بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, June 9, 2012

'Memperdagangkan' ayat al-Quran

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD



Berselindung di sebalik seni khat dan tulisan jawi, terdapat segelintir pihak cuba mengubah suai ayat al-Quran dengan memasukkan elemen atau simbol ketuhanan agama lain.

BINGKAI kayu, seramik, poster, plak dan rantai kunci adalah antara pilihan utama orang ramai untuk dijadikan sebagai alat perhiasan atau bahan cenderahati. Lebih-lebih lagi yang didatangkan bersama ukiran kalimah suci al-Quran.

Ia bukan sahaja direka dalam pelbagai saiz dan rupa bentuk, malah semakin mudah didapati di mana-mana sahaja dengan harga yang sangat murah dan mampu dimiliki oleh setiap orang.

Keunikan rekaan perhiasan tersebut yang disertakan dengan ukiran dan tulisan ayat al-Quran menjadikan ia lebih menarik perhatian pembeli terutamanya yang beragama Islam.

Agak janggal kedengaran jika ada dalam kalangan kita yang tiada barang tersebut, begitu juga isi rumah yang tidak mempunyai barangan perhiasan itu di rumah. Dengan harapan ia dapat melahirkan suasana Islam serta mengingatkan kita kepada Allah SWT.

Namun, sejauh mana keyakinan kita terhadap jaminan kesahihan kalimah suci Allah SWT yang tertera pada barang tersebut. Adakah dengan adanya tulisan ayat al-Quran yang direka dengan pelbagai seni itu dijamin tiada kesalahan dan bebas daripada sebarang unsur penyelewengan lain?

Perkara inilah yang disuarakan oleh Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia di pusat pelupusan ayat suci al-Quran, kelolaannya di Batu 10 Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan bermodalkan ayat suci al-Quran sebagai tarikan, terdapat banyak pihak didapati giat menghasilkan dan membawa masuk bahan perhiasan yang berukir ayat suci al-Quran untuk dipasarkan di negara ini dengan menyasarkan pembeli Muslim yang merupakan masyarakat majoriti.

Berlatarbelakangkan persekitaran perniagaan Islam, ramai pembeli mudah keliru dengan produk yang dihasilkan dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penjual tanpa memeriksa ayat yang tertera pada barang tersebut.

Atas sikap kurang peka pengguna Islam inilah digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan dengan menghasilkan produk dan bahan perhiasan menggunakan kalimah suci al-Quran untuk dijual kepada kumpulan sasar.

"Barang-barang perhiasan ini memang cantik dipandang. Macam-macam bentuk dan barang boleh kita dapati. Daripada yang kecil dan boleh dibawa ke mana sahaja, hingga hiasan besar bernilai ratusan ringgit.

"Barang ini bukan hanya terdapat di kedai tertentu, malah dijual meluas di seluruh negara. Tidak kurang juga mereka yang terlepas semasa membawa masuk dari negara luar.

"Menjadi kebiasaan orang kita pula, nampak sesuatu yang cantik akan terus beli, lebih-lebih lagi yang tertulis ayat-ayat al-Quran tanpa menyemak ayat tersebut terlebih dahulu," kata Rahmat yang telah lima tahun mengusahakan syarikat pelupusan ayat-ayat suci al-Quran.

Sepanjang melakukan tugas itu, lebih ratusan tan debu ayat suci al-Quran termasuk kertas dan kayu telah dilupuskan oleh pihaknya.

Selain melupuskan kitab al-Quran dan bahan bercetak berunsur keagamaan yang lama atau mempunyai kesalahan, Percetakan Saufi turut melupuskan segala peralatan dalam pelbagai bentuk yang terdapat kalimah suci al-Quran.

Syarikat Percetakan Saufi merupakan pengusaha yang menjalankan pelupusan ayat suci al-Quran yang mendapat banyak pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk menjalankan kerjasama erat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Berkongsi pengalaman sepanjang menguruskan syarikat pelupusan ayat-ayat suci al-Quran itu Rahmat berkata, selain bermotifkan keuntungan, ada juga pihak yang dikenalpasti mempunyai agenda tersembunyi iaitu untuk merosakkan akidah umat Islam.

Berselindung di sebalik keindahan seni khat dan tulisan jawi, pihak tersebut cuba mengubah suai ayat al-Quran dengan memasukkan elemen atau simbol ketuhanan agama lain di dalam bahan perhiasan tersebut.
Ada juga yang didapati mengubah susun atur ayat al-Quran, baris ayat, titik huruf dan huruf ayat bagi mengelirukan dan melemahkan pegangan akidah umat Islam.

"Barang-barang yang didapati banyak kesalahan ini kebanyakan diimport dan dihasilkan oleh negara luar yang kebiasaannya bukan beragama Islam. Kita tidak tahu tujuan mereka berbuat demikian, mungkin ada rancangan tersembunyi yang ingin mereka sampaikan.

"Kesannya, umat Islam akan jadi keliru dengan ayat tersebut dan secara tidak langsung dapat mempengaruhi akidah mereka sekiranya mengamalkan sesuatu ayat yang salah.

"Ini juga yang menyebabkan banyak kejadian pelik sering berlaku di rumah pemilik barang perhiasan tersebut. Sebagai contoh, sering panas baran, tidak tenteram, menerima gangguan misteri dan banyak lagi," jelasnya.

Rahmat berkata, barang-barang itu semuanya diperoleh daripada hasil rampasan penguatkuasa bahagian Teks al-Quran KDN yang menjalankan tinjauan dan serbuan di premis jualan serta pemeriksaan di pintu masuk lapangan terbang.

Barangan yang dirampas akan diserahkan kepada syarikatnya untuk dilupuskan dengan kaedah khas demi menjaga kesucian ayat suci al-Quran tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...