Pendidikan Islam penting diajarkan kepada anak-anak supaya mereka tetap beramal dengan amalan soleh. - Gambar hiasan |
PENDIDIKAN dalam Islam mestilah
bersandarkan kepada kalimah Islam. Ini bermakna pengertian pendidikan yang
digunakan kepada bahasa asal agama Islam perlulah dilihat agar kefahaman
tentang pendidikan Islam itu benar-benar dikuasai.
Justeru, pendidikan dalam Islam dari segi
bahasa Arab terdiri daripada beberapa perkataan utama, iaitu tarbiyyah,
tarbib, ta'adib, tadris, ta'alim, tazkiah dan riyadah.
Perkataan-perkataan ini semuanya membawa
maksud menjaga, mengasuh dan mendidik ke arah kebaikan. Pendidikan dalam Islam
yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah memberikan definisi yang menguatkan
makna yang tersurat dalam bahasa Arab.
Dalam kehidupan beragama, Islam tidak
memaksa seseorang memeluk menganuti ajaranya. Walau bagaimanapun, anak yang
dilahirkan oleh kedua-dua ibu bapa Islam sudah tentu akan dididik dengan agama
Islam.
Bagi yang bukan Islam, seseorang itu
diberikan kebebasan memilih agama yang disukai. Dalam hal kepercayaan lain taghut bermaksud
syaitan, berhala dan kepercayaan-kepercayaan yang menyesatkan.
Telah dijelaskan bahawa kesan-kesan buruk
amalan taghut antaranya masyarakat akan berpecah belah dan seseorang
itu akan dibenci oleh orang lain.
Selain itu ia akan mendorong seseorang
melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Seterusnya, perbuatan jenayah akan
berleluasa dalam masyarakat.
Dalam suatu riwayat Nabi SAW bersabda: Sufyan
bin Abdullah berkata; Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang Islam. Aku
tidak akan bertanya lagi kepada orang lain. Lalu Rasulullah SAW menjawab:
Ikrarkan (katakan): Aku beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur
(istiqamah). (riwayat Muslim).
Islam adalah agama yang benar-benar sesuai
dengan fitrah manusia. Terdapat beberapa hikmah berpegang dengan agama Islam.
Antaranya seseorang itu akan selamat di dunia dan di akhirat.
Juga terhindar daripada melakukan
kejahatan. Seseorang itu akan dikasihi dan diredai Allah. Kita akan dikurniakan
ketenangan dan ketenteraman dan memperoleh kejayaan dalam hidup.
Sebagai ibu bapa dan guru, perkara ini
hendaklah dididik kepada anak-anak di rumah dan pelajar di sekolah. Tugas
pengajaran dan pendidikan ini dapat dilakukan dengan baik dan sempurna sejak
seseorang itu masih kecil, remaja dan meningkat dewasa. Hal ini penting bagi
anak-anak supaya tetap beramal dengan amalan soleh.
Terdapat beberapa keburukan jika kita tidak
mengikut ajaran Islam. Antaranya jauh daripada hidayah Allah. Hidup dalam
kesesatan. Terdedah untuk melakukan kemungkaran dan suka melakukan kezaliman
dan amalan kebaikan tidak diterima.
Sikap Mukmin yang berpegang kepada agama
Allah. Antaranya melakukan ibadat kepada Allah, memiliki ilmu pengetahuan,
melakukan kebaikan kepada orang ramai menjauhi perkara-perkara yang tidak
berfaedah, berdaya maju dan berdaya saing.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda
yang bermaksud: "Peliharalah (perintah dan larangan) Allah, nescaya
kamu akan selalu merasakan kehadiran-Nya. Kenalilah Allah waktu kamu senang,
nescaya Allah akan mengenalimu waktu kamu dalam kesusahan kesulitan. Ketahuilah
apa yang kamu luput dari kamu adalah sesuatu yang pasti tidak mengenaimu dan
apa yang akan mengenaimu pasti tidak akan meleset daripada kamu. Kemenangan
(keberhasilan) hanya dapat dicapai dengan kesabaran. Kelonggaran bersamaan
dengan kesusahan dan datangnya kesulitan bersamaan dengan kemudahan." (riwayat
At Tirmizi).
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment