Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
2012/03/22
Beri anak kasih sayang sama rata, buat teguran dalam bentuk nasihat
SESEORANG ibu bapa harus berusaha keras untuk memberikan didikan terbaik kepada anak. Kejayaan dan kelangsungan hidup anak banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan ketika mereka masih kecil. Jika mereka membesar dalam ruang pendidikan yang baik dan sempurna maka pastinya kesan baik jugalah yang akan mereka peroleh dan seterusnya membesar dengan amalan hidup yang murni.
Pendidikan sempurna dalam agama dan budaya hidup adalah sangat mustahak sekali memandang arus semasa yang menggambarkan suasana gejala sosial yang begitu gawat seperti gejala merempit, melepak, kes ragut, membuli rakan sebaya, gengsterisme dan pelbagai lagi ragam tidak berakhlak dalam kalangan generasi muda tentu menakutkan kita dan sudah tentu juga kita tidak mahu anak-anak kita terbabit sama dalam gejala negatif berkenaan.
Dalam usaha kita mendidik anak, ada koleksi nasihat yang pernah disampaikan oleh seorang ulama terkenal, Syeikh Muhammad Said Mursi dan nasihat beliau itu tersimpan baik dalam kitab karangannya, ‘Fan Tharbiyah al-Aulad fi al-Islam’. Cukup baik kita amalkan nasihat yang beliau berikan itu kerana gabungan pendekatan yang disarankan mampu memberikan kesan positif dan efektif.
Sebelum merangkaikan untaian nasihat bermanfaat beliau ada mengatakan:, “Anda mungkin miskin harta sehingga tidak mempunyai sesuatu yang mampu diberikan seperti makanan dan minuman kepada anak. Tetapi, anda tidak boleh miskin dalam pendidikan, maka hormatilah anakmu itu dengan memberikan pendidikan yang baik.”
Memang tepat seperti yang dikatakannya kerana miskin harta masih berkemungkinan untuk diperoleh kebahagiaan tetapi andai miskin pendidikan pasti menjerumuskan anak-anak kita ke lembah yang bertentangan dengan aturan hidup beragama yang benar.
Di sini dipetik beberapa nasihat beliau yang boleh kita kongsi bersama dalam agenda memantapkan pendidikan kepada anak-anak. Kata Syeikh Muhammad Said Mursi: “Ketika anak anda melakukan kesalahan, perbaikilah kesalahannya dengan penuh kasih sayang dan bukannya dengan perasaan kecewa.”
Ini sebenarnya hampir menyamai teori pendidikan moden masa kini yang banyak menyarankan kaedah berhemah, lemah-lembut dan menyerap unsur kasih sayang ketika membuat pembetulan ke atas kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini penting kaedah tanpa kekasaran dan dengan perasaan kecewa dan marah akan banyak memudaratkan emosi anak.
Kaedah inilah juga yang pernah digunakan oleh sahabat Rasulullah SAW dalam memperagakan kaedah mendidik yang positif. Misalnya Saidina Umar al-Khattab dikatakan sangat menitikberatkan aspek pendidikan terhadap anak dengan menggunakan kaedah yang tepat. Kaedah yang Umar gunakan dikatakan berpegang kepada prinsip, ‘tegas tanpa menampakkan kekerasan dan lembut tanpa menunjukkan kelemahan.’
Kata beliau seterusnya: “Berhati-hatilah apabila anda mendapat cahaya mata yang baru, kerana anda tidak boleh mengurangkan perhatian terhadap anak pertama hanya disebabkan ada adiknya yang baru.”
Nasihat ini sangat sesuai kita ingat sentiasa kerana bukan sekali dua kita seakan-akan melonggarkan sedikit tumpuan kasih sayang apabila saja mendapat anak yang baru. Di sini beliau menjelaskan kepada kita bahawa unsur memberikan kasih sayang dan perhatian mesti atas dasar keadilan dalam kalangan anak. Inilah juga sebenarnya yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada kita supaya semua anak memperoleh kesamarataan dalam kasih sayang dan pendidikan.
Rasulullah SAW sendiri ada berpesan kepada kita dalam hal memberikan keadilan dalam urusan terhadap anak seperti kata baginda: “Sama ratakan anak-anak kamu dalam pemberian. Sekiranya saya suka melebihkan seseorang nescaya saya lebihkan perempuan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Sikap segelintir ibu bapa yang suka pilih kasih terhadap anak akan mengakibatkan timbulnya rasa cemburu dan kurang senang antara anak. Syeikh Muhammad juga menasihati kita: “Dekatkanlah anak anda kepada Allah dan Rasul-Nya serta balasan pada hari akhirat. Ketika mereka melakukan perbuatan baik, katakanlah padanya bahawa perbuatan itu adalah perbuatan yang diredai Allah. Dan jika dia melakukan kejahatan, katakanlah padanya bahawa perbuatan itu sangat dibenci oleh-Nya. Janganlah hanya mengatakan kepadanya bahawa perbuatan itu adalah salah tanpa memberikan alasan.”
Ini nasihat terbaik buat kita sebagai ibu bapa sebenarnya kerana menegur kesalahan anak tanpa memberitahu sebab kesalahan kurang meninggalkan kesan positif, sebaliknya apabila alasan atas larangan atau teguran yang kita lakukan akan memberi pemahaman kepada anak-anak mana yang betul dan yang mana salah. Inilah pedadogi pengajaran berkesan yang perlu kita terapkan dalam mendidik anak-anak. Kaedah begini sebenarnya telahpun Rasulullah SAW amalkan terlebih awal dulu dan ini menunjukkan kepada kita bahawa membuat teguran dan memberikan nasihat yang diikuti dengan penerangan akan lebih meyakinkan dan menyedarkan anak-anak kita.
Seterusnya Syeikh Muhammad mengatakan: “Didiklah mereka untuk bersikap lemah-lembut dan tidak kasar, kerana pada dasarnya anak-anak mempunyai sifat penyayang.” Memang betul apa yang dikatakannya itu sebab penerapan nilai mahmudah seperti bersopan santun, berpekerti mulia, suka menghormati orang lain, akan menimbulkan jiwa yang hebat pada diri anak-anak apabila mereka meningkat dewasa nanti. Anak-anak mengikut acuan yang kita sediakan, baik kaedah asuhan dan didikannya, maka akan baik dan mulialah akhlak dan sahsiah mereka.
Dalam kitabnya itu masih banyak nasihat dan tip berguna yang disarankan oleh Syekh Muhammad kepada kita semua dalam mendidik anak ke arah jalan yang benar dan berkesan. Cubalah cari kitab itu dan telitilah secara mendalam kerana ia sangat bermanfaat buat kita sebagai ibu bapa.
No comments:
Post a Comment