بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, December 3, 2011

Kelebihan Masjidil Haram

 



SETIAP tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Masjidil Haram, Makkah bagi menyempurnakan ibadah haji di masjid terbesar di dunia itu.

Masjidil Haram terdapat Kaabah yang didirikan di tengah-tengahnya. Kaabah atau nama lainnya Baitullah (Rumah Allah) atau Baitul Atiq (Rumah Kemerdekaan) dibina menggunakan batu-batu besar berwarna kebiru-biruan yang berasal dari gunung-gunung sekitar Makkah. 

Kaabah pertama sekali dibina Nabi Adam dengan bantuan malaikat. Ia kemudiannya beberapa kali rosak ditimpa bencana dan pelbagai punca lain.

Nabi Ibrahim dengan bantuan anaknya, Nabi Ismail memperbaiki Kaabah, setelah diperintah oleh Allah SWT. Ia adalah tempat paling suci di muka bumi ini kerana menjadi kiblat kepada seluruh umat Islam.

Itu antara keagungan, kemuliaan serta keunikan Masjidil Haram yang tidak dimiliki mana-mana masjid lain di dunia. Masjid yang dibina di atas kawasan seluas 40 hektar itu menyediakan ruang solat terbuka dan tertutup yang boleh menampung sehingga empat juta jemaah terutamanya pada musim haji.

Umat Islam mempercayai Kaabah berada betul-betul di bawah ‘Arasy’ atau Singgahsana Allah SWT. Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan, pada zaman Rasulullah sehinggalah Saidina Abu Bakar menjadi Khalifah, Masjidil Haram tidak mempunyai dinding.

Masjidil Haram seterusnya diluaskan bermula pada 638 Masihi oleh Saidina Umar Ibnu Khattab. Ketika itu, beliau membeli rumah-rumah di sekeliling Kaabah dan diruntuhkan bagi tujuan itu.

Perluasan seterusnya dilaksanakan Saidina Usman Ibnu Affan pada 647 Masihi. 

Pada tahun 696 Masihi, Abdullah ibn Zubair iaitu cucu Saidina Abu Bakar memperluaskan kawasan masjid itu dengan membeli gedung-gedung yang terdapat di sebelah timur dan selatan masjid.

Bahagian utara dan barat pula diambil alih oleh Zaid bin Abdullah ketika di bawah pemerintahan Abu Ja’afar al-Mansur, Khalifah Bani Abas kedua.

Pada tahun 1399, satu kebakaran besar berlaku di Masjidil Haram sehingga menyebabkan banyak bahagian musnah termasuk hasil kesenian yang sukar dicari ganti.

Pada zaman pemerintahan Raja Abdul Aziz, baginda mengambil alih penjagaan masjid itu dengan melakukan perubahan pada seni binanya. Paling ketara ialah ciri-ciri seperti tiang sokongan, diletakkan batu dan marmar buatan, siling serta lantai diganti baru dan sebanyak empat menara didirikan.

Semasa di bawah pemerintahan Raja Fahd pula, baginda melakukan penambahan di ruang bahagian sayap dan kawasan luar masjid.

Sepanjang tempoh berikutnya iaitu dari tahun 1988 hingga 2005, beberapa pembinaan diwujudkan seperti membina kediaman Raja yang menghadap masjid serta menambah ruang sembahyang.

Bagi memberi keselesaan kepada jemaah pada musim haji yang semakin meningkat setiap tahun, laluan bertingkat dan jambatan didirikan bagi mengurangkan kesesakan.

Selain itu, sebanyak 18 pintu gerbang dibina, tiga kubah bersaiz sama dan pemasangan 500 tiang marmar selain penghawa dingin, tangga bergerak dan sistem perparitan.

Pada zaman Raja Fadh juga, projek meluaskan tempat bersaie daripada dua lorong kepada empat lorong dilakukan. Selepas kemangkatan baginda, rancangan keempat perluasan masjid terus dilakukan bermula pada 2007 dan dijangka berterusan sehingga 2020.

Masjidil Haram memiliki puluhan pintu iaitu empat pintu utama dan 45 pintu biasa. Setiap pintu memiliki nama antaranya Shafa, Darul Arqam, Ali, Abbas, Nabi, Babussalam, Bani Syaibah, Huju, Mudda’a, Ma’ala, Marwat, Quraisy, Afqodisiyah, Oziz Thuwa, Umar Abdul Aziz, Murod, Hudaibiyah, Babussalam Jahid, Garoroh, Al-fatah dan pelbagai lagi.

Perkara menarik mengenai Kaabah ialah ia mempunyai penutup dinding (kiswah) yang tergantung dari atas sehingga ke bawah diperbuat dari kelambu sutera hitam. 


Setiap tahun Kiswah itu akan digantikan dan dilakukan pada 10 Zulhijjah ketika jemaah berada di Mina. Kiswah dihiasi dengan tulisan Al-Quran yang disulam secara khusus dengan benang emas.

Di Masjidil Haram juga terdapat Hajar Aswad iaitu batu hitam yang berasal dari syurga dibawa Malaikat Jibril atas perintah Allah. Ia diturunkan daripada syurga dan bertukar menjadi hitam disebabkan kejahatan manusia.

Hajar Aswad terletak di sudut bahagian tenggara Kaabah, iaitu sudut di mana tawaf dimulakan. Manakala Multazam pula adalah dinding atau tembok antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah.

Tempat itu digunakan jemaah untuk bermunajat kepada Allah selepas melakukan tawaf yang menjadi salah satu tempat paling mustajab untuk berdoa. 


Selain Hajar Aswad terdapat Makam Ibrahim tetapi ia sebenarnya bukan tempat persemadian Nabi Ibrahim. Ia adalah bangunan kecil di sebelah timur Kaabah. 


Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari syurga bersama-sama dengan Hajar Aswad. Nabi Ibrahim berdiri di atas batu itu ketika baginda membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail.

Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim boleh dilihat dengan jelas di atas batu berkenaan. Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...