بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, March 1, 2012

Perjanjian Hudaibiah kemenangan Islam

Kaabah di Kota Mekah pada tahun 1880. Pada tahun 6 Hijrah, umat Islam yang berhijrah ke Madinah begitu merindui untuk kembali beribadat di situ.
ARKIB : 29/02/2012 

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERJANJIAN Hudaibiah antara catatan sejarah yang masyhur di kalangan umat Islam. Peristiwa itu cukup jelas dan tidak ada apa lagi persoalan mengenainya yang boleh ditimbulkan..

Ia merupakan satu peristiwa besar yang menjadi kunci dan permulaan kepada pembukaan Kota Mekah serta kemenangan umat Islam di Semenanjung Arab.

Tetapi tahukah anda bahawa perjanjian itu sebenarnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan para sahabat Rasulullah sendiri, terutamanya Umar bin Al Khattab.

Sebelum itu dikisahkan bagaimana Umar menceraikan kedua-dua isterinya bagi mematuhi wahyu Allah supaya menceraikan isteri yang masih tidak memeluk Islam, yakni kafir.

Ini kerana, ekoran daripada perjanjian Hudaibiah, perempuan-perempuan Islam mengadu kepada Nabi Muhammad bahawa wali-wali menuntut supaya mereka mesti pulang atau dikembalikan.

Ia sebagaimana termaktub dalam isi atau syarat perjanjian yang keempat: "Orang Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya, iaitu melarikan diri kepada Muhammad, hendaklah dikembalikan kepada mereka."

Namun sudah tentu Rasulullah menolak tuntutan yang seperti itu dengan alasan bahawa isi perjanjian tidak termasuk golongan wanita. Hanya golongan lelaki sahaja yang dimaksudkan.

Kemudian turun ayat al-Quran bagi menegaskan lagi alasan Rasulullah itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka. Allah lebih mengetahui akan iman mereka dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu sebagai isteri dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka sebagai suami…. (al-Mumtahanah: 10)

Ekoran daripada ayat ini juga Umar menceraikan dua orang isterinya yang masih syirik itu.
Setelah bercerai, kedua-duanya berkahwin lain, seorang berkahwin dengan Muawiyah bin Abi Suffian dan seorang lagi berkahwin dengan Safwan bin Umayyah.

Ramai yang berpendapat bahawa Perjanjian Hudaibiah dilihat satu kemenangan kepada pihak Islam atau memberikan banyak faedah kepada Islam berbanding golongan kafir Quraisy.

Walaupun sekali imbas ia nampak sebaliknya, seolah-olah Islam yang banyak 'mengalah' dan terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak pihak Quraisy itu.

Ini terutamanya apabila niat dan kedatangan rombongan umat Islam dari Madinah untuk mengerjakan umrah dan haji dihalang.

Malah mereka dikehendaki supaya pulang dan hanya dibenarkan melakukan ibadat tersebut pada tahun hadapan dan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Kejayaan kepada umat Islam dapat dilihat apabila kaum Quraisy mula mengiktiraf Nabi Muhammad dan agama yang disebarkan oleh baginda.

Sebelum ini puak Quraisy hanya ingin memerangi Islam hingga ke akar umbi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat berakhirnya riwayat umat Islam terutamanya Nabi Muhammad itu sendiri.

Tapi apabila mereka boleh diajak berbincang dan membawa kepada gencatan senjata, itu menunjukkan mereka tidak lagi mempunyai keupayaan menentang Islam.

Walaupun umat Islam hanya dibenarkan mengerjakan umrah dan haji pada tahun berikutnya, ia merupakan satu kemenangan kerana selepas itu mereka boleh melakukan ibadat itu pada bila-bila masa tanpa sekatan.
Malah jika ada orang Quraisy yang lari kepada Islam dan Rasulullah di Madinah dan perlu dipulangkan kepada puaknya di Mekah, ia juga merupakan satu kelebihan kepada Islam dan bukan sesuatu yang merugikan.

Bagi baginda golongan yang lari itu tentunya bukan lagi seorang Islam. Hanya mereka yang murtad sahaja yang akan berbuat demikian.

Justeru kalau ada yang murtad maka dia tidak diperlukan lagi dalam masyarakat Islam.
Maka adalah lebih baik orang seperti itu keluar daripada komuniti Islam.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...