بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, March 20, 2012

Juraij difitnah kerana tidak menjawab salam ibunya

Kisah ini adalah sahih dan terkandung dalam satu hadis pada muka surat 511 di dalam Kitab Sahih Muslim terbitan Beirut, Lubnan.

Juraij adalah rahib yang terkenal dengan ketekunannya melakukan ibadah hinggakan dia membina sebuah biara khusus sebagai tempat untuknya beribadah.


Satu hari ketika menunaikan solat sunat, datang ibunya di luar biaranya untuk bertemu dengannya. Lalu si ibu memberi salam. Tatkala itu, hati Juraij berbelah bagi sama ada menjawab salam ibunya atau meneruskan solat sunat.


Lalu dia mengambil keputusan untuk meneruskan solat. Kemudian datang lagi si ibu memberi salam sehingga beberapa kali, semuanya ketika Juraij beribadah.


Juraij tidak menjawab salam ibunya hingga terlanjur daripada mulut ibu satu doa: “Wahai Juraij, semoga Allah tidak mencabut nyawamu sebelum engkau melihat wajah seorang pelacur!” Peristiwa itu membawa malapetaka kepada Juraij. Kutukan ibunya membuka pintu langit dan menggetarkan loh mahfuz. Kalam Allah mencatat kutukan ibu, malaikat beredar meninggalkan biara tempat beribadah Juraij.


Tidak lama kemudian, Juraij didatangi fitnah daripada seorang pelacur yang menuduhnya berzina dengannya. Berita ini sampai kepada pengetahuan pemerintah lalu diarahkan biara Juraij dirobohkan.


Lalu dipanggil pelacur itu bersama si bayi yang dilahirkan. Dengan izin Allah, bayi itu dapat berkata-kata dan menafikan Juraij adalah ayahnya. Saat itu Juraij hanya tersenyum, tahu bahawa kata-kata ibunya dulu dimakbulkan dan diizinkan Allah.


Namun selepas memohon keampunan daripada ibunya, Allah membantunya melawan fitnah itu. Begitulah kisah bagaimana hebatnya doa daripada ibu dan bapa untuk kita jadikan sebagai iktibar.


Dosanya hanya tidak menjawab salam kerana melakukan solat sunat, tetapi fitnah yang menimpa bukan sembarangan.


Jika berbuat ihsan kepada ibu bapa adalah tuntutan fardu ain, perbuatan mengabaikannya pula termasuk di antara dosa besar.


Antara dalil syarak yang jelas membuktikan perkara ini terkandung di dalam hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Amru apabila seorang lelaki Arab datang kepada Nabi SAW, lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dia dosa besar?” Nabi SAW menjawab: “Mensyirikkan Allah.” Kemudian dia bertanya lagi, “kemudian apa?” Lalu baginda menjawab: “Menderhaka kepada ibu bapa.” (Hadis riwayat Al-Bukhari) Dugaan berat yang sering dialami oleh anak adalah apabila ibu bapanya terlalu tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.


Dalam keadaan begini si anak perlu bersabar melayani kerenah mereka, jangan mudah melenting dan memarahi mereka, kerana perbuatan sedemikian menyakitkan hati mereka. Apabila hati mereka terguris, bermakna si anak menjadi derhaka.


Kasihilah ibu bapa seperti mana mereka mengasihi kita dan selalulah berdoa kebaikan untuk mereka.


Allah berfirman dalam surah Al-Israa’ ayat 25 yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku sewaktu kecil.”

Petikan daripada : Berdosa abai ibu bapa

Oleh 

Imam Muda Mohd Hassan Adli Yahaya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...