Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Setelah berhari-hari umat Islam berusaha menggali tanpa henti, parit yang panjangnya 12,000 hasta hampir mengelilingi Kota Madinah akhirnya siap.
Si bapa munafik, Abdullah bin Ubai pun kagum melihatkan parit panjang yang mulanya dianggap mustahil akhirnya berjaya disiapkan.
"Belum pernah orang Arab mahupun Yahudi membina parit yang sebegini hebat," katanya.
Parit tersebut benar-benar satu bentuk benteng pertahanan yang sangat strategik. Adalah mustahil mana-mana pihak dapat menceroboh dan menyerang Madinah dari luar kota tersebut.
Mujurlah strategi parit yang besar, dalam dan panjang ini tidak diketahui pihak musuh. Mereka menyangka pastinya Nabi Muhammad dan seluruh anggota tentera Islam akan mempertahankan diri dalam satu medan perang di luar kota Madinah sebagaimana yang banyak berlaku sebelum ini.
Lalu tentera Islam yang hanya seramai 3,000 anggota itu masih sempat melakukan persiapan di saat-saat akhir sebelum menghadapi kehadiran hampir 11,000 tentera musuh.
Ini termasuk mengarahkan seluruh kaum wanita dan kanak-kanak berlindung dalam kubu di perkampungan Bani Harithah. Ia terletak di atas sebuah daratan tanah yang tinggi berhampiran perkampungan Yahudi Bani Quraizah.
Oleh kerana kaum Yahudi ini masih terikat dengan kesetiaan dan perjanjian dengan Nabi Muhammad, mereka diharap dapat menjaga keselamatan ahli keluarga umat Islam saat berlakunya perang kelak.
Para tentera Islam tidak diarahkan oleh Rasulullah selaku panglima perang untuk berada di sepanjang parit yang mereka gali itu. Sebaliknya, mereka hanya berkumpul berhampiran Bukit Sala dengan beberapa tentera ditugaskan meronda dan berkawal di sepanjang parit itu dan sekitar Kota Madinah.
Saat yang mendebarkan dan genting itu akhirnya tiba. Segerombolan tentera musuh akhirnya tiba di luar kota Madinah.
Dikatakan mereka sempat menuju ke Bukit Uhud dan menyangka tentera Islam akan bertahan dan berkubu di situ.
Apabila mendapati tiada tanda-tanda bahawa tentera Islam menanti di situ, tentera musuh terus beredar ke Madinah. Sejurus tiba di luar kota Madinah hari menjelang malam dan gelap. Oleh itu, pihak musuh tidak mengetahui apa yang menanti di luar dan keliling kota Madinah.
Mereka kemudiannya mendirikan khemah-khemah untuk berehat sebelum merancang menyerang kota Madinah awal pagi esoknya.
Pasukan tentera Quraisy Mekah seramai 5,800 anggota yang dipimpin oleh Abu Suffian bin Harb adalah pasukan tentera yang berkhemah paling hampir dengan kota Madinah iaitu hanya dua kilometer dengan kota tersebut.
Abu Suffian dengan perasaan bongkak dan sombong yakin dengan kekuatan tenteranya sahaja kota Madinah pasti akan dapat ditawan dalam masa sehari!
Dengan harapan apabila mereka berjaya, tentera Quraisy akan mendapat habuan peperangan termasuk tawanan dan harta rampasan perang yang lebih lumayan dan besar berbanding anggota tentera sekutu yang lain.
Lalu malam itu, Abu Suffian mengarahkan anggota tenteranya membakar unggun-unggun api. Mereka juga membuat bising supaya didengari oleh umat Islam yang berada di kota Madinah.
Semua ini bertujuan menimbulkan rasa takut tentera dan penduduk Madinah melihatkan begitu ramai tentera musuh yang kekuatannya tentulah jauh lebih hebat berbanding mereka.
Namun semua itu tidak menyebabkan kota Madinah perlu dikosongkan. Mereka tetap berjaga-jaga dan bertahan sehingga keesokan harinya.
No comments:
Post a Comment