SELEPAS Allah SWT memberi ancaman terhadap mereka dengan ancaman azab pada hari Kiamat, kemudian, Dia mengancam dengan kengerian yang akan terjadi di dunia. Kemudian, akan berlaku kepada mereka seperti apa yang telah menimpa umat yang mendustakan sebelum mereka itu, contohnya kaum Firaun ketika mereka derhaka kepada Nabi Musa.
Akhirnya Allah SWT menyeksa mereka dengan seksaan yang hebat dan dahsyat. Kemudian, mengingatkan semula kepada mereka dengan akhirat dan menjelaskan kengerian (hari Kiamat) dengan perumpamaan anak-anak menjadi beruban dan langit berpecah belah kerana kehebatan hari tersebut.
Firman Allah SWT: Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. (al-Muzammil: 10)
Berkenaan dengan berhijrah atau menjauhi mereka ada tiga pendapat:
* Berpaling daripada mereka dan ucapkan salam seperti pendapat Ibnu Juraij.
* Berpaling daripada kebodohan mereka dan perlihatkan kepada mereka kecil permusuhan dengan mereka.
* Memulaukan dengan maksud selamat daripada celaan dan menyakiti.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman dan menyuruh rasul-Nya sentiasa bersabar atas apa yang dikatakan oleh orang-orang bodoh daripada kaum yang mendustakannya. Hendaklah beliau menjauhkan diri bukan dengan cacian."
Sayid Qutub berkata: "Iaitu tanpa melemparkan celaan, pemulauan, pergaduhan dan menunjukkan kemarahan. Inilah permulaan dakwah di Mekah dalam bentuk seruan yang ditujukan dalam hati sahaja begitu juga dengan penyampaian yang tenang dan penerangan yang jelas."
Menjauhkan diri dengan cara yang baik terhadap sindiran yang lancang dan pembohongan memerlukan kesabaran dan zikrullah. Kesabaran merupakan pesanan utama Allah yang berulang kali dihadapkan kepada setiap rasul-Nya dan hamba-Nya yang beriman.
Tiada seorangpun yang dapat menjalankan tugas dakwah kecuali kesabaran sebagai perisai dan senjatanya kerana dakwah itu jihad. Tiada bekal yang lain bagi pendakwah untuk menghadapi segala gelagat ini melainkan sabar dan zikrullah sebagai gabungan yang mantap di segenap tempat. Serahlah kepada-Ku kerana hanya Aku sahaja yang boleh menghukum dan mengazab mereka.
Firman Allah SWT: Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar. (al-Muzammil: 11)
Hamka berkata: "Biarkanlah mereka bersenang lenang dan bermewahan sementara waktu. Dunia ini hanya singkat dan tempat persinggahan bagi mereka yang beriman. Kekayaan dan nikmat dunia hanya sementara."
Allah Maha Berkuasa menentukan segalanya. Bila-bila sahaja ia boleh ditarik dan dicabut bahkan tiada jaminan untuk hidup sampai ke tua. Jika dipanjangkan umur, maka sampailah hajatnya tetapi setiap berlaku dan dirancang, maka perancangan Allah yang lebih terbaik.
Firman Allah SWT: Kerana sesungguhnya pada sisi kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. (al-Muzammil: 12)
Iaitu tali kekang dan api yang menyala-nyala seperti kata Ibnu Abbas.
Firman Allah SWT: Dan makanan yang menyumbat di kerongkongan dan azab yang pedih. (al-Muzammil: 13)
Ibnu Abbas berkata: "Yang menyumbat ke kerongkong sehingga tidak dapat masuk atau keluar."
No comments:
Post a Comment