بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, March 12, 2012

Islam tak beza antara si kaya, si miskin


Persaingan sihat rebut amalan salih
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2012/03/12

Islam tak beza antara si kaya, si miskin 

PADA suatu hari, serombongan fakir miskin daripada golongan Muhajirin datang mengeluh kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang kaya mengaut dan membolot semua pahala sehingga mereka mencapai darjat yang paling tinggi.”


Lantas Rasulullah SAW bertanya: “Mengapa kamu berkata demikian?” Ujar mereka: “Mereka menunaikan solat seperti kami bersolat, mereka pun berpuasa seperti kami berpuasa, mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah, dan mereka pula memerdekakan hamba, pada hal kami tidak memiliki kemampuan untuk berbuat demikian.”

Selepas mendengar keluhan golongan fakir miskin tadi, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat mengejar dan mengatasi mereka dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kamu, kecuali orang yang berbuat seperti perbuatan kamu itu?” Jawab mereka dengan bersemangat: “Sudah tentulah, Ya Rasulullah. Kemudian Nabi SAW berkata lagi: “Bacalah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali sesudah selesai solat kamu. 

Selepas menerima pesanan Rasulullah SAW, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dan terus melaksanakannya. Tidak lama kemudian, golongan fakir miskin pun datang kembali menghadap Rasulullah SAW sambil merintih: “Ya Rasulullah! Saudara kami orang kaya mendengar dan melihat perbuatan kami, lalu mereka pun berbuat seperti perbuatan kami. Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kurnia Allah SWT diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (Riwayat Bukhari) 

Demikian persaingan sihat dalam kalangan sahabat Rasulullah yang berlumba melakukan amalan salih. Perilaku si miskin dan si kaya sama-sama mulia dan saling berlumba ke arah kebaikan menuju keredaan Ilahi. Si kaya beruntung dengan kurniaan rezeki yang tidak menjadikannya seumpama Karun yang sombong dan kedekut. 

Dia sedar dan insaf semua nikmat itu hanyalah titipan daripada Allah SWT yang Maha Kaya yang mesti dimanfaatkan untuk meraih keredaan-Nya semata-mata. Kekayaannya itu tidak menjadikannya lupa diri dan juga lupa daratan, sebaliknya menyedarkannya untuk lebih banyak bersedekah dan menderma pada jalan kebajikan. 

Begitu juga dengan si miskin yang tidak mahu mengalah untuk beramal dan sentiasa mencari alternatif lain untuk bersaing dan berlumba secara sihat bagi mencari keunggulan beribadah di samping menginsafi kemiskinan material bukan satu penghalang untuk beramal yang terbaik ke hadrat Allah Yang Maha Agung. 

Kemuliaan manusia boleh dicapai dengan syarat manusia mengikut peraturan hidup ditetapkan Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT mewartakan secara rasmi bahawa Islam sebagai pedoman hidup manusia sejagat. Islam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya dan juga hubungan antara sesama manusia. 

Secara umumnya, kemuliaan dan kesempurnaan manusia itu dapat diperoleh apabila manusia memberikan perhatian serius kepada tiga aspek berikut iaitu aspek jasmaniah atau fizikal, spiritual atau kejiwaan dan hubungan luaran. 

Ciri kemuliaan pertama membawa maksud bahawa kemuliaan manusia yang sebenarnya sehingga darjatnya lebih tinggi berbanding makhluk lain terletak kepada aspek fizikalnya antara lain bentuk kejadiannya yang bagus seperti rupa wajahnya, bentuk badannya, pancaindera yang sempurna dan sebagainya. 

Begitu juga, kesihatan yang baik di samping umur panjang dapat menjamin kelangsungan hidup manusia sehingga dapat menempa kemuliaan yang dijanjikan Allah Taala. 

Dalam konteks ini, Allah SWT memerintahkan manusia supaya memelihara kesihatan, menjaga makanan dan minuman yang halal lagi bersih, menjaga kebersihan diri dan alam sekitarnya supaya tidak dijangkiti penyakit yang berbahaya, sentiasa bersuci daripada sebarang kekotoran, melakukan riadah yang boleh memberikan kecergasan tubuh badan dan sebagainya. 

Pada masa sama, manusia juga diberi peringatan oleh Allah SWT supaya tidak melakukan larangan atau apa juga amalan bercanggah dengan syarak dan nilai hidup murni. 

Dalam aspek kejiwaan pula, manusia akan menjadi mulia dan sempurna apabila ia didasari keharmonian tiga faktor utama iaitu iman, ilmu dan akhlak. Apabila tiga faktor itu menghiasi jiwa seseorang dan kemudian mewarnai perhiasan peribadinya dalam realiti hidup, bermakna dia mencapai kemuliaan dalam hidupnya. 

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: Bukanlah kaya itu kerana banyaknya harta, sebaliknya kekayaan yang sebenarnya itu ialah kaya hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Ciri kemuliaan manusia yang ketiga pula ialah aspek hubungan luaran iaitu lingkungan persekitaran baik dan sesuai kepada aspek fizikal dan kejiwaan manusia dalam melangsungkan hidup ini dengan bahagia serta sejahtera. 

Persekitaran yang baik ini biasanya dihidupkan oleh kelompok keluarga terdiri daripada anak dan isteri, jiran tetangga dan masyarakat. Tanpa persekitaran yang baik ini, kemuliaan fizikal dan kejiwaan manusia tidak akan tercapai dan tidak ada maknanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...