NABI Ilyas diutus oleh Allah SWT untuk mengingatkan kaum Bani Israel yang kufur, iaitu penduduk negeri Baalbek, sebuah daerah di Lubnan. Mereka menyembah berhala bernama Baal.
Nabi Ilyas merupakan keturunan keempat Nabi Harun. Baginda merupakan putera Yasin bin Fanhash bin Aizar bin Harun. Baginda berdakwah agar kaumnya tidak menyembah berhala. Berkali-kali Nabi Ilyas mengingatkan, namun mereka tidak pernah menghiraukannya.
Menyedari kaumnya tidak mematuhi seruannya, Nabi Ilyas meminta agar Allah SWT menurunkan azab-Nya. Maka datanglah bencana kemarau melanda negeri Baalbek.
Kisah Nabi Ilyas tidak banyak diceritakan dalam al-Quran. Nama Ilyas hanya disebut empat kali, iaitu dalam surah al-An'am ayat 85 serta surah al-Saffat ayat 123, 129 dan 130.
Nabi Ilyas mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyedarkan kaum Bani Israel yang suka menyembah berhala Baal. Ilyas mengingatkan kaumnya bahawa berhala yang disembah itu bukan Tuhan yang sebenarnya.
Baginda juga menyeru agar mereka takut
kepada Allah SWT yang mencipta alam semesta dan menegaskan bahawa Allah SWT
ialah Tuhan mereka. Namun kaum Bani Israel menganggap seruan Ilyas tersebut
bohong.
Kisah Nabi Ilyas yang memperingatkan
kaumnya itu terdapat dalam al-Quran surah al-Saffat ayat 124-127.
Baalbek merupakan sebuah kota yang sekarang
berada di Lubnan. Pada zaman Nabi Ilyas, kota itu didiami oleh bangsa Phonecia,
yang merupakan bangsa pelaut terkenal yang menyembah berhala Baal.
Sehingga sekarang masih ada sebuah bangunan
berhala bernama Heliopolis yang dipercayai tempat penyembahan Dewa Baal oleh
bangsa Phonecia.
Nama kota Baalbek sendiri diambil daripada
nama Baal, dewa bangsa Phonecia.
Allah SWT menurunkan azab berupa kemarau
panjang selama tiga tahun berturut-turut kerana kaum Nabi Ilyas derhaka. Semua
tanaman musnah dan haiwan mati kelaparan.
Kaum Nabi Ilyas akhirnya menyedari
kesalahan mereka dan bersedia meninggalkan berhala serta berjanji tidak
menyembahnya lagi.
Nabi Ilyas memohon kepada Allah SWT agar
menurunkan hujan. Namun setelah menikmati kemakmuran hidup, kaum Nabi Ilyas
kembali ingkar. Apabila mengetahui kekufuran kaumnya, Nabi Ilyas pun berdoa
agar Allah SWT menarik kembali nikmat yang telah diberikan kepada kaumnya dan
mereka sekali lagi ditimpa bencana yang lebih dahsyat daripada sebelumnya.
Nabi Ilyas mempunyai seorang anak angkat
bernama Ilyasa'. Baginda sering menemani Nabi Ilyas dalam melaksanakan tugasnya
berdakwah, terutama ketika usia Nabi Ilyas sudah meningkat tua.
Setelah Nabi Ilyas meninggal dunia, Allah
SWT mengutus Nabi Ilyasa' untuk meneruskan tugas ayahnya berdakwah kepada
kaumnya yang angkuh itu.
No comments:
Post a Comment