Jason Hamza Perez berusaha membantu mereka yang hidup di jalanan kembali kepada jalan kebenaran. |
Susunan ZUARIDA MOHYIN
ISLAM telah membuka mata anak muda
kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat ini yang suatu masa dahulu
terlibat dengan penjualan dadah di jalanan sebelum beralih ke dunia hiburan hip
hop.
Dua mimpi yang menjadi igauan sepanjang
hidup bergelumang dengan dosa itu akui Jason Perez ialah dia pasti akan meringkuk
dalam penjara ketika usianya mencecah 21 tahun.
Manakala mimpi keduanya pula ialah walau
bagaimanapun dia cuba mengelak semua itu daripada berlaku, dia tetap akan
berkesudahan dengan kematian.
Rupa-rupanya, kedua-dua mimpi ngeri Jason
itu ternyata benar. Uniknya, Jason kini bernafas semula dengan nama Islamnya,
Jason Hamza Perez.
"Saya tidak tahu tentang nafsu. Islam
menyedarkan saya bahawa di jalanan anda selalu mencari musuh. Namun, dalam
Islam ia mengajar saya bahawa dalam rangka untuk menemukan musuh saya, saya
harus melihat diri di cermin terlebih dahulu. Hakikatnya, musuh saya adalah
diri saya sendiri iaitu nafsu saya," akui Hamza.
Tayangan dokumentari bertajuk, The New
Muslim Cool yang pernah menjadi isu hangat rakyat Amerika Syarikat suatu
ketika dahulu, sedikit sebanyak mengandungi pengalaman hijrah akidah dan
kerohanian Hamza sebaik bergelar Muslim. Dokumentari itu turut menyelitkan
pandangannya yang berketurunan Puerto Rico tentang agama.
Kini, Hamza telah mengucapkan selamat
tinggal kepada dunia muzik dan hip hop yang suatu masa dahulu digilainya.
Menurut Hamza, dia mengambil keputusan
muktamad itu dengan alasan memberikan lebih tumpuan kepada keluarga, membantu
mengukuhkan fungsi masjid dan melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan secara
profesional.
Malah isteri Hamza, Jennifer Maytorena
Taylor merupakan generasi keempat Muslim keturunan Afrika di Amerika Syarikat,
yang juga pengarah dan penerbit dokumentari, The New Muslim Cool.
Hamza membentuk sebuah komuniti yang
terdiri daripada orang keturunan Latin dan Afrika-Amerika yang mana akhirnya ia
berpindah dari Massachusetts ke Pittsburgh.
Dia menjadi begitu aktif dengan anggota
komuniti tersebut sehingga sanggup bekerja keras demi membantu insan-insan yang
terlibat dengan penagihan dadah keluar daripada kehidupan di jalanan.
Akhirnya, dia berakhir di penjara
sebagaimana yang sering dimimpikan sebelum ini. Ironinya bukan sebagai rakan
satu sel tetapi sebenarnya Hamza menjadi guru agama atau pendakwah di Penjara
Allegheny County.
Berkongsi cerita bagaimana dia boleh
bertukar menjadi seorang Muslim akui Hamza, dia mempunyai seorang teman bernama
Louie Ekuador. Mereka membesar bersama dan kemudian sama-sama juga terlibat
dalam penjualan dadah.
"Saya mencari kebahagiaan sebagai
orang muda, tetapi saya tidak pernah menemuinya. Saya mencuba kehidupan jalanan
dan dadah, tapi itu hanya membuat saya menjadi lebih tertekan.
"Biarpun kami berjaya mengumpulkan
wang yang banyak, sayangnya ia tidak memberi apa-apa kepuasan, jauh sekali
kebahagiaan. Suatu hari, sedang kami duduk melepak, kami didatangi oleh seorang
Muslim. Dia mula bercerita tentang Islam. Akhirnya kawan saya itu menjadi
Muslim," ceritanya.
Kebetulan pula, rumah kediaman Hamza
berhadapan dengan sebuah masjid. Cuma dia tidak pernah tahu tentang Islam dan
ajarannya. Satu-satunya perkara yang dia tahu mengenai Islam ialah mereka
membunuh kambing.
"Jadi, dalam masyarakat, masjid mereka
lebih dikenali sebagai tempat di mana kambing dibunuh. Memang benar, saya rapat
dengan bangunan itu tetapi tidak benar-benar tahu tentang apa yang terjadi di
dalamnya. Kawan saya, Louise akhirnya memeluk Islam dan menghilang diri selama
40 hari. Khabarnya, dia pergi dengan Jemaah Tabligh menyebarkan Islam.
"Namanya pun sudah berubah menjadi
Luqman. Suatu hari Luqman datang berpakaian serba putih dengan seorang syeikh
bernama Iqbal. Pada masa itu saya dan beberapa teman jalanan sedang bermain
dadu, minum, dan merokok. Saya terpegun melihat Louise, wajahnya kelihatan
bercahaya. Saya boleh melihat perubahan dalam dirinya.
"Jadi, saya terus meninggalkan yang
lain. Saat itu, syeikh ada bertanyakan sama ada saya percaya akan Allah yang
Esa dan Nabi Muhammad. Saya tahu tentang Allah tetapi tidak tentang Muhammad.
Melihat perubahan pada Louise, tanpa ragu-ragu dan teragak-agak, saya minta
diajar mengucapkan dua kalimah syahadah, di tepi jalan itu juga. Adik saya yang
menyaksikan insiden itu juga, ikut bersyahadah," katanya.
Terang Hamza lagi, berita pengislaman itu
diterima sedih oleh keluarganya. Pun begitu, apabila mendapati dengan cara itu
dia adik beradik bebas daripada dadah dan kegiatan berbahaya, ibu bapa mereka
merestuinya.
"Ibu saya sangat menyokong kerana saya
berubah menjadi seorang anak yang memberatkan ibu, membantu dalam urusan
keluarga dan melakukan apa sahaja yang dimintanya.
"Dulu sebelum menjadi Muslim, saya
tidak pernah ambil kisah tentang ibu. Perubahan dalam diri saya turut menarik
kakak saya untuk bergelar Muslim. Kemudian, salah seorang rakan saya ikut
jejak. Akhirnya, lebih daripada 55 orang kenalan saya memeluk Islam,"
jelasnya.
Langkah seterusnya yang diusahakan Hamza
ialah kembali ke tempat di mana mereka menjual dadah dan memasang papan tanda
bertanda Heroin membunuh kamu dan Allah menyelamatkan anda!
Hasilnya, ramai daripada mereka
terpengaruh.
Ditanya masalah yang dihadapi sebagai
Muslim jelas Hamza pada peringkat awalnya, dia bagai hilang arah kerana beranggapan
terpaksa menurut apa yang diperkatakan oleh Muslim lain.
"Saya jadi keliru apabila ada beberapa
orang Muslim, mengajar saya untuk melihat Muslim lain dan mengkritik umat Islam
lain. Antaranya dalam aspek penampilan seperti Muslim yang berjanggut panjang
dan 'pakaian aneh' mereka.
"Sampai satu peringkat, perbuatan
mengkritik orang menjadi lebih kerap sementara mengingat Allah menjadi sedikit.
Saya mulai rasa kehilangan nikmat kemanisan yang dialami ketika pertama kali
menjadi Muslim. Namun, saya lakukan transformasi besar bersandarkan pernyataan,
hanya melihat kesalahan diri, bukan kesalahan orang," katanya.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment