بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, December 21, 2011

Maryam Ibu Nabi Isa as


Ibu  Nabi Isa as adalah seorang perempuan yang mulia. Allah memuliakannya dengan menamakan sebuah surah sempena namanya iaitu surah Maryam iaitu surah yang kesembilan belas di dalam al-Quranul Karim.

Bapa Maryam bernama Imran. Dia juga dimuliakan Allah. Dapatlah dikatakan bahawa keluarga Imran dimuliakan Allah. 

Allah berfirman maksudnya:

"Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing)". (A-li'Imraan 3:33)


Dalam ayat di atas tertera nama-nama  keluarga yang dipilih (dimuliakan) Allah melebihi segala umat yang ada pada zaman mereka masing-masing. 

Dalam surah A-li'Imraan itulah bermula cerita Maryam; Allah berfirman:

"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Rabbku! (Tuhanku!) Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (A-li'Imraan 3:35)

"Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Rabbku!(Tuhanku!) Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)". (A-li'Imraan 3:36)

Dua ayat di atas merupakan doa permohonan ibu Maryam  kepada Allah SWT sebelum dan selepas melahirkan Maryam. Allah mengabulkan permohona doa ibu Mariam dengan baik.

Mariam dipelihara oleh Nabi Zakaria. Nabi Zakaria adalah ahli keluarga Imran. Dia berjaya menjaganya setelah berebut dengan ahli keluarga yang lain kerana masing-masing ingin menjaga Maryam. Ini Allah nyatakan dalam ayat berikut yang maksudnya:

"Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam)". (A-li'Imraan 3:44)

Lalu Maryam membesar,

"Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira". (A-li'Imraan 3:37)

Di bilik itu sentiasa terdapat makanan yang datang daripada Allah. Sesungguhnya Allah memelihara Maryam dengan baik untuk suatu rancangan-Nya yang besar. Maryam adalah seorang yang taat kepada Allah.

Suatu hari tatkala Maryam sedang menyendiri muncul malaikat (juga dipanggil rasul) yang menyerupai seorang manusia di hadapannya  Dia menjadi takut seraya berkata:

"Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." (Maryam 19:18)

"Ia (malaikat) berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci". (Maryam 19:19

"Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" (Maryam 19:20)

"Ia (malaikat) menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya". (Maryam 19:21)

Bayangkanlah perasaan seorang perempuan yang mulia yang akan mengandung tanpa suami! Bagaimanakah dia akan menjelaskannya kepada keluarganya dan orang lain?

"Maka Maryam hamil, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh."(Maryam 19:22

"Dan Kami jadikan (Nabi lsa) ibni Maryam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir. (Al-Mu'minuun 23:50)

"(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" (Maryam 19:23)

Mariam kesakitan. Dia keseorangan. Kalaulah dia sudah mati sebelum itu, katanya. Justeru, bayi yang baru dilahirkannya berkata-kata pula kepadanya.

"Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai". (Maryam 19:24)

"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak." (Maryam 19:25)

"Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".(Maryam 19:26)

Anak yang baru dilahirkannya, selain menyuruh makan dan minum, mengajarnya apa yang harus dilakukan apabila berjumpa orang lain. Dia menyuruh ibunya mendiamkan diri kerana dialah yang akan menjelaskan keadaan sebenar. Selepas itu Maryam pulang ke rumah.

"Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!" (Maryam 19:27)

"Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!" (Maryam 19:28)

Sekiranya Maryam menjawab tuduhan itu tentu keadaan menjadi lebih rumit. Dia mendiamkan diri seperti yang disuruh oleh puteranya.

"Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?" (Maryam 19:29)

Lalu sesuatu yang memeranjatkan mereka berlaku, apabila,

"Ia (Isa) menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi". (Maryam 19:30

"Dan Ia (Allah) menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup". (Maryam 19:31)

"Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka". (Maryam 19:32

"Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". (Maryam 19:33)

Selepas berlaku mukjizat itu, masih terdapat orang-orang yang tidak percaya dan masih mengeji Maryam.

"Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya". (An-Nisaa' 4:156)

Apa yang berlaku pada Maryam harus dijadikan contoh khususnya oleh kaum wanita. Maryam lulus dalam ujian dan betapa teguh keyakinannya kepada Allah.

Maryam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman yang berdarjat tinggi di sisi Allah. 

Allah menyatakan demikian seperti di bawah:

"Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"; (At-Tahriim 66:11)

"Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat". (At-Tahriim 66:12

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu)". (A-li'Imraan 3:42

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...