkini untuk hiburan, aktiviti melalaikan

KITA sentiasa dibiasakan bahawa buku melambangkan ilmu kerana di dalamnya tercatat segala yang perlu dipelajari. Ibarat cahaya yang menerangi kegelapan, ilmu dijadikan kewajipan ke atas setiap umat Islam agar mampu meninggalkan kejahilan.



Kepentingan ilmu diakui apabila Allah SWT menurunkan wahyu yang pertama kepada Rasulullah SAW iaitu Surah al-Alaq yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui-Nya.”


Tiada siapa yang tahu hakikat kebesaran Allah SWT tanpa membaca kitab suci al-Quran. Tidak juga jika tidak cuba memahami maksudnya melalui medium lughah (bahasa) yang difahami. Sama ada difahami melalui pembacaan, ajaran pakar tafsir yang ahli dalam bidangnya atau gandingan halaqah yang membincangkan makna setiap ayatnya, semuanya berbalik kepada pembacaan.


Darjat orang yang berilmu dengan yang sebaliknya juga wajar dibandingkan. Hakikat ini dirakamkan oleh Allah SWT dengan firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat sembilan yang bermaksud: “Katakanlah lagi kepada-Nya: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.”


Allah SWT juga meletakkan kedudukan orang yang berilmu itu lebih tinggi dan mulia, seperti yang disebut dalam surah al-Mujaadalah, ayat 11 yang mafhumnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dalam kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.”


Hari ini pena dan tulisan boleh dimanfaatkan dengan begitu mudah, kadangkala tanpa perlu berhujan dan berpanas, kita boleh membaca di skrin tanpa susah payah membelek helaian, yang tidak berkudrat pun boleh mendapatkan ilmu di layar komputer bila-bila masa, tinggal lagi kemahuan mesti dipaksa. 
Sudah tentulah kita membaca dengan harapan ilmu yang terkandung di dada semakin bertambah, supaya kita semakin matang dan berpemikiran dalam menerajui diri dalam kehidupan. 


Gencatan akhlak akibat terlalu leka dengan hiburan dan tuntutan material yang melampau menyusutkan modal insan yang berketerampilan dalam ilmu dan moral. Keadaan ini berlaku di mana saja di dalam dunia hari ini, cuma yang mempertahankan akidah dan keimanan ialah ilmu dan agama yang dijunjung. Bayangkan jika ilmu tidak lagi menjadi agenda negara, dan setiap warga memandang enteng pendidikan, sudah pastilah tiada apa lagi yang tinggal.


Manusia yang dilantik sebagai khalifah di bumi Allah SWT ini dibezakan dengan makhluk yang lain dengan kemampuan berfikir. Allah SWT mengajar hamba-Nya supaya memohon untuk ditambahkan ilmu yang ada, seperti yang difirmankan dalam surah Taha, ayat 114 bermaksud: “Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahlah ilmuku”.


Justeru, tuntutan menuntut ilmu khususnya berkaitan akidah, ibadat, akhlak, syariah dan muamalat amat dituntut supaya umat Islam tidak mudah terpesong dalam ranjau kehidupan di dunia yang terlalu mencabar ini. Banyak kisah mengajar kita supaya sentiasa beringat, kelonggaran akidah kerana tipu daya dunia juga berlaku kerana kita kontang ilmu, sehingga ada yang sanggup menukar agama, membunuh diri, minum arak, berzina, bersosial tanpa batasan hukum malah menggadaikan agama kerana wang ringgit, wanita dan kuasa yang sementara.


Dunia moden menuntut umat Islam mengejar kemajuan, sains dan teknologi yang menjadikan dunia semakin kecil perlu dihargai dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tetapi pencerobohan ke atas kehidupan peribadi menggunakan sains dan teknologi yang dikuasai dengan ilmu contohnya menunjukkan betapa ilmu tidak bermakna tanpa saringan akidah dan akhlak.


Ibu bapa sebagai guru pertama memberi pendidikan kepada anak perlu terlebih dulu mengisi dada dengan ilmu, walaupun ilmu bukan saja dilambangkan dengan segulung ijazah, tetapi juga contoh teladan yang baik untuk diikuti. Ibu bapa perlu menyediakan ruang secukupnya untuk mendidik secara formal mahupun tidak formal, agar setiap anak mengerti hakikat kepentingan ilmu sedari kecil.


Peluang untuk memilih sama ada untuk menuntut ilmu atau tidak adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku pada hari ini kerana sebagai sebuah negara yang semakin disegani seluruh umat Islam di dunia, ilmu adalah lambang ketinggian dan kebanggaan negara kita. 


Biarlah setiap Muslim berbeza dengan yang lainnya kerana ilmu. Di kala dunia Islam resah kerana ekonomi yang susut, akhlak yang merosot, perpaduan yang direnggut, tanah air yang direbut dan politik yang serabut, inilah masanya umat Islam harus kembali kepada ilmu sebagai modal untuk membina kembali umat Muhammad yang hebat.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...