بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, March 1, 2012

Permaisuri hati pertama


Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR

SESEORANG lelaki dikatakan lengkap beragama dalam aspek kesempurnaan ibadahnya apabila hidupnya didampingi seorang wanita bergelar isteri.

Semua makhluk di atas muka bumi inginkan keseronokan dan kegembiraan hidup berpasangan dan beranak pinak terutama manusia yang memperolehinya melalui hasil ikatan suci pernikahan.

Situasi ini tidak begitu jauh bezanya dengan kita semua jika dibandingkan penghulu segala nabi dan rasul kita Nabi Muhammad SAW yang juga memiliki sebuah keluarga seperti mana insan lain.

Walau pun sesetengah pihak menyatakan cara dan bentuk penyatuan atas nama pernikahan antara Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Khadijah binti Khuwailid sedikit menongkah 'uruf(amalan kebiasaan) atau adat di mana menurut Thobaqot Ibnu Sa'ad bahawa Saidatina Khadijah, seorang tokoh korporat wanita terkaya di Kota Mekah pada waktu itu memberanikan diri meminang Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan suaminya.

Paparan sejarah itu bukanlah suatu 'kesilapan'. Allah SWT yang mengaturkannya. Namun, ia menunjukkan bahawa adalah salah satu jalan yang lebih telus dalam menjunjung tinggi tatasusila bersadurkan panduan Ilahi.
Terlalu sarat dengan pengajaran untuk kita memetik paparan kehidupan rumahtangga Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah.

Bermula daripada nabi beruzlah (mengasingkan diri dalam beribadah) di dalam Gua Hira' yang akhirnya menerima wahyu pertama daripada Allah SWT menerusi malaikat Jibril a.s dengan penganugerahan surah pertama al-Qalam yang bermula dengan perintah Allah SWT bacalah - Iqra.

Maka bermulanya pengalaman baru ke atas diri baginda yang ketakutan dan resah gelisah. Sekembalinya ke rumah, baginda berbaring di tempat tidur dan meminta agar diselimuti. Dalam pada itu juga suhu badan baginda meningkat agak tinggi.

Baginda yang berada dalam keadaan ketakutan dan gementar ditenangkan Saidatina Khadijah dengan katanya: "Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya.

"Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana."

Kehebatan seorang isteri pada diri Saidatina Khadijah begitu tinggi dengan timbulnya rasa kerisauan lalu dirawatnya baginda SAW.

Sejurus diceritakan segala detik yang dialami oleh nabi kepada permaisuri hatinya maka dengan kata-kata lemah lembut dan manis itulah yang membuatkan hati baginda tenang. Perasaan takut yang di raut wajah nabi hilang berganti cerah dan terang.

Seterusnya, dengan tidak ada sebarang keraguan di hati Saidatina Khadijah menerima Islam.

Saidatina Khadijah mengucapkan selamat buat suaminya kerana telah dinaikkan darjat yang tertinggi untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Lantas dengan peristiwa itu, isteri nabi adalah orang yang pertama memeluk agama baru itu. Begitulah kehebatan Saidatina Khadijah yang datang daripada golongan Quraisy Abdul Uzza yang menduduki tempat terhormat sebagai permaisuri hati pertama Rasulullah SAW memiliki keluhuran dan keunggulan peribadi bahkan beliau juga mempunyai nama jolokan masyarakat Mekah pada waktu itu iaitu Thohirah.

Sesungguhnya , insan pilihan Allah bernama Nabi Muhammad terlalu bertuah memiliki seorang permaisuri hati yang sentiasa tenang dan berupaya menenangkan jiwa baginda sewaktu menghadapi pelbagai tribulasi daripada Allah.

Maka, tidak hairanlah Saidatina Khadijah seorang wanita berhati waja yang diberi gelar Ummul Mukminin (ibu bagi orang mukmin) yang merupakan penyokong kuat usaha Rasulullah SAW dalam memantapkan usaha-usaha dakwah.

Beliau bukan sahaja sanggup mengorbankan hartanya, bahkan perasaannya semata-mata ingin memastikan kejayaan terhadap usaha dan perjuangan baginda.

Andai dalam kehidupan kita sebagai umat nabi memiliki insan istimewa seperti itu, maka tiada sebab untuk tidak berhasil mencapai status rumahku syurgaku'.

Biar pun secara fiziklnya , Saidatina Khadijah tidak menerima sebarang ancaman daripada golongan kuffar dan musyrikin, namun sebagai seorang isteri yang sentiasa taat dan setia bersama suami tercinta , beliau turut merasai tempias penderitaan dalam menyampaikan kebenaran agama Allah.

Rasulullah terus dibajai semangat kerana insan teristimewa dalam hidup baginda bertindak menjadi pendukung kuat bersamanya.

Contohnya, semasa tempoh mendepani mehnah (ujian) getir dalam peristiwa pemulauan oleh kafir musyrikin terhadap kabilah Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang mengambil masa selama tiga tahun.

Pengorbanan insan hebat itu menjadikan Rasulullah SAW sentiasa melangkah gagah dalam meninggikan syiar Islam. Semua itu bukan perkara mudah sehinggakan beliau sanggup melepaskan segala bentuk harta dan kemewahan demi mutiara keimanan kepada Allah SWT dan suaminya yang merupakan kekasih pilihan Allah.

Betapa kasih dan cintanya nabi kepada permaisuri hatinya setelah Saidatina Khadijah pergi mengadap Allah SWT ke alam baqa amat jelas terpapar. Kerana diriwayatkan pada suatu hari Khaulah binti Hakim bertanyakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah, apakah tuan kesepian setelah berpisah dengan Saidatina Khadijah?

Rasulullah SAW lantas menjawab katanya: "Ya... Demi Allah,Khadijah itu seorang pentadbir dan suri rumah yang baik."

Memang benar sejurus kemudian, baginda mengahwini Saidatina Sa'udah binti Zum'ah dan juga Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq.

Namun, perasaan kasih dan cinta nabi yang menebal terhadap permaisuri hati pertamanya menimbulkan perasaan cemburu di hati Saidatina 'Aisyah.

Akhlak mulia
Kehebatan akhlak mulia Saidatina Khadijah bukan sahaja diabadikan oleh nabi bahkan beliau juga dipandang tinggi oleh Allah SWT.

Sewaktu hayat Saidatina Khadijah, diriwayatkan bahawa Allah SWT telah menyampaikan salam-Nya kepada beliau melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s yang disampaikan kepada suaminya nabi Muhammad SAW.

Kesimpulannya, itu bukti betapa besarnya bukan sahaja cinta dan kasih sayang Rasulullah SAW kepada isteri baginda, malahan dengan pengorbanan secara kulli (keseluruhan) yang disumbangkan dalam menyebarkan Islam.

Ia dibuktikan dengan Ibnu 'Abbas menceritakan bagaimana Saidatina Khadijah daripada sudut pandang Rasulullah SAW.

Justeru , diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW membuat satu garisan di atas tanah.

Maka baginda pun bertanya kepada para sahabat: "Adakah kamu sekelian mengetahui tentang garisan ini?

Para sahabat menjawab: " Allah SWT dan rasul-Nya lebih mengetahui."

Lalu baginda bersabda: "Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam binti 'Imran , Asiah binti Muzahim (permaisuri Firaun) , Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhamad."


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...