بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, March 29, 2012

Musibah uji kesabaran, keimanan ummah

Sumber

2012/03/29


DARIPADA Anas ra katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki hambanya dengan keburukan, ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya pada hari kiamat."



Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)



Berdasarkan hadis itu, dapat difahami bahawa setiap perbuatan manusia sama ada baik atau buruk akan menerima balasan pahala atau dosa. Malah bagi setiap perbuatan itu, sudah ditetapkan yang balasan itu akan diturunkan kepada manusia tetapi tidak diketahui sama ada diturunkan dengan segera atau lambat.


Bagi orang beriman, mereka akan akan diuji menurut tahap keimanan dan kedudukan mereka di sisi Allah. Malah ujian yang ditimpakan kepada manusia adalah sesuai dengan kemampuan untuk menanggungnya seperti firman Allah SWT bermaksud: “Allah tidak menguji seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah ayat 286)


Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Cuma sebagai hamba, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk menghadapinya, sudah pasti mereka tidak mampu berdepan dengan ujian yang sedang menimpanya.



Walaupun begitu, hamba yang ditimpa ujian tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya perlu menginsafi setiap kesalahan dan kesilapan yang dilakukan sebelum ini kerana ujian itu adalah kifarah (balasan) setiap perbuatan jahat manusia sepanjang hidupnya.



Manusia yang menerima ujian perlu bersabar sama ada menghadapi ujian penyakit atau bala bencana kerana ia bertujuan menghapus dosa. Ujian yang menimpa orang beriman juga adalah satu petanda yang seseorang itu disayangi Allah SWT. 



Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebajikan, baginya ditimpakan penderitaan ke atasnya.”



Dalam hadis lain diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: “Allah berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud, “Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang Aku ambil kembali kekasihnya di dunia, kemudian dia mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan (orang itu akan mendapat balasan) syurga.”



Hadis ini agak unik kerana memberi maksud, kesusahan atau keperitan hidup dialami seseorang sebenarnya akan menerima lebih banyak kelebihan. Musibah yang ditimpakan ke atas orang yang beriman akan meningkatkan darjatnya di sisi Allah atau menghapuskan dosanya jika dihadapi dengan reda dan sabar. 



Di sini dapat diakui, antara musibah yang menimpa manusia yang beriman dan dituntut bersabar ialah apabila kehilangan orang yang disayangi. Hadis itu menuntut kita supaya bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa, kerana ganjaran sabar di sisi Allah ialah syurga.

Allah menjanjikan tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat selain daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar menghadapi bala dunia.



Uniknya, orang kafir tidak akan mendapat sebarang ganjaran daripada amalan yang baik kerana dia tidak beriman kepada Allah dan tidak percaya wujudnya ganjaran itu.



Mengharapkan ganjaran pahala dan bersabar terhadap musibah adalah tanda kesempurnaan iman seseorang, manakala marah dan gelisah atas musibah menunjukkan kelemahan iman.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...