بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, March 17, 2012

Mensyukuri nikmat menambah lagi rezeki

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”


Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, pasti tidak setanding apa yang Allah kurniakan kepada kita. 


Dalam soal rezeki manusia selalunya berasa bimbang nikmat yang belum mereka miliki, namun sepatutnya perlu risaukan nikmat sedia ada dan belum disyukuri. 


Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian. 



Kita memerlukan bantuan orang lain. Contohnya, pelajar memerlukan guru untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga untuk mendapatkan pakaian kita perlu penjahit, penenun dan penanam kapas. Bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan, kita memerlukan doktor atau pegawai kesihatan. 


Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain. 


Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu. 


Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur. 


Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita. Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini. 

Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah 
besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya. 


Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri. 


Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini. 


Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur? 


Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya. 


Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan. 


Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala. 

Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat. 


Contohnya, anak perlu berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya kerana anak yang tahu bersyukur pasti membalas budi, membuatkan hidup mendapat keberkatan. 


Begitu juga kehidupan suami isteri, mereka perlulah sama-sama memikirkan kebaikan suami atau isteri, jangan hanya melihat kekurangan masing-masing. 


Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian. 


Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian. 


Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...