بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, December 9, 2011

Kaabah musnah tanda kiamat?


Oleh SITI AINIZA KAMSARI

AGAK tertarik apabila dicatatkan bahawa buku yang ditulis oleh pendakwah muda dari Indonesia ini diulang cetak sebanyak tiga kali walaupun baru diterbitkan pada tahun ini.

Buku ini telah dicetak 10,000 naskhah bagi memenuhi permintaan dan minat pembaca di negara ini.

Persoalannya, mengapa minat pembaca yang agak luar biasa ke arah untuk mengetahui mengenai Bencana Akhir Zaman yang bermakna akan berlakunya kiamat itu?

Sumber Gambar : SINI

Tidak dinafikan sedikit sebanyak kerana terdapatnya ramalan demi ramalan oleh pelbagai pihak yang menyatakan pendapat mereka bahawa kiamat pasti akan berlaku pada tahun 2012, iaitu hanya beberapa hari sahaja lagi mulai sekarang.

Ini termasuk kesan dari propaganda yang ditinggalkan oleh filem 2012, kisah dunia dilanda kiamat dengan dahsyatnya yang digarap atau diadaptasi pembikinan filem tersebut daripada buku terlaris, Fingerprints of God oleh Graham Hancock.

Sehinggakan Kaabah di Mekah yang menjadi kiblat umat Islam turut hanyut dan hilang dilanda bah besar dalam filem tersebut.

Walaupun ia merupakan peristiwa kiamat mengikut propaganda Yahudi, namun bukan sedikit kesan yang ditinggalkan oleh filem tersebut kepada kita semua.

Maka kehadiran tahun 2012 dinanti dengan penuh debaran.

Namun sebagai umat Islam, mengapa perlu bimbang bahawa kiamat itu pasti akan berlaku pada tahun hadapan? Kiamat tetap berlaku tetapi bila masanya berlaku kiamat itu adalah rahsia Allah.

Malah junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga tidak mengetahui dengan pasti akan bila akan berlakunya bencana akhir zaman itu.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita satu ajaran dari Allah yang cukup besar dan wajib diketahui dan dihayati oleh umat Islam, iaitu tanda-tanda kiamat, sama ada tanda-tanda kecil mahupun besar.

Jika kita percaya dan mengimani kepada apa yang ditinggalkan Rasulullah itu, wajarkah kita bimbang bahawa kiamat akan berlaku pada 2012?

Jika melalui filem 2012 digambarkan Kaabah juga akhirnya hancur ditelan kiamat tetapi jika dilihat daripada perspektif Islam sendiri, bagaimana 'nasib' Kaabah itu sendiri?

Menurut penulis yang juga Pengarah di Madrasah Diniyah Islamiah di Surakarta, Indonesia, memang berlakunya kehancuran kaabah sebagai salah satu yang termasuk dalam tanda-tanda besar berlakunya kiamat.

Diceritakan saat itu kaabah sudah tidak mempunyai apa-apa makna. Tiada yang menjaga dan menjadikannya sebagai rumah ibadat utama umat Islam dari seluruh dunia.

Sehingga datang seorang lelaki berkulit hitam yang botak kepalanya dari Habsyah (Ethopia) bernama Dzu Suwaiqatain yang terus menghancurkan Kaabah. Dia merosakkan segala yang ada pada Kaabah. Mengoyak dan menjatuhkan kelambu (kiswah) dan mengambil batu-batu dinding dengan pencedok dan cangkul.

Ini sebagaimana yang diambil daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, iaitu bererti sebuah hadis sahih.

Melihatkan pada keadaan cuaca panas, sejuk, hujan, ribut dan banjir yang kebelakangan ini yang tidak diduga dan menentu berlakunya di seluruh dunia, maka dikatakan juga termasuk sebagai tanda-tanda akhir zaman.

Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tidak berlaku kiamat selagi hujan tidak mencurah-curah di atas manusia sehingga rumah-rumah dan tembok tidak lagi dapat bertahan. Tiada yang dapat berlindung daripadanya kecuali khemah-khemah yang berada di padang pasir."

Mengandungi lima bab, buku ini sebenarnya tidak sekadar menghuraikan mengenai rukun iman yang kelima, iaitu percaya kepada hari kiamat. Tetapi kehadiran buku ini sangat tepat pada masa manusia yang ramai mendabik dada bahawa tidak takut mati. Namun, buku ini meminta kita agar sekurang-kurangnya takut pada kehadiran hari kiamat.

Jika kita meletakkan iman dan kepercayaan yang cukup tinggi kepada hari kiamat maka tentulah tiap manusia akan sedar akan janji Allah bahawa setiap kita akan tetap mati.

Maka kita akan melakukan persediaan untuk menghadapi detik-detik kematian dan kiamat itu sendiri.

Agak menarik apabila penulis dapat menyenaraikan hampir 16 tanda-tanda walaupun disifatkan sebagai kecil tetapi semua ini memberi peringatan kepada kita semua.

Ini termasuklah riba yang bermaharajalela, meluasnya perbuatan seks luar nikah, minum arak dianggap perkara biasa, berlumba-lumba meninggikan bangunan, manusia bermegah-megah membangunkan masjid, pasar-pasar semakin dekat jaraknya, meniru tingkah laku mereka yang bukan Islam, muncul-munculnya wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, orang tua menyerupai orang muda, banyaknya pembohongan dan kesaksian palsu.

Malah tersebarnya buku dan hasil karya juga dikatakan termasuk dalam tanda-tanda ke arah berlakunya hari kiamat yang Allah sahaja mengetahui bila akan berlaku.

Mungkin kita sudah biasa mendengarkan semua ini dan kita menyedari perkara tersebut telah banyak pun berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Tetapi sudah begitupun adakah kita menyedari akan natijah yang menanti?

Jawapannya, tidak! Manusia tidak pernah mengambil pengajaran dari apa yang terjadi. Tetapi masih percayakan hari kiamat hanya jika ditunjukkan bukti-bukti atau tanda-tanda yang besar?

Sehingga di saat itu, adakah manusia itu sendiri mempunyai umur yang panjang yang penuh diberkati?

Maka percayakan sahaja pada buku ini kerana ia berdasarkan dalil-dalil sahih yang diambil daripada al-Quran dan hadis.

Jangan percaya kepada propaganda Yahudi dan Nasrani sama ada melalui filem mahupun buku-buku mereka walaupun mereka juga mempunyai mempercayai akan berlakunya Kiamat itu mengikut dogma dan perspektif mereka sendiri.

Bagi mereka, kiamat itu bererti musnahnya semua agama di muka bumi ini (maka ia menjadi sedutan dalam filem pemimpin spiritual Buddha, Dalai Lama turut hanyut dalam ombak besar yang menghampiri pergunungan Tibet dalam filem 2012) dan anda tahu siapa sebenarnya yang terselamat ketika kiamat itu berlaku, bukan Islam tetapi mereka!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...