Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PIHAK musuh yang terdiri daripada gabungan pelbagai pihak menyedari bahawa Bani Quraizah, satu-satunya puak Yahudi yang masih berada dalam Kota Madinah. Namun mereka dikatakan begitu setia terhadap perjanjian dengan Nabi Muhammad.
Jadi, tidak mungkin kaum Yahudi itu akan bertindak belot dan bersubahat dengan pihak musuh Islam. Tambahan pula tidak ada jaminan bahawa mereka dengan mudah akan menang dan berjaya menakluk Madinah.
Oleh kerana tiada jalan lain yang dapat difikirkan bagi membantu pihak musuh menewaskan Islam, mereka terpaksa berusaha memujuk puak Bani Quraizah membantu mereka menakluk Madinah.
Dalam hal itu, mereka mengharapkan bantuan ketua puak Yahudi Bani Nadhir, iaitu Huyyay bin Akhtab untuk memujuk Kaab bin Asad Al Qurdhi, ketua Yahudi Bani Quraizah untuk bekerjasama menumpaskan tentera Islam.
Jika Huyyay berjaya dalam misi tersebut, dia dijanjikan dengan pelbagai imbuhan lumayan dan kedudukan yang istimewa.
Lalu Huyyay bersama dengan beberapa orang lagi pengikutnya secara bersembunyi menyusup masuk ke perkampungan Yahudi Bani Quraizah pada waktu malam untuk menemui Kaab.
Kaab sangat terkejut dengan kehadiran Huyyay. Apabila mendengar ketukan pintu dan suara Huyyay yang meminta izin untuk menemuinya, Kaab enggan membuka pintu rumahnya.
Dia tahu kedatangan Huyyay itu pasti membawa sesuatu yang buruk.
Walaupun puas Huyyay merayu-rayu supaya membuka pintu tetapi Kaab tetap enggan kerana dia dan seluruh kaum Bani Quraizah tidak mahu masuk campur permusuhan antara Huyyay dan rakan sekutunya memerangi Nabi Muhammad dan pengikut Islam yang lain.
Namun Kaab memang pakar dalam memujuk rayu dan berdiplomasi walaupun Kaab turut mencerca Huyyay yang menyebabkan Huyyay tersinggung dan sakit hati.
Namun beliau sanggup menahan itu semua dengan terus memujuk Kaab tanpa henti dengan pelbagai kata-kata manis yang kadang kala bercampur ugutan kononnya Kaab hanya menolak tuah kerana enggan menolong pihaknya hendak menakluk Madinah.
"Betapa malangnya kamu wahai Kaab, saya datang dengan membawa satu angkatan perang yang paling berkuasa pada masa ini.
"Semua pahlawan Quraisy, Bani Kinanah, Bani Tihamah, Habsyi dan Ghatafan sudah bersatu membantu saya bagi mengalahkan Muhammad dan pengikutnya.
"Sekarang kami sedang mengepung Kota Madinah. Mereka sudah berjanji tidak akan meninggalkan tempat ini sehingga Muhammad dan semua pengikutnya dibinasakan," kata Huyyay dalam usahanya menakutkan Kaab.
"Kamu datang membawa kehinaan, kesusahan dan pertumpahan darah. Kemudian datang untuk cuba menakut-nakutkan aku.
"Tetapi ingatlah, ia tidak membawa sedikit hasil pun. Muhammad itu tidak dapat dikalahkan. Kerana itu pergilah dan tinggalkan saya dengan Muhammad," kata Kaab pula bagi menyatakan masih setia kepada Nabi Muhammad.
Namun Huyyay dan para pengikut yang lain terus memujuk Kaab.
"Wahai Kaab, kami datang bagi menyelamatkan kamu. Selepas pasukan bersekutu berjaya menakluk Madinah dan memusnahkan Muhammad dan semua pengikutnya, bagaimana pula nasib kamu dan nasib Bani Quraizah?
"Adalah paling baik kamu putuskan sahaja perjanjian dengan Muhammad dan bergabung dengan kami," pujuk Huyyay.
Janji Huyyay andai Nabi Muhammad dan para pengikutnya dapat dikalahkan, orang Quraisy akan pulang ke Mekah dan begitu juga tentera Kinanah, Tihamah dan Habsyi akan pulang ke tempat masing-masing dan mereka kaum Yahudi, terutamanya Bani Nadhir akan pulang semula ke Madinah untuk sama-sama memerintah Kota Madinah.
Akhirnya Kaab terpengaruh juga dengan pujuk rayu Huyyay dan menyatakan persetujuannya untuk bergabung dengan tentera bersekutu dengan meminta tempoh 10 hari bagi membuat persiapan untuk sama-sama memerangi tentera Islam.
