بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, March 30, 2012

Khutbah Jumaat: Manusia berhati syaitan gugat keamanan

2012/03/30
 LAPORAN media saban hari memaparkan pembunuhan insan tidak berdosa.
LAPORAN media saban hari memaparkan pembunuhan insan tidak berdosa.

Godaan syaitan dalam bentuk lisan, perbuatan bawa kemusnahan ummah

DALAM menghadapi kehidupan serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat cahaya hidayah, mereka menganggap kebenaran itu bagaikan ranjau berduri, sebaliknya kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah dipenuhi bunga berwarna warni.

Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana dipengaruhi musuh Allah SWT iaitu syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau iblis adalah makhluk pertama berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang bertindak mengikut hawa nafsu. Mereka ini tidak mendapat petunjuk Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah penderhakaan kepada Allah SWT.


Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: “Syaitan menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”

Menurut ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya.

Walaupun demikian sifat syaitan, masih ada manusia yang termakan pujukan syaitan dan meninggalkan syariat Allah SWT serta petunjuk Nabi.

Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan serta perbuatan keji. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia terjebak mengikut telunjuknya.
Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang bertindak mengikut hawa nafsu. Mereka ini tidak mendapat petunjuk Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah penderhakaan kepada Allah SWT.

Saidina Ali ra berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halang kebenaran.”

Mereka yang dikuasai syaitan, sebenarnya hati mereka dikuasai kebatilan dan menyangka bahawa syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga berbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.

Sayidina Muadz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)

Bagi menghindari syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat suci al-Quran, mencegah diri daripada berbicara berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan syaitan seperti ketawa berlebihan, berjalan pada waktu senja dan terakhirnya yang mesti lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya syaitan.

Dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang berhati syaitan. Apabila syaitan menguasai diri manusia, mereka tidak merasa takut melakukan apa saja termasuklah perbuatan di luar batas kemanusiaan.

Lihatlah apa yang berlaku pada masa kini seperti pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa yang bukan setakat dibunuh tetapi didera, diseksa dengan begitu kejam serta dibakar. Malah pada hari ini juga ada orang tua menjadi mangsa kepada saudara mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam.

Kita juga menyaksikan bagaimana rakusnya nafsu manusia yang dikuasai syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri, kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada kesudahannya.

Perbuatan ini berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya dikuasai syaitan laknatullah. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman ke atas makhluk Allah adalah perbuatan dipengaruhi syaitan.

Mereka yang menjadikan nafsu dan syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana diburu rasa bersalah, bukan saja kepada Allah SWT tetapi juga kepada diri sendiri.

Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak akan di azab dengan api neraka yang amat pedih. Justeru, marilah kita kembali ke jalan benar dengan melakukan amal salih, menutup segala pintu syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar hakikat kehidupan ini.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21 bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

Petikan khutbah Jumaat dari JAKIM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...