بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, March 14, 2012

Memantapkan pengertian akidah


Oleh MOHAMAD AMIRUL AMIN MAULA LOKMAN HAKIM

DALAM setiap tindakan umat Islam akidah merupakan neraca utama menjadi parameter kepada perbuatan serta aktiviti mereka.

Akidah adalah perkara asas dan utama bagi umat Islam tidak kira bangsa atau rupa. Lebih-lebih lagi mereka yang bergelar Muslim haruslah berpaut pada intipati akidah yang jelas dan mantap.

Daripada sudut istilah akidah bererti simpulan iman, pegangan yang kuat atau keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat.

Keyakinan ini tidak akan terserlah kecuali dengan kejayaan seseorang Muslim itu mempercayai al-Quran dan sunnah.

Kepercayaan tidak akan sempurna tanpa pengamalan yang benar (sahih) dan bukan dari cetusan pengamalan yang sesat (dholal).

Iman pula merupakan asas akidah yang menghasilkan syariat Islam. Kemudian daripada asas itu terhasil cabang-cabang yang digelar sebagai syariat (perbuatan) dan akhlak (tingkah laku) manusia itu sendiri.

Pertautan yang kompleks ini menyebabkan akidah perlu dipertahankan oleh umat Islam kerana ia mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan seharian umat Islam.

Hal yang demikian menjadikan keimanan dan syariat satu perkara yang sangat padu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ikatannya antara satu sama lain amat memberikan kesan yang mendalam.
Mereka yang berakidah dengan cara yang tidak benar, akan mengamalkan Islam secara terpesong.

Oleh kerana itu, keimanan haruslah diperhalusi dengan syarat dan ketentuan yang diletakkan hukum syarak.
Seharusnya kita memahami bahawa Islam mempunyai nilai yang sangat tinggi dan berkualiti.
Antara beberapa perkara yang boleh merosakkan akidah menjurus secara langsung kepada kecacatan dalam syariat adalah bentuk keyakinan kepada konsep ketuhanan.

Manusia yang bertamadun wajib meyakini kewujudan tuhan dan berkuasa atas segalanya.
Hal ini dapat mematahkan golongan atheis yang sering merancang bagi menjatuhkan kualiti pegangan umat Islam.

Jelas disini kepercayaan dan keyakinan yang kukuh di benak hati manusia itu sendiri amat dititikberatkan sama sekali.

Kedua, kesilapan manusia dalam menuturkan kata-kata. Perkara ini sering berlaku dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka yang sering mengeluarkan kata-kata dan ucapan yang mampu membawa kepada kerosakan akidah, mampu menjerumuskan dirinya ke dalam kesesatan yang tersembunyi (syirik khafi).
Percakapan dan ucapan ini sering dipandang remeh oleh sesetengah golongan masyarakat. Hal ini kerana, mereka yang sering menyamakan urusan dunia dan akhirat, tanpa merujuk kepada asas rujukan agama seperti al-Quran dan sunnah.

Ketiga, akidah juga boleh menjadi rosak dengan pengamalan manusia yang sering berlandaskan adat berbanding syariat.

Perkara ini sering terjadi bagi mereka yang terlalu mementingkan soal adat resam sesetengah kaum, tanpa melihat secara dalam dari lensa agama Islam itu sendiri.

Pengamalan yang membawa kepada kesesatan amatlah ditolak sama sekali, kerana ia bakal menjerumuskan manusia ke dalam kebinasaan.

Tanggungjawab kita sebagai muslim dan mukmin haruslah bercirikan kepada pembangunan akidah. Memelihara konsep akidah itu adalah tugas semua mereka yang bergelar muslim. Hati yang bersih, dan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama sangat memberi jalur positif pada dunia hari ini.
Seterusnya, jihad melawan hawa nafsu itu perlu diperjuangkan bagi semua masyarakat Islam kini yang hidup dalam keadaan majmuk.

Taqwa pula adalah hadiah kepada mereka yang telah berjaya membawa diri kearah kefahaman akidah yang matang.

Penyelarasan syariat itu sebenarnya memainkan peranan penting bagi meneliti ketaqwaan seseorang itu sendiri.

Allah SWT berfirman dengan bermaksud: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang ) bertaqwa. (Al-Baqarah : 21)

Ayat di atas amat memberi kesan yang positif dalam kehidupan kita. Mempercayai, meyakini dan mengakui bahawa pengukuhan akidah itu ada bagi setiap muslim itu harus direncanakan.

Segala intipati undang-undang yang direka hari ini, bukanlah untuk mengawal kita, bahkan ia sebenarnya melepaskan kita dari seksaan api neraka kelak.

Melihat peri pentingnya memperjuangkan akidah yang bersih ini, umat Islam tidak seharusnya berkompromi dalam isu-isu yang menjejaskan akidah Islam.

Ia merupakan satu elemen jati diri umat Islam yang perlu dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun.
Dalam konteks negara pula, Islam merupakan jati diri negara yang tidak boleh dihapuskan berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan agama bagi Persekutuan.

Ia diperkukuhkan lagi apabila Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong tatkala menaiki takhta akan bersumpah akan memelihara Islam pada setiap masa.

Secara tersiratnya Perlembagaan Persekutuan ini telah cuba untuk mempertahankan akidah umat Islam agar sentiasa terjamin dan tidak dirobek oleh mana-mana orang perseorangan ataupun badan-badan tertentu.
Mempertahankan akidah adalah tanggungjawab setiap umat Islam. Setiap umat Islam wajib melakukan sesuatu untuk mempertahankan akidah umat Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...