Sumber |
2012/03/16
Alam barzakh beri kerehatan bagi golongan beramal salilh, takwa
SEBAGAI orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun, tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun.
Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kaya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah Nabi dan Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan, bahkan manusia menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78 bermaksud: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal daripada tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah satu kejadian paling hebat dan tidak dapat dielakkan.
Apabila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan rohnya keluar daripada badan manusia. Roh menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.
Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud ‘dinding penghalang antara dua benda’. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh.
Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar mulai waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia dihukum segala amalannya di dunia.
Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh. Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah.
Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah satu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang datang sesudahnya lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi).
Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Sesiapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya.
Renungilah nasib saudaramu yang kini dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya tertanggal, dulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir mengenai alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.”
Ketika Khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar.
Kubur itu menjawab: “Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya?” Tentu jawab Umar. “Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.”
Khalifah Umar menangis dan berkata: “Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit.
Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati.
Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh Tuhanku.”
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit daripada kalangan manusia yang bercakap soal kematian, alam Barzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang dan mencabut nyawanya.
Khutbah Jumaat ini dipetik daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment