Waktu-waktu solat yang telah ditentukan oleh umat Nabi Muhammad SAW ialah Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. - Gambar hiasan |
ANTARA nikmat yang diperoleh daripada kehidupan di alam barzakh ialah melakukan solat dalam kubur secara hakiki dan bukannya khayalan ataupun imaginasi semata-mata. Banyak hadis yang diriwayatkan berhubung perkara ini. Antaranya daripada Anas ibn Malik beliau berkata, Rasullullah SAW bersabda: "Para Nabi sebenarnya hidup di dalam kubur mereka; melakukan solat." (Riwayat Abu Yaala dan Al-Bazzar, Majma 'Al-Zawaid: Juzu' 8: Halaman: 211).
Telah berkata Imam al-Hafiz al-Baihaqi dalam riwayat daripada Anas ibn Malik, daripada Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya para nabi tidak dibiarkan di dalam kubur-kubur mereka setelah 40 malam, tetapi mereka solat di hadapan Allah SWT sehinggalah hari ditiup sangkakala."
Imam al-Baihaqi berkata lagi: "Adapun
hidupnya para nabi selepas kewafatan mereka, terdapat bukti daripada
hadis-hadis yang sohih."
Kemudian Imam al-Baihaqi menyebutkan sebuah
lagi hadis melalui sanadnya: "Aku melalui (tempat adanya) Musa AS dan aku
dapati dia sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya."
Beliau juga menyebut hadis ini: "Aku
telah melihat diriku berada di dalam kumpulan para nabi, maka aku melihat Musa
AS sedang berdiri mengerjakan solat, beliau adalah seorang lelaki yang kurus
dan mempunyai rambut kerinting seperti lelaki dari kaum Syunu'ah (di Yaman),
kedapatan juga Isa anak Maryam AS yang berdiri menunaikan solat dan lelaki yang
paling hampir rupa dengannya ialah Urwah ibn Mas'ud al-Thaqafi, kedapatan juga
Ibrahim AS yang berdiri menunaikan solat, beliau serupa dengan sahabat kalian
ini (iaitu Baginda SAW), maka tibalah masa untuk bersolat dan aku pun mengimami
mereka. Apabila selesai solat, berkata seseorang, "Wahai Muhammad! Ini
adalah Malik penjaga neraka, maka ucapkanlah salam kepadanya." Maka aku
pun berpaling ke arahnya dan beliau mendahului aku mengucapkan salam."
(riwayat Muslim dan Abd Razzaq dalam Musannafnya)
Telah berkata al-Baihaqi di dalam Kitab Dalail
al Nubuwwah: "Dalam hadis sohih riwayat daripada Sulaiman al Taimi dan
Thabit al Bunani, daripada Anas ibn Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku
bertemu dengan Musa AS pada malam aku diperjalankan (isra') di Kathib al Ahmar
(suatu tempat di Palestin), dan dia ketika itu, sedang berdiri mengerjakan
solat di dalam kuburnya. Saya berkata (Hadis ini adalah sohih)." (Riwayat
Muslim daripada Anas RA)
Maka tanpa syak lagi, bahawa sebab
dikurangkan solat ke atas kita daripada 50 kepada lima solat sahaja adalah
kerana (nasihat) Nabi Musa AS yang telah wafat dan telah sempurna menunaikan
segala risalah Tuhannya.
Baginda Rasulullah telah kembali ke
pangkuan Allah SWT, tetapi Bagindalah penyebab sampainya sebesar-besar nikmat
kepada umat Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi Musa memohon supaya Nabi
Muhammad kembali menemui Tuhannya untuk meminta pengurangan.
Nabi Musa bersabda: "Mintalah kepada
Tuhanmu supaya dikurangkan (solat) kerana umatmu tidak akan mampu untuk
melaksanakannya."
Adakah peristiwa pengulangan Rasulullah itu
benar-benar berlaku atau sekadar khayalan? Adakah ia terjadi dalam keadaan jaga
atau tidur? Adakah ia benar atau suatu penipuan? Adakah Nabi Musa telah wafat
atau masih hidup sehingga waktu peristiwa ini berlaku?
Al Hakim telah meriwayatkan dan mensohihkan
hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA : "Bahawa Nabi ketika
melalui suatu lembah, baginda SAW bersabda: "Lembah apakah ini?"
Mereka menjawab: "Lembah ini dan ini." Baginda bersabda: "Saya
seakan-akan melihat Yunus AS sedang berada di atas seekor unta yang mempunyai
kekang daripada sabut kurma dan dia memakai jubah daripada bulu kambing."
Nabi Yunus AS bersabda: "Saya sahut
panggilan-Mu, ya Allah!" (Al-Suyuti, Al-Durr Al-Manthur, 4:234)
Dalam hadis yang lain menyebut: "Pada
suatu malam, aku melihat diriku berada di sisi Kaabah. Maka aku melihat seorang
lelaki berkulit sawo matang seperti lelaki berkulit sawo matang yang paling
segak yang pernah kamu lihat. Dia mempunyai rambut panjang secantik yang pernah
kamu lihat, dia telah menyikatnya dan menitis air daripadanya. Dalam keadaan
berteleku di atas dua orang lelaki - atau di atas tengkuk dua orang lelaki -
dia mengerjakan tawaf di Baitullah.
Aku pun bertanya, "Siapakah ini?"
Maka dikatakan, "Ini adalah al-Masih anak Maryam AS."
Dalam hadis yang lain menyebut:
"Sesungguhnya Rasullullah SAW melalui kawasan wadi al Azraq, lalu Baginda
SAW bersabda: "Aku seakan-akan melihat Nabi Musa AS sedang menuruni sebuah
bukit. Dia mengangkat suaranya mengucap talbiah. "
Kemudian baginda pergi ke lembah Harsya,
lalu bersabda: "Aku seakan-akan melihat Yunus ibn Matta AS di atas seekor
unta merah yang kerinting bulunya, memakai jubah daripada bulu dan kekang unta
daripada pulur pohon kurma, beliau ketika itu sedang bertalbiah." Dalam
hadis yang lain, disebut: "Aku seakan-akan melihat Musa AS sedang
meletakkan dua jarinya di kedua belah telinganya."
Hadis-hadis yang dinyatakan di atas
terdapat dalam kitab sohih. Demikian juga solat yang mereka dirikan dan Nabi
menjadi imam ketika solat bersama mereka. Peristiwa itu tidak dikatakan dilihat
dalam mimpi, hanya kerana sabda Baginda: "Aku melihat diriku" -
menunjukkan kepada tidur.
Ini kerana peristiwa Israk dan segala yang
disepakati berlaku dalam peristiwa tersebut berlaku secara jaga menurut
pendapat yang sohih yang menjadi pegangan jumhur ulama Salaf dan Khalaf.
Namun, sekiranya dikatakan juga ia berlaku
dalam tidur, maka apa yang disaksikan dalam mimpi para Nabi adalah benar belaka.
Sumber : UM
No comments:
Post a Comment