Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
PASANGAN yang berkahwin mengharapkan kelahiran anak sebagai pengikat kasih sayang dan langkah ke arah pembinaan keluarga. Namun, tidak semua mahligai perkahwinan dianugerah Allah dengan kelahiran anak walaupun usia perkahwinan terus bertambah.
Malah, ada yang hingga menghembuskan nafas terakhir tidak juga dikurniakan cahaya mata walaupun sepanjang hayat mereka pelbagai usaha sama ada berubat secara moden mahupun secara tradisional dilakukan.
Nabi Ibrahim pun dianugerahkan anak iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak pada usia yang lewat 99 tahun dan terakhir 112 tahun.
Allah berfirman yang bermaksud:
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. (Surah Ibrahim, ayat 39)
Kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai anak ada yang mengambil keputusan untuk mendapatkan anak angkat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), anak saudara yang miskin atau anak luar nikah.
Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima pewarisan. Malah, isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.
Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum Baginda menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad.
Tradisi ini berlanjutan hingga tahun ketiga atau keempat hijrah. Allah kemudian memerintahkan anak angkat untuk dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) jika diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak angkat juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.
Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.
Firman Allah yang bermaksud:
Dia tidak menjadikan anak angkatmu sebagai kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa mereka, itulah yang lebih baik dan adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan saudara sepupumu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Ahzab, ayat 4-5)
Mengambil anak angkat kerana sifat kasihan kepadanya seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan adalah digalakkan di sisi syarak kerana memelihara anak angkat dengan penuh kasih sayang akan mendapat ganjaran besar. Cuma perlu dijaga peraturan syarak.
Dalam keadaan tertentu, hukum mengambil anak angkat boleh menjadi wajib apabila timbul ketakutan anak itu jatuh ke tangan orang kafir. Justeru, bagi mengelak akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan dijadikan anak angkat.
Anak angkat boleh dijadikan mahram dengan cara ibu angkat menyusukan anak berkenaan. Jika bapa angkat masih bujang, maka berikan saudara perempuannya menyusukan anak itu sebanyak lima kali. Dengan itu anak angkat akan menjadi anak saudara susunya.
Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan kerana mereka dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah. Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam.
Jika seseorang anak angkat mengetahui statusnya apabila sudah dewasa, maka sejak saat itu dia perlu menjaga semua batasan termasuk aurat kerana hubungannya dengan keluarga angkat bukan mahram.
Dari segi pembahagian harta, Islam menetapkan anak angkat tiada hak mewarisi pusaka. Jika hendak diberi juga kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah. Cara lain ialah dengan mewasiatkan harta kepada anak angkat tetapi tidak lebih satu pertiga.
Kesimpulannya, harus seseorang memelihara anak angkat yang bukan dari darah dagingnya. Cuma hendaklah diingat bahawa anak angkat itu hendaklah dinasabkan kepada bapa biologinya, jangan sesekali dinasabkan kepada bapa angkat kerana ia menyalahi hukum syarak.
Kesediaan memelihara anak angkat memperlihatkan keprihatinan masyarakat terhadap kesejahteraan kanak-kanak, khususnya anak yatim piatu yang tiada tempat bergantung atau anak yang dibuang kerana kelahiran mereka tidak dirancang.
Namun, jika diteliti, banyak permasalahan timbul disebabkan ibu bapa angkat yang tidak faham apa sepatutnya dilakukan mereka terutama dalam hal ehwal membabitkan hukum syarak. Oleh itu, bagi ibu bapa yang ingin memelihara anak angkat, perlu sentiasa menjaga hukum.
Ini supaya niat murni itu mendapat ganjaran baik dan tidak mendedahkan mereka kepada perkara yang menyalahi ajaran agama.
BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment