بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, December 20, 2011

Kepelbagaian istilah imam

SECARA harafiah, “imam” bererti “pemimpin”. Pada mulanya, pengertian imam lazimnya dikaitkan dengan ibadat solat.

Berbeza halnya daripada khalifah yang mempunyai dimensi politik, imam pula mempunyai dimensi keagamaan.
Namun pada hakikatnya, di samping sebagai pemimpin Islam dalam pemerintahan, seseorang khalifah juga merupakan pemimpin agama, terutama pemimpin solat di masjid.

Oleh itu, khalifah juga ialah imam. Namun demikian, pengertian imam pada zaman Khulafa al-Rasyidin tetap bersandarkan keagamaan. Imam baru yang mengandungi makna politik wujud selepas zaman kepimpinan Khulafa al-Rasyidin berakhir, terutama setelah muncul golongan Khawarij.

Golongan itu terus-menerus melakukan bantahan terhadap pemerintah Islam yang berkuasa. Mereka menganggap pemerintah pada saat itu tidak berpegang teguh pada ajaran Islam.

Dari segi agama, pengertian imam dapat dilihat dalam solat berjemaah. Dalam solat itu, lazimnya ada seorang yang menjadi pemimpin dan berada di hadapan. Dialah yang disebut imam dan pengikut di belakangnya disebut makmum.

Gelaran kehormat

Dalam sejarah pemikiran Islam, istilah imam juga digunakan sebagai gelaran kehormat. Seseorang yang mempunyai kebolehan menguasai ilmu tertentu dinamakan imam, termasuklah Imam Bukhari, Imam Juwaini, Imam al- Tabari, dan Imam al- Ghazali.

Dalam al-Quran, imam mempunyai banyak pengertian. Dalam surah al-Isra’ ayat 71, imam bererti catatan amal yang telah dihitung. 

A071

(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (Al-Israa' 17:71)


Di samping itu, imam juga boleh membawa maksud “jalan”. Hal itu diungkapkan dalam surah al-Hijr ayat 79.

A079


Maka Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang membinasakan; dan sesungguhnya kedua-duanya itu terletak di jalan yang terang (yang masih dilalui orang). (Al-Hijr 15:79)


Imam juga boleh bererti “Luh Mahfuz”, seperti terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catatkan satu persatu dalam Kitab yang jelas nyata. (Q.36: 12)

A012
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. (Yaa Siin 36:12)

Imam juga boleh bererti “pedoman”. Hal itu termaktub dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi petunjuk dan rahmat (kepada umatnya). (Q.46: 12)

A012

(Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab - yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), - diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan. (Al-Ahqaaf 46:12

Pandangan golongan Sunnah

Golongan Sunnah menganggap bahawa masalah imamah (kepimpinan) merupakan masalah keduniaan. Proses menangani dan membentuk imamah terletak kepada umat. Pemilihan seseorang imam dilakukan oleh kumpulan Ahl-al-Imamah (mereka yang memenuhi syarat dan berhak menjadi imam).

Pandangan Syiah

Konsep imamah bagi golongan Syiah merupakan perkara penting dan merupakan sebahagian daripada rukun iman. Oleh itu, imamah merupakan sebahagian daripada rukun iman. Oleh itu, imamah merupakan tiang agama dan dasar ajaran Islam yang ditentukan oleh Allah SWT melalui nas.

Kepemimpinannya tidak ditetapkan berdasarkan pendapat umat. Jawatan ketua pemerintahan merupakan hak Ali bin Abu Talib dan keturunannya. Ajaran agama memberikan hak tersebut kepada Ali dan keturunannya melalui wasi, pelimpahan kekuasaan dengan penuh kepercayaan.

Golongan Syiah percaya bahawa yang berhak menjadi khalifah selepas Nabi Muhammad dan Ali Abu Talib ialah Hassan bin Ali bin Abu Talib (cucu kepada Rasulullah).

Pemimpin sesat

Dalam al-Quran, istilah “imam” tidak selama-lamanya merujuk kepada pemimpin yang soleh tetapi juga pemimpin yang sesat.

Oleh sebab itu, istilah imam bersifat neutral. Ertinya, istilah itu boleh juga merujuk kepada pemimpin yang baik, seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya ayat 73.

A073

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami. (Al-Anbiyaa' 21:73

Namun, dari sudut lain, istilah itu merujuk kepada pemimpin yang sesat, seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 41.


A041

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. (Al-Qasas 28:41)


Nota:

Ayat-ayat darpada www.surah.my itu dicatat sebagai tambahan.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...