بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, March 18, 2012

Tugas kepemimpinan berat, tidak patut dikejar

Oleh Mohd Shukri Hanapi

2012/03/18

Wajib bersikap adil pikul tanggungjawab dan amanah, elak berhukum ikut hawa nafsu 

KEPEMIMPINAN adalah peranan sosial seseorang pemimpin dalam pergaulannya dengan orang ramai dalam masyarakat atau kelompok pim-pinannya. Peranan ini menjadikan seseorang pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain dan membimbing mereka ke arah mencapai cita-cita kelompok atau masyarakat berkenaan.


Sebenarnya kepemimpinan itu adalah peranan semua orang. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dijelaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin yang berfungsi dalam lingkungan kepemimpinan masing-masing.
Dalam skop lebih luas, kita boleh lihat hakikat seseorang individu dalam ayat al-Quran yang membicarakan soal kesanggupan manusia memikul amanah kepemimpinan di muka bumi (khilafat Allah fi al-Ard). 

Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya kami menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan merasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Surah al-Ahzab ayat 72) 

Ayat ini menggambarkan tugas kepemimpinan sebagai khilafah Allah SWT di bumi ini adalah satu amanah amat besar yang tidak sanggup dipikul oleh bumi sendiri. Begitu juga dengan langit dan gunung-ganang. 

Meskipun dalam beberapa ayat lain Allah SWT menyifatkan manusia itu sebagai makhluk istimewa tetapi dalam ayat ini Allah menyifatkan mereka sebagai menzalimi diri dan jahil. Ini menyebab-kan mereka sanggup memikul amanah sangat berat dan paling mencabar itu. 

Atas dasar inilah, barangkali apabila Allah SWT memaklumkan bahawa Dia akan menjadikan manusia sebagai pemimpin atau khalifah Allah di bumi, maka malaikat terus bertindak mempersoalkan kemampuan manusia itu. 

Allah SWT berfirman bermaksud “Apabila Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, padahal kamilah yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Ali Imran ayat 30) 

Maksudnya, malaikat sangat meragui kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin atau khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Sebabnya ialah mereka mempunyai kecenderungan buruk yang berasaskan hawa nafsu. Malah Allah SWT juga tidak menafikan kebenaran keraguan malaikat itu. Cuma Allah SWT menjelaskan ada tujuan lain lebih besar di sebalik penugasan itu. Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan tujuan besar yang dimaksudkan itu ialah memakmurkan dunia ini. 

Jelasnya, dalam konteks yang luas ini, kepemimpinan adalah amanah amat sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Bagaimanapun ia satu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan bumi. 

Dalam pengertiannya ringkas, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Satu istilah lain yang memberi erti yang bertentangan penuh dengannya ialah khianat. 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis mengenai orang munafik. Apabila diamanahkan, dia berkhianat. Dalam bahasa Melayu khianat ini biasa juga disebut sebagai pecah amanah. 

Konsep amanah sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan ini, boleh juga difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn Umar ra, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 
Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. 

(Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Layaknya kepemimpinan itu ialah satu beban yang dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin dalam segala hal yang berhubung dengannya. 

Mengikut pandangan Islam, kepemimpinan itu bukan satu kedudukan yang perlu dikejar. Sebaliknya, kalau boleh perlu dielakkan. Nabi sendiri pernah menolak permintaan bapa saudaranya al-Abbas ra supaya dilantik menjadi gabenor di sebuah wilayah. 

Malah Baginda pernah berkata kepada sahabat rapat baginda, Abu Zar mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah satu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan. 

Perkara yang paling membimbangkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini ialah wujudnya sikap tidak adil dan membuat keputusan berasakan hawa nafsu. Nabi Daud sendiri pernah diperingatkan oleh Allah SWT mengenai penyelewengan besar ketika melantik beliau menjadi Nabi. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil. Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Sad ayat 26) 

Dalam satu ayat lain, Allah SWT juga menghubungkan soal amanah ini dengan menghukum dan membuat keputusan secara adil. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya; dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ ayat 58) 

Bagaimanapun, kepemimpinan itu sendiri amat penting sekali pada pandangan Islam. Kerana itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar seperti khalifah yang bererti kepemimpinan negara atau dalam skop lebih kecil, yang semuanya boleh digolongkan dalam konsep ulu al-Amr. 

Malah, Rasulullah SAW berpesan kalau dalam sesuatu perjalanan atau perkumpulan itu adalah lebih daripada seorang, maka salah seorang mesti dilantik sebagai pemimpin. 

Penulis berkhidmat dengan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...