Rasulullah SAw memiliki banyak kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya yang membolehkan kita mengambil berkat daripadanya. - Gambar hiasan |
Minggu ini kita akan menyambung perbicaraan tentang mengambil berkat (bertabarruk) dengan nabi dalam kes-kes yang agak ganjil iaitu dengan meminum darah Nabi SAW.
Jika kita hanya memakai hukum akal dan adat kebiasaan semata-mata dalam menilai riwayat-riwayat ini nescaya sukar kita menerimanya dengan reda. Tetapi Islam mengajar kita bahawa akal harus tunduk kepada wahyu apabila kedua-duanya bertembung walaupun dalam kebanyakan hukum dan riwayat dalam Islam wahyu dan akal adalah selari.
Wahyu mengajar kita bahawa nabi SAW walaupun dari jenis manusia tetapi baginda bukanlah sama dan serupa dengan manusia biasa. Maka tidak menghairankan kita fizikal baginda termasuk peluh, darah malah sisa kumuhan baginda pun tidak sama hakikatnya dan hukumnya berbanding dengan manusia biasa.
Keistimewaan kurniaan Allah SWT ini harus kita lihat sebagai suatu kurniaan dan ketinggian kepada Islam dan umatnya jua, sehingga nabi sebagai tokoh terutama dan tertinggi bagi Islam dan umatnya diberi kelebihan yang sebegitu. Ia sesuai dengan ketinggian dan kemuliaan Islam dan umat Islam.
Para sahabat yang merupakan generasi yang paling memahami Islam dan hukum-hakamnya bertabarruk dengan sisa-sisa tubuh nabi SAW yang mulia itu dan tidak pula dilarang oleh Nabi SAW.
Khabar mengenai Abdullah ibn Zubair
Daripada 'Amir ibn Abdullah ibn Zubair mengisahkan ayahnya pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah datang kepada nabi ketika baginda sedang dibekam.
Setelah selesai dibekam, Baginda SAW bersabda: "Wahai Abdullah (ibn Zubair)! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang tidak seorang pun dapat melihat kamu."
Setelah meninggalkan Rasulullah SAW, dia mengambil darah itu, lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Rasulullah SAW bertanya: "Apakah yang telah kamu lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab: "Aku telah sorokkannya di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai."
Baginda SAW bersabda: "Boleh jadi engkau telah meminumnya?" Dia menjawab: "Ya".
Nabi SAW bersabda: "Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia." (riwayat Al-Hakim, al-Bazzar, Al-Isobah dan oleh Al-Haithami dalam Majma')
Abu Musa mengatakan bahawa Abu 'Asim berkata: "Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa kekuatan yang terdapat pada Abdullah ibn Zubair itu disebabkan keberkatan darah tersebut."
Dalam riwayat Imam al Dar Qutni daripada hadis Asma' binti Abu Bakar juga seperti itu. Dalam hadis tersebut dinyatakan: "Dan kamu tidak akan disentuh api neraka".
Dalam kitab al Jauhar al-Maknun fi Zikr al-Qaba'il wa al-Butun disebutkan, bahawa setelah Abdullah ibn Zubair meminum darah Rasulullah SAW, meruap bau wangi kasturi daripada mulut Ibnu Zubair dan bau itu kekal di mulutnya sehingga dia disalib (syahid). (Dalam Al-Mawahib, al-Quatallani, 1:284)
Khabar daripada Safinah
Imam Tabrani meriwayatkan daripada Safinah r.a katanya: Suatu ketika, Nabi Muhammad SAW berbekam. Setelah itu, baginda bersabda: "Ambillah darah ini dan tanamlah ia daripada (dilihat) oleh binatang, burung dan manusia". Lalu, aku pun menyembunyikannya dan meminumnya. Kemudian, aku memberitahu hal itu kepada Rasulullah SAW, maka baginda pun ketawa. (Al-Haithami dalam Majma' mengatakan bahawa rijal Al-Tabrani adalah thiqah. 8:270)
Khabar Malik ibn Sinan
Dalam Sunan Sa'id ibn Mansur melalui jalan 'Amru ibn Sa'ib disebut: "Telah sampai berita kepadanya bahawa Malik ibn Sinan r.a, bapa Abu Sa'id al Khudri, tatkala muka Nabi Muhammad SAW luka dalam peperangan Uhud, dia menghisap darah baginda SAW sampai bersih dan nampak putih bekas lukanya."
