بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, December 16, 2011

Kenduri kahwin bukan medan tunjuk hebat

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

2011/12/15

MENGADAKAN majlis perkahwinan bertujuan meraikan pasangan yang bernikah dan menghebahkan berita gembira itu kepada saudara-mara serta masyarakat sekeliling. Makluman itu juga bagi mengelak fitnah serta prasangka dalam masyarakat.


Namun, matlamat majlis perkahwinan kini sudah jauh menyimpang daripada tujuan asal apabila wujud perasaan ingin memastikan kenduri yang diadakan lebih meriah daripada orang lain dan memiliki kelainan.



Menganjurkan majlis gilang-gemilang secara besar-besaran tidak dihalang tetapi sebaiknya niat hendaklah menepati kehendak syarak dan tidak menyebabkan timbul masalah kemudian hari seperti menanggung hutang.
Bahkan, digalakkan mereka yang berkemampuan untuk mengadakan majlis untuk meraikan serta menjamu tetamu tanpa mengira latar belakang serta pangkat bagi meluaskan pahala bersedekah.


Bagaimanapun, tidak dinafikan, masyarakat hari ini berlumba-lumba menganjurkan majlis kenduri walaupun sedar perancangan dibuat ada kalanya melampaui kemampuan semata-mata ingin menyaingi orang lain.


Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra, ayat 27)


Mengadakan majlis walimatul urus adalah sunat muakad kepada golongan yang mampu. Daripada Anas Malik, Rasulullah SAW melihat di kepala Abdul Rahman Auf kesan kuning, lalu Baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan dengan mas kahwin satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman Auf dan berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih) 


Malangnya, majlis perkahwinan masa kini sudah bermula dengan bibit awal pembaziran melalui kad undangan yang dicetak eksklusif dan mahal harganya. Itu belum mengambil kira pakaian pengantin, pelamin, solekan, hantaran, tema, sistem bunyi dan cenderahati untuk tetamu.


Semua persediaan walaupun untuk barangan kecil akan membabitkan kos yang ada kalanya membebankan pengantin dan keluarga tetapi hendak juga disediakan kerana semua pasangan yang berkahwin melakukan perkara sama. 


Fenomena majlis kenduri yang gah dan penuh pembaziran wajar dielak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan hari ketiga adalah pamer dan mencari kemasyhuran.” (Hadis riwayat Abu Hurairah) 


Sebaik perancangan untuk pengantin selain menganjurkan majlis perkahwinan secara besar-besaran ialah persediaan menempuh alam hidup berumah tangga. Ini termasuk merancang kewangan keluarga.


Jika semua simpanan dihabiskan untuk majlis perkahwinan, bagaimana dengan pelan membina kehidupan berkeluarga. Bebanan hutang hanya akan mendatangkan masalah kepada pasangan suami isteri yang baru mengenal alam rumah tangga. Adalah tidak wajar mereka dibebankan dengan masalah kewangan majlis kenduri. 


Oleh itu, di sebalik keghairahan merancang majlis perkahwinan, sebaiknya bakal suami isteri mempersiapkan diri dengan memahami tugas serta tanggungjawab yang perlu dipikul bagi memastikan rumah tangga disinari kasih sayang dan persefahaman.


Pasangan bakal berkahwin jangan terlalu mengikut perasaan sebaliknya meneladani konsep perkahwinan yang sederhana dianjurkan Nabi Muhammad SAW.


Sikap bersederhana mengelak umat Islam terjerumus pembaziran yang hanya akan merugikan bukan saja dari aspek mengadakan majlis perkahwinan, juga dalam pelbagai tuntutan kehidupan yang lain. 


Kemeriahan majlis perkahwinan bukan terletak pada mahalnya kos penganjuran kerana majlis yang sederhana juga boleh meninggalkan kesan mendalam kepada tetamu jika dilaksanakan mengikut syariat Islam melalui amalan gotong royong serta hubungan bermasyarakat.


Keberkatan dalam rumah tangga bermula dari majlis perkahwinan sederhana serta mas kahwin berpatutan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya.” (Hadis riwayat Ibn Hibban) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...