Oleh Mohd Ali Muhamad Don
2012/03/07
SENARAI 40 individu terkaya di Malaysia
bagi 2012 yang dilaporkan oleh majalah kewangan dan perniagaan Forbes,
baru-baru ini sudahpun diketahui umum. Daripada 10 individu yang menduduki
senarai teratas, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berada di tempat ketujuh sekali
gus satu-satunya individu Muslim yang tersenarai sebagai 10 orang terkaya di
Malaysia. Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa umat Islam masih jauh
ketinggalan dari aspek pemilikan kekayaan harta duniawi. Walaupun ia bersifat
sementara tetapi sebenarnya sangat signifikan dalam memelihara maruah agama dan
peradaban Islam sejagat.
Justeru Islam sangat menggalakkan umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh
untuk mencapai kebahagiaan juga kemewahan hidup di dunia, dalam masa sama
perbuatan meminta-minta dan terlalu berharap kepada orang lain adalah ditegah
lagi memalukan.
Malah dengan pembabitan setiap Muslim dalam
pelbagai profesion yang dihalalkan, umat Islam berupaya keluar daripada kancah
kemiskinan yang kemungkinan merosakkan akidah dan kepercayaan mereka.
Dari Hakim bin Hizam ra, katanya, Nabi
Muhammad SAW bersabda: “Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik
daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta).
Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah
ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai minta-minta)
Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon ditetapkan (agar tidak ada
bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.”
Oleh itu, setiap Muslim diseru untuk melipatgandakan usaha bagi mencapai status
hidup mewah ataupun sekurang-kurangnya berada di atas paras kemiskinan bagi
melaksanakan tuntutan agama yang berkaitan dengan aspek kewangan dan punca
pendapatan yang kukuh.
Dengan memiliki harta melebihi paras nisab, umat Islam berupaya untuk
menunaikan zakat yang diwajibkan. Ia sekali gus dapat dimanfaatkan oleh asnaf
yang memerlukan dalam usaha untuk mengubah taraf hidup mereka.
Golongan miskin misalnya boleh diberikan bantuan zakat untuk memulakan
perniagaan yang akhirnya apabila beroleh keuntungan, mereka pula berkewajipan
membayar zakat harta yang difardukan.
Kaedah seperti ini jika berjaya dilaksanakan dengan sistematik boleh menjadikan
mekanisme terbaik untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Islam.
Kewajipan menunaikan fardu haji juga turut tertakluk dengan syarat memiliki
tambang perjalanan pergi dan balik juga sara hidup bagi orang di bawah
tanggungan yang berada di tanah air.
Tanpa sumber pendapatan yang kukuh pasti sukar untuk melaksanakannya. Ini di
tambah lagi dengan situasi ekonomi semasa yang memungkinkan pertambahan kos
bagi menunaikan fardu haji dari setahun ke setahun.
Selain itu terdapat juga galakan agama yang berkaitan dengan harta seperti
sedekah, hibah, wakaf dan lain-lain. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi pasti
sukar untuk melaksanakannya.
Malah boleh jadi umat Islam terdedah pula kepada aktiviti pinjaman haram akibat
tidak cukup pendapatan bagi menyara keluarga dan kehidupan seharian.
Untuk bergelar hartawan Muslim pastinya tidak mudah. Segala peraturan dan
ketetapan syariat mesti dipatuhi agar segala aktiviti ekonomi dan pekerjaan
yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadat dan beroleh keberkatan
daripada-Nya.
Antaranya niat kena benar, kegiatan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan
oleh syarak dan tidak memudaratkan. Setiap Muslim juga tidak sepatutnya
mengabaikan tanggungjawab agama seperti solat dan menunaikan zakat dalam
mengejar kemewahan.
Begitu pula nilai akhlak Islam seperti jujur, amanah dan bertimbang rasa perlu
sentiasa menjadi perhiasan diri. Sikap buruk seperti sombong dan mementingkan
diri sendiri hendaklah dijauhi dalam usaha merapatkan jurang sosial antara
golongan miskin dan kaya.
Kalangan hartawan Muslim turut diseru supaya tidak lokek membantu usaha
kemasyarakatan seperti sumbangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, juga
rumah kebajikan dan anak yatim.
Dengan cara ini mudah-mudahan segala punca rezeki akan dibuka seluas-luasnya
oleh Allah SWT malah jika diperkenankan boleh saja dikurniakan rezeki tanpa
disangka-sangka.
Salah faham terhadap pemilikan harta dan kemewahan dunia juga perlu ditangkis.
Ini kerana terdapat segelintir Muslim yang tidak memahami hakikat sebenar zuhud
sehingga kelihatannya mereka seperti orang yang tidak punya apa-apa sedangkan
mampu untuk mengadakannya. Perbuatan menolak dunia secara total seperti ini
tidak bertepatan dengan kehendak Islam sebenar yang akhirnya mengundang
pandangan serong terhadap Islam.
Asas yang perlu dititiberatkan adalah memenuhi keperluan untuk diri sendiri dan
orang yang di bawah tanggungan dengan niat ibadat tanpa menunjuk-nunjuk dan
membazir.
Dari Abu Ishaq dari Abu Ahwash dari ayahnya berkisah: ‘Pada satu hari aku
datang kepada Rasulullah SAW, ketika Baginda melihatku memakai pakaian compang
camping, maka Baginda bertanya padaku: “Adakah kamu masih mempunyai harta?”
Jawabku: ‘Ya, aku masih mempunyai semua jenis harta yang diberikan Allah
padaku’.
Sabda Baginda: “Bila kamu mempunyai harta, maka hendaklah kamu memperlihatkan
nikmat Allah itu dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Nasai’e)
Perlu juga difahami skop kaya dalam Islam terlalu luas. Ia tidak hanya terhad
kepada aspek materialistik dan kebendaan saja. Kaya ibadah, kaya budi pekerti
dan kaya senyuman juga perlu diusahakan.
Apalah gunanya harta dan kemewahan yang ada jika bersikap buruk seperti sombong
dan membanggakan diri. Perangai buruk seperti ini pastinya merugikan
memandangkan harta adalah milik mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa memberi
kepada sesiapa yang dikehendaki dan Maha Berkuasa pula untuk mengambilnya pada
bila-bila masa.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru
No comments:
Post a Comment