بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, March 21, 2012

Al-Fath penawar buat umat Islam


Susunan SITI AINIZA KAMSARI


SEBAGAI memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiah, Tuhan menujukan firman-Nya kepada mereka: Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Dia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janji-Nya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. (al-Fath: 20)


Ayat di atas ada disebutkan mengenai harta rampasan yang lazimnya diperoleh daripada peperangan.
Tahukah anda perang apakah yang dimaksudkan oleh ayat ini dan mengapa perang ini begitu penting kepada umat Islam?


Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa surah al-Fath diturunkan khas buat umat Islam yang begitu kecewa dengan syarat-syarat perjanjian Hudaibiah yang dikatakan lebih memihak kepada golongan kafir Quraisy.


Lalu Allah turunkan surah ini sebagai cara memujuk umat Islam yang kecewa. Ditambah janji Allah akan satu kemenangan dalam satu peperangan sebelum kejayaan yang lebih besar bakal akan terukir dalam sejarah, iaitu Fathul Makkah (Pembukaan Mekah).


Perang Khaibar, adalah perang yang dimaksudkan, iaitu perang antara pihak Islam melawan musuh iaitu kaum Yahudi yang menetap di Khaibar yang berlaku selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah itu.


Sebagaimana yang disebut sendiri oleh Nabi Muhammad, iaitu; "Allah sudah berjanji kepada aku. Allah akan membuka kepada aku akan Khaibar!"


Khaibar adalah nama kepada sebuah kota besar yang dipenuhi kebun-kebun terutamanya pohon-pohon tamar yang begitu luas dan dikelilingi oleh benteng-benteng tembok batu yang sangat kukuh.


Ia terletak lebih kurang 150 kilometer di sebelah timur Kota Madinah menghala ke arah negeri Syam (Syria).
Khaibar menjadi pusat atau ibu negara kepada kaum Yahudi yang terbesar di Tanah Arab. Sebelum ini kaum Yahudi, iaitu dari keturunan Bani Qainuqa yang mendiami Kota Madinah, yang kemudiannya telah diusir keluar, adalah kaum Yahudi yang membawa diri mereka dan akhirnya memilih Khaibar untuk menjadi penempatan baru mereka.


Ini diikuti Yahudi Bani Nadhir yang turut dihalau keluar dari Madinah apabila mereka membuat perancangan yang hampir-hampir membuatkan Rasulullah terbunuh dalam satu komplot jahat, dengan menjatuhkan seketul batu besar ketika baginda sedang berehat di sebuah rumah Yahudi yang dikunjungi baginda.


Ini diikuti pula Yahudi Bani Quraizah yang juga menempah nasib yang sama apabila mereka bertindak belot dan bersekongkol dengan pihak musuh dalam Perang Ahzab (Khandaq). Tetapi mereka tidak dapat ke mana-mana akibat hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seluruh kaum lelaki Yahudi Bani Quraizah.


Maka selepas peristiwa hukuman Bani Quraizah tersebut seluruh kaum Yahudi mengumpul kembali kekuatan mereka dengan membentuk satu komuniti Yahudi di Khaibar dan tidak pernah memberikan sebarang ancaman lagi kepada Islam.


Tetapi sebaik sahaja mereka mendengar akan berita mengenai Perjanjian Hudaibiah yang menjanjikan satu 'hubungan baik' antara puak kafir Quraisy dengan pihak Islam, tentunya menjadi satu tamparan kepada seluruh kaum Yahudi yang menghuni di Khaibar itu.


Di tambah lagi usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh baginda semakin menampak kejayaan demi kejayaan. Semua ini menyebabkan kaum Yahudi semakin tidak senang duduk jadinya.


Apabila merasakan mereka semakin kuat, maka mereka kembali untuk bermusuh terhadap Islam dengan cara yang lebih agresif. Dalam kamus mereka, tidak akan sesekali berbaik dengan Islam kecuali benar-benar ingin menghancurkan Islam.


Walaupun kini terpaksa bertindak sendirian namun mereka sedar masih ada banyak lagi puak Arab, selain Arab Quraisy yang boleh diajak untuk menentang Islam.


Sehinggalah pada suatu hari, Ketua Yahudi di Khaibar, Sallam bin Misykam akhirnya mengumumkan satu pengisytiharan dengan berkata: "Wajiblah ke atas kita semua (Yahudi Khaibar) supaya segera mengatur dan menyusun kekuatan dengan menjadi persatuan dan perpaduan yang kukuh antara kita dan Yahudi-Yahudi yang ada di Wadi Qura dan Taima.


"Kemudian kita akan melakukan serangan secara besar-besaran terhadap Kota Madinah tanpa kita memerlukan bantuan daripada mana-mana bangsa Arab yang lain dalam peperangan kali ini!"


Namun pengumuman yang dibuat oleh Sallam itu tidak dapat diterima oleh sebahagian besar pemimpin-pemimpin Yahudi yang lain kerana bagi mereka adalah tidak mudah untuk menyerang Islam kecuali mereka mempunyai kekuatan yang jauh melebihi pihak Islam.


Namun Rasulullah sedar akan soal pertahanan dan keselamatan Islam yang sentiasa mendapat ancaman daripada pelbagai pihak termasuk Yahudi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...