SOALAN:
Semasa menghadiri kuliah Maghrib di sebuah masjid, saya pernah mendengar seorang ustaz menyebut kalimah mustahiq zakat. Saya tidak berapa faham apakah maksudnya dan bolehkah dijelaskan lebih lanjut. Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih di atas pertanyaan ini. Itulah untungnya jika kita rajin ke masjid. Banyak perkara mengenai ilmu Islam dapat kita pelajari.
Baiklah, menyentuh mengenai soalan saudara berkenaan, iaitu apakah mustahiq, maka suka dinyatakan bahawa mustahiq adalah golongan yang berhak ke atas zakat. Ia berasal daripada bahasa Arab, iaitu kalimah istahaq yang membawa erti yang berhak atau patut.
Dalam istilah lain, mustahiq juga dikenali sebagai asnaf zakat.
Dalam al-Quran, terdapat beberapa surah yang membicarakan perihal mustahiq zakat ini. Antara surah yang paling jelas dan banyak menyentuhnya, adalah surah at-Taubah.
Misalnya, di dalam ayat 60, surah at-Taubah, Allah SWT telah menggariskan siapakah yang dinamakan mustahiq zakat itu secara terperinci dan jelas.
Maksud firman Allah: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat (amil), para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba (riqab), orang-orang yang berhutang (gharimin), untuk jalan Allah (fisabilillah) dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan (ibn sabil), sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)
Dalam firman-Nya yang lain, Allah SWT menyebutkan: Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir, miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan (ibnu sabil). (ar-Rum: 38)
Malah Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan: Dan sesungguhnya harta itu indah lagi sedap. Maka sebaik-baik harta orang Muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan ibnu sabil. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Bagi kalangan mualaf pula, diriwayatkan pula oleh Abdullah bin Zaid dan Anas bin Malik,bahawa Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta rampasan perang selepas kemenangan dalam perang Hunain. Mereka menyatakan baginda SAW telah memberi (harta kepada) orang yang hendak dipujuk hatinya (orang yang baru masuk Islam atau mualaf), dan hadis ini dikeluarkan oleh Imam Muslim.
Untuk orang yang berhutang, maka Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Sesungguhnya meminta zakat itu tidak halal; kecuali pada tiga golongan, pertama, orang yang memikul beban untuk mendamaikan dua pihak yang sedang bersengketa (sehingga dia terpaksa mengeluarkan hartanya bagi tujuan mendamaikan), maka dihalalkan baginya meminta sehingga ia memperolehinya (zakat)." (Sebahagian hadis sahih riwayat Ahmad, Muslim, an-Nasaie dan Abu Daud).
Bagi tujuan fisabilillah, Nabi SAW mengungkapkan: Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang adalah yang dinafkahkan untuk keluarganya, untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fisabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fisabilillah (riwayat Muslim).
Oleh itu, daripada segala dalil sama ada al-Quran mahu pun hadis di atas, jelaslah sudah kepada kita siapakah yang dimaksudkan sebagai mustahiq atau asnaf zakat tersebut.
Walau bagaimanapun, daripada aspek teknikal yakni takrifan ke atas kelapan-lapan asnaf ini.
Ada yang masih kekal sama seperti mana pada zaman Nabi Muhammad SAW dan ada yang diberikan definisi baharu sesuai dengan keperluan zaman oleh para fuqaha mutakhir.
Maknanya, telah berlaku sedikit-sebanyak perubahan, bermula dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari ini.
Misalnya, dalam konteks fisabilillah, para fuqaha tidak lagi membataskannya kepada aspek peperangan menegakkan agama Islam semata-mata.
Bahkan ia turut meliputi segala usaha yang matlamat akhirnya bersifat maslahah amah(kepentingan umum) dan mengajak serta membawa seluruh manusia kepada keredaan Allah SWT.
Atas dasar itulah, para fuqaha misalnya al-Razi, al-Kasani, Sadiq Hassan Khan, Muhammad Rashid Redha dan Muhammad Shaltut menyatakan, asnaf fisabillah boleh dikembangkan kepada kepentingan Islam lain yang tidak terbatas.
Kesimpulannya, eloklah saudara terus mendalami mengenai mustahiq zakat ini agar tindakan saudara dalam memberikan zakat adalah menepati kehendak syarak dan menepati juga keutamaan.
Misalnya segelintir orang Islam suka memberi zakat secara persendirian dan mengenepikan peranan amil dan institusi zakat. Perbuatan ini, biarpun sah tetapi tidak menepati sunah.
Hanya melalui majlis ilmu sahajalah kita dapat lebih memahami kehendak syariat.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment