بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, June 30, 2012

Dakwah tanggungjawab bersama ke arah kebaikan


Oleh AMINUDIN MANSOR

MELAKSANAKAN dakwah adalah tanggungjawab semua orang. Inilah keistimewaan menjadi Muslimin dan Muslimat yang beriman dan selalu menyuruh diri sendiri dan orang lain mengikut perintah dan berpegang kepada addin-Nya.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menyuruh dan mengajak orang lain beriman kepadaNya. Sebagai umat yang terpilih dan terbaik dakwah adalah jalan terbaik mengajak orang lain beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang maksudnya: 
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (ali Imran: 110)

Setiap umat Islam adalah sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah untuk melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran. Melakukan kebaikan mestilah secara berterusan walaupun sedikit. Kemudiannya akhir dilakukan secara tetap dan lebih banyak.

Tugas berdakwah tidak semestinya terletak kepada tanggungjawab pendakwah, penceramah, imam dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. Malah ia boleh menjadi tugas dan tanggungjawab guru dan ustaz di sekolah serta orang biasa.

Syarat yang paling utama adalah mempunyai ilmu agama bagi mengajak orang lain mengerjakan kebaikan dan kebajikan.

Tokoh ilmuwan Islam, Al-Khazin menjelaskan bahawa pendakwah itu terbahagi kepada empat. Pertama, golongan para Nabi dan Anbiya' (nabi-nabi) yang berdakwah dengan pengantaraan mukjizat, hujah-hujah penerangan dan penjelasan.

Kedua, golongan alim ulama yang diiktiraf sebagai para Nabi. 

Ketiga, golongan mujahidin yakni orang-orang yang berperang kerana Allah SWT.

Keempat, para muazin yang melaungkan azan mengajak manusia mendirikan solat, juga dianggap sebagai pendakwah.

Konsep atau peranan pendakwah mestilah lebih luas. Dari segi konsepnya, mengajak orang lain mengerjakan kebajikan adalah berdakwah, mengajak orang lain solat dan mendekati masjid adalah dakwah. Malahan menegur kawan-kawan daripada melakukan perbuatan yang tidak baik juga adalah dakwah.

Peranan dakwah ini boleh dimainkan melalui lisan atau perbuatan. Antaranya melalui nasihat, teguran dan pandangan yang berhikmah.

Sekolah adalah pusat pembelajaran ilmu pengetahuan yang sepatutnya dijadikan asas berdakwah, iaitu mengajak ke arah kebaikan.

Kita tidak mahu konsep dakwah itu disempitkan. Harus diingat mengajak orang lain mendalami ilmu pengetahuan juga adalah dakwah. Sebagai pelajar, menasihati pelajar lain, khususnya kawan-kawan sebaya tidak menghisap rokok adalah dakwah. Menasihati mereka agar tidak melanggar disiplin sekolah juga adalah dakwah.

Konsep dakwah

Dalam hal ini Allah berfirman: 
Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembang dan menyebarkan Islam), menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104).

Pendek kata, dakwah itu sangat meluas konsepnya. Jika semua orang berdakwah iaitu mengajak ke jalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran tidak akan ada perbuatan buruk berlaku dalam masyarakat seperti ragut, merempit di jalan raya, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pembuangan bayi.

Sikap mengambil tahu hal orang lain dan menasihatinya ke jalan yang di redai Allah SWT adalah sikap yang baik. Sikap hedonisme iaitu sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu hal orang lain adalah unsur yang dibawa dari Barat. Dalam Islam perpaduan umat itu ibarat satu bangunan yang menyokong kebaikan antara satu sama lain.

Dalam hal ini Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini mudah dan tiada seorang yang menyulitkan agama, kecuali pasti dikalahkannya. Bertindaklah tepat, lakukan pendekatan, sebarkan berita gembira, permudahkan dan gunakan siang dan malam hari serta sedikit waktu fajar sebagai penolongmu. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, dalam berdakwah ini tidak ada apa yang perlu disusahkan dan disukarkan, semuanya boleh dipermudahkan, asalkan kita mahu melakukannya.

Kejayaan seseorang pendakwah banyak bergantung pada usaha dan kemahuan yang sentiasa dilakukan dalam aktiviti berdakwah.

Melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah tugas yang paling murni dan mulia di sisi Allah, kerana ia menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan beribadat hanya kepada-Nya.

Di samping itu, dakwah juga mengajak manusia supaya melakukan perkara yang makruf (baik) dan menjauhi yang mungkar (keji). Natijah daripadanya akan mewujudkan keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam masyarakat serta memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Pada masa kini, kita berada di era langit terbuka dan era globalisasi dengan perkembangan teknologi sehingga terciptanya alat komunikasi yang serba canggih.

Oleh itu, semua orang boleh berdakwah mengajak ke arah kebaikan. Ingatlah, walau dengan menyampaikan satu ayat yang menyeru ke arah kebaikan juga adalah satu dakwah.

Bagaimanapun, kerja-kerja dakwah yang kita lakukan itu mestilah ikhlas semata-mata kerana mengharap keredaan Allah SWT, bukan untuk kepentingan peribadi dalam bentuk duniawi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...