Sepuluh hari diperlukan bagi mendapatkan bekalan senjata dan lain-lain peralatan perang dari Rom dan Parsi. Apabila bekalan tersebut sampai barulah mereka akan bergabung untuk menyerang tentera Islam.
Tanpa segan silu
Dengan itu juga Huyyay membuat tiga permintaan daripada pihak Kaab sebagai menguji sejauh mana Yahudi Bani Quraizah itu sememangnya sanggup untuk bekerjasama bagi menjayakan perikatan ini.
Tiga Permintaan itu adalah:
1) Keperluan unta untuk mendapatkan daging dan bekalan gandum untuk diberikan kepada tentera bersekutu yang kononnya untuk disimpan sebagai keperluan ketika berperang kelak sedangkan beliau sengaja tidak mahu memberitahu bahawa pasukan bersekutu sebenarnya sudah kehabisan makanan.
2) Bani Quraizah diminta supaya memutuskan bekalan atau saluran air yang berpunca dari perkampungan Bani tersebut.
3) Bani Quraizah perlu membenarkan perkampungan mereka dijadikan lokasi mula untuk menyerang pasukan tentera Islam.
Iaitu mereka merancang untuk menyerang dari dua tempat, iaitu pertama dari parit di kaki Bukit Sala dan pasukan kedua akan menyerang melalui perkampungan Bani Quraizah.
"Muhammad dan para pengikutnya hanya berada di kaki Bukit Sala dan pastinya mereka tidak akan sedar kami sudah masuk melalui perkampungan Bani Quraizah dengan itu mereka akan dapat dikalahkan dengan mudah" kata Huyyay.
Tanpa segan silu atas nama belot dan khianat terhadap perjanjian damai dengan Nabi Muhammad, Kaab pun setuju dengan semua permintaan tersebut.
Berpaling tadah
Huyyay pun pulang semula ke medan perang dengan gembira dan senang hati kerana misi memujuk Kaab, sekali gus seluruh kaum Yahudi Bani Quraizah akhirnya berjaya bagi mencerahkan lagi harapan mereka untuk menakluk Madinah.
Kepulangannya dengan membawa berita gembira itu umpama suntikan semangat kepada anggota tentera musuh yang semakin kendur.
Mereka kini kembali bangkit dan bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi menakluk Kota Madinah.
Tindakan Kaab berpaling tadah dan menyebelahi pasukan bersekutu itu tentu sahaja mendapat sokongan semua pengikutnya dari kaum Bani Quraizah.
Malah mereka menganggap Kaab bertindak bijak kerana menyokong dan menyebelahi pasukan yang dikira paling kuat dan tidak akan mudah dikalahkan.
Sedangkan mereka tidak tahu dan sedar, mereka sebenarnya sudah diperdayakan oleh Huyyay dan rakan-rakannya.
Sementara menunggu bekalan senjata itu sampai, beberapa orang lelaki dari kalangan Yahudi Bani Quraizah tidak sabar-sabar lagi menimbulkan onar terhadap orang Islam.
Mereka menuju ke perkampungan Harithah yang menempatkan perlindungan kepada kaum wanita dan kanak-kanak kalangan umat Islam untuk menganggu mereka.
Sejak itu berita pengkhianatan daripada kaum Yahudi Bani Quraizah itu akhirnya sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.
Namun berita itu tidak dapat dipastikan kebenarannya sehinggalah satu risikan dan siasatan dilakukan secara berhati-hati.
Lalu baginda pun mengutus beberapa para sahabat, iaitu Saad bin Muaz (Ketua Suku Aus) dan Saad bin Ubadah (ketua kaum Khazraj) bersama-sama dengan dua sahabat lagi iaitu Abdullah bin Rawahah dan Khawwat bin Jubair untuk pergi menemui kaum Yahudi Bani Quraizah itu.
Baginda berpesan kepada wakil-wakil utusan itu dengan berkata: "Pergilah kamu kepada mereka dan lihatlah sendiri apakah berita yang sampai tentang mereka benar atau sebaliknya.
"Sekiranya benar, sampaikan berita itu kepadaku tanpa melemahkan semangat orang ramai. Tetapi sekiranya mereka itu sebenarnya masih setia dan tidak menyalahi perjanjian (damai) kita maka hebahkanlah kepada orang ramai."
Utusan
Utusan
2 comments:
Wow its a very good post. The information provided by you is really very good and helpful for me. Keep sharing good information..
Toyota Sequoia AC Compressor
thank you aisha for dropping by.. :)
Post a Comment