Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Bicara IKHLAS
ANTARA berita yang biasa kita saksikan di dada akhbar dan kaca televisyen saban hari ialah kes-kes pembunuhan. Ia seolah-olah telah menjadi berita wajib yang menghiasi warta jenayah sumber-sumber berita yang ada. Bagaikan tidak ada penghujungnya, kes-kes pembunuhan dilihat makin menjadi-jadi sehingga ada kes yang tidak mendapat liputan media kerana mungkin tiada 'nilai komersial' lagi.
Islam telah menganggap pembunuhan sebagai dosa yang amat besar. Sehingga orang yang membunuh dan juga yang terlibat dengan pembunuhan tersebut dijanjikan dengan balasan yang amat dahsyat sekali. Bukan sahaja balasan seksaan yang berat menunggu mereka di akhirat, bahkan hukuman tegas pasti akan dijatuhkan sekiranya didapati bersalah. Betapa beratnya balasan di akhirat dapat diperhatikan dengan ancaman untuk menjadikan si pembunuh sebagai penghuni neraka selama-lamanya dan mendapat kutukan serta kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam. Dia akan kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya. (an-Nisa': 93)
Mereka yang terlibat atau bersubahat menjayakan pembunuhan tersebut juga tidak terlepas daripada hukuman yang berat dan terhindar daripada rahmat Allah SWT sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Barang siapa yang membantu untuk membunuh seorang Muslim walaupun dengan satu kata (ucapan), maka dia akan menjumpai Allah SWT dalam keadaan tertulis di antara kedua belah matanya 'orang yang putus asa dari rahmat Allah SWT. (riwayat Ahmad)
Sebagaimana yang kita tahu, Allah SWT telah menetapkan detik kematian seseorang itu termasuklah cara kematiannya. Kesemua yang berkaitan dengan kehidupan dan kematian telah termaktub dan tertulis di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Justeru, Allah SWT melarang kita dari mendahuluinya dalam menetapkan kematian seseorang.
Inilah hakikatnya yang berlaku kepada orang yang melakukan pembunuhan. Mereka seolah-olah ingin mendahului Allah SWT dalam menetapkan detik kematian, mendahului malaikat dalam mencabut nyawa manusia.
Imam Az-Zahabi telah menyenaraikan dosa membunuh manusia sebagai dosa kedua terbesar selepas dosa syirik kepada Allah SWT.
Beliau merujuk kepada firman Allah SWT:
Dan mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah SWT, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah SWT kecuali disebabkan dengan kebenaran... (al-Furqan: 68)
Bagi menghalang berlakunya pembunuhan, Islam telah mendatangkan langkah pencegahan bermula dari awal lagi. Islam telah mendidik manusia supaya kasih-mengasihi, sayang-menyayangi serta saling menghormati di antara satu sama lain.
Islam juga melarang daripada mempunyai penyakit-penyakit hati seperti berikut;
1- Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian (hubbu dunya wakarahiyatul maut): Cinta kepada dunia dapat melahirkan sifat tamak kepada pangkat, harta benda dan sebagainya dan benci kepada kematian menyebabkan seseorang itu alpa kepada pembalasan di akhirat.
2- Cemburu dan iri hati: Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh melihat orang lain melebihinya. Lalu digunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan orang tersebut termasuklah melalui pembunuhan.
3- Dendam kesumat: Terdapat di kalangan kita yang sukar memaafkan dan melupakan kesalahan. Lantas ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati. Apabila perasaan ini dipendamkan, ia akan mencetuskan dendam yang berpanjangan.
Ketiga-tiga sifat di atas adalah antara punca utama berlakunya kes-kes pembunuhan. Walaupun hukuman yang layak bagi si pembunuh ialah hukuman mati, namun masih terdapat di kalangan kita yang sanggup melakukannya tanpa rasa takut dan gentar.
Justeru, untuk menghentikan jenayah ini, ia perlu bermula di hati. Pembersihan hati perlu bermula dengan pendidikan dan pengurusan hati untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang tiada ubatnya. Ia adalah kaedah terbaik bagi mencegah berlakunya pembunuhan.
No comments:
Post a Comment