TANDA kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad S.A.W ialah dengan memperbanyakkan selawat kepadanya. Dengan selawat itu akan menghadirkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT serta mengundang hikmah dalam urusan seseorang.
Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam dengan penghormatan kepadanya.”
Beberapa ulama menulis: “Di dalam ayat al-Quran, baginda yang mulia dipanggil dengan an-Nabi dan bukannya Muhammad sebagaimana nabi-nabi lain yang sering dipanggil nama-nama mereka.
Itu adalah kerana keunggulan, kemuliaan dan kehormatan baginda yang paling tinggi. Dalam surah Ali-Imran ayat 68 , Nabi Muhammad SAW disebut bersama baginda Ibrahim.
“Sesungguhnya orang yang paling dekat dengan Ibrahim ialah orang-orang yang mengikuti Nabi ini.” Memuji dan menghormati Nabi SAW berbeza menurut peribadi orang yang menghantar selawat itu.
Sama juga dengan perbezaan dengan perkataan ‘kasih’ seperti kasih seorang bapa kepada anaknya bermakna kasih serta sayang kepada anaknya sementara kasih anak kepada bapanya bermakna menghormati dan mentaati bapanya.
Demikian rahmat Allah ke atas Nabi Muhammad SAW bermaksud pujian dan perhatian-Nya kepada baginda dengan kasih sayang dan keampunan.
Sahabat Nabi pernah bertanya kepada Baginda, ‘Wahai Nabi Allah! kami maklum cara mengucap salam ke atasmu (iaitu salam yang dibaca di dalam at-Tahiyat Qa’adah). Ajarkanlah pula kami cara mengucap Solat (Selawat- Rahmat atau Darud)”. Lalu Nabi menyuruh mereka membaca selawat berikut: “Ya Allah cucurilah Rahmat-Mu ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad.
Allah menyuruh kita memohon rahmat ke atas Nabi dan Baginda mengajarnya kepada kita semua. Cara mengucap rahmat yang betul ialah memohon kepada Allah SWT menganugerahkan rahmat-Nya yang terpilih serta keampunan-Nya kepada Nabi secara berterusan, berpanjangan dan berkekalan.
Justeru buku Kelebihan Selawat ini adalah bahan cukup berharga kepada umat Islam bagi menambah kecintaan kepada Allah dan rasul. Buku ini mengandungi pelbagai penceritaan dan hujah dari al-Quran dan hadis berkaitan kelebihan selawat supaya mereka terdorong melakukannya.
Sumber : SINI |
INFO:
Tajuk: Kelebihan Selawat
Penulis: Maulana Muhammad Zakariya
Penerbit: Inteam Publishing Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM24.00 (Semenanjung) RM26.00 (Sabah dan Sarawak)
Muka Surat: 293 muka surat
No comments:
Post a Comment