Nabi SAW bersabda: "Muntahkan darah itu!" Malik r.a menjawab: "Aku tidak akan memuntahkannya selama-lamanya." Bahkan, dia menelannya.
Nabi SAW bersabda: "Barang siapa ingin melihat seorang dari ahli syurga, maka lihatlah kepada orang ini." Ternyata, dia gugur syahid dalam peperangan Uhud.
Imam Tabrani juga meriwayatkan hadis seperti itu. Antara lain, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mencampurkan darahku dengan darahnya, nescaya tidak akan disentuh api neraka". (Al-Haithami mengukuhkan hadis ini dalam Majma'nya, 8:270)
Pembekam lain yang minum darah nabi
Ibnu Hibban meriwayatkan dalam al-Dhu'afa', daripada Ibnu Abbas beliau berkata: "Nabi SAW pernah dibekam oleh seorang pemuda dari bangsa Quraisy. Setelah selesai dibekam, dia mengambil darah baginda SAW lalu membawanya ke balik dinding. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri, tiada seorang pun yang kelihatan. Lalu dia menghisap darah itu hingga habis. Kemudian dia menghadap Nabi SAW."
Baginda memerhatikan wajahnya, lalu bersabda: "Celakalah engkau. Apakah yang telah engkau lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab: "Aku menyorokkannya di belakang dinding." Nabi SAW bertanya: "Di manakah engkau menyoroknya?" Dia menjawab: "Wahai Rasulullah! Aku tidak suka jika darahmu itu aku tumpahkan ke bumi. Sebenarnya darahmu itu ada di dalam perutku." Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah. Engkau telah memelihara dirimu daripada api neraka." (Al-Qustallani, al-Mawahib al-Laduniyyah,1:284)
Hadis mengenai Barakah, pembantu Ummu Habibah r.a
Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar: "Telah meriwayatkan Abdul Razzaq daripada Ibnu Juraij, beliau berkata: Aku diberitahu bahawa nabi pernah buang air kecil ke dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada tembikar. Kemudian, baginda meletakkannya di bawah katilnya."
Apabila baginda hendak mengambilnya kembali, ternyata bekas itu tidak mengandungi apa-apa. Rasulullah SAW bertanya kepada seorang perempuan yang bernama Barakah, pembantu Ummu Habibah yang datang bersamanya dari Habsyah: "Di manakah air kencing di dalam bekas itu?" Dia menjawab: "Aku telah meminumnya."
Rasulullah SAW bersabda: "Semoga engkau beroleh kesihatan, wahai Ummu Yusuf!" Dia memang digelar dengan gelaran Ummu Yusuf. Selepas peristiwa itu, dia tidak pernah sakit, kecuali sakit yang mengakibatkan kematiannya. (Ibnu Hajar, al-Talkhis al Habir fi Takhrij Ahadith al-Syarh al-Kabir, (2: 32))
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaei secara ringkas. Berkata al Hafiz al-Suyuti: "Ibnu Abdul Bar telah menyempurnakan penulisan hadis ini di dalam al-Isti'ab." Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW bertanya Barakah tentang air kencing yang terdapat di dalam bekas tersebut. Lalu Barakah berkata: "Aku telah meminumnya, wahai Rasulullah!" Seperti yang disebut oleh hadis. (Al-Suyuti, Sharh Sunan Al-Nasaei, 1:32).
No comments:
Post a Comment