بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, December 9, 2011

Azabnya seksaan neraka - Surah al-Haqqaah ayat 25 hingga 34


N3 ini sambungan daripada Bagaimana Kiamat Berlaku

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Setelah Allah SWT menyebut perihal orang yang berbahagia memperoleh kegembiraan setelah menerima lembaran amalan perbuatan mereka, kemudian Dia menjelaskan pula keadaan mereka yang baik dalam kehidupan dan tempat tinggal.

Kemudian Allah SWT menambahkan lagi dengan menyebut kedukaan dan kesedihan orang yang celaka dan kafir dengan diletakkannya belenggu dan ikatan pada leher serta tangan mereka dan diberinya kepada mereka ghislin sebagai makanan.

Kemudian Allah SWT pun menyebut faktor berlakunya semua itu kerana pada ketika dahulu tidak beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Mereka juga tidak mahu memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan dan orang yang ditimpa nasib malang.

Firman Allah SWT: 

Adapun orang yang diberi kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini). (al-Haqqah: 25)

Muqatil berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Aswad bin Abd al-Asad yang telah dibunuh oleh Hamzah dalam peperangan Badar. Beliau adalah saudara kepada Abi Salamah. Sedangkan pendapat yang lain pula ia diturunkan kepada Abu Jahal.

Ibn Kathir berkata: Ia merupakan perkhabaran yang tegas daripada Allah berkenaan golongan yang mendapat kecelakaan. Apabila diberi catatan amalannya pada hari kiamat dengan tangan kirinya, maka mereka amat menyesal.

Firman Allah SWT: 

Dan Aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku. Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang kekuasaanku daripadaku. (al-Haaqah: 26-28)

Al-Sobuni berkata: Seolah-olah dia berkata bahawa dia tidak mengetahui betapa dahsyatnya perhitungan dan persoalan yang ditanya.

Ini untuk menggambarkan kehebatan dan gerun yang amat sangat sehingga mereka bercita-cita harapan supaya kematian yang telah berlaku di dunia dulu bersifat kekal dan tidak ada lagi kebangkitan untuk dikenakan azab.

Qatadah berkata: Dia bercita-cita mati sedangkan tiada suatu pun perkara yang dibenci lebih dari kematian. Ini kerana dia telah melihat keadaan yang menakutkan, pahit dan memedihkan melebihi daripada kematian yang pernah dirasainya.

Syed Qutub berkata: Dia berdiri lama. Dia menyesal dan merintih panjang dan mengeluarkan keluhan putus asa yang tidak habis. Itulah keindahan gaya penerangan al-Quran.

Ia memanjang atau memendekkan cerita sesuatu peristiwa mengikut saranan yang mahu diterapkan ke dalam jiwa manusia.

Di sini ia mahu menerapkan sikap menyesal dan sedih di sebalik pemandangan yang sayu itu kerana itulah ceritanya dipanjangkan. Si malang itu bercita-cita agar dia tidak berdepan dengan keadaan ini tidak diserahkan buku amalannya dan tidak tahu hisabnya.

Seterusnya dia berangan-angan agar kiamat menamatkan riwayat hidupnya buat selama-lamanya tidak dibangkitkan kembali.

Kemudian dia merintih kerana kini tiada apa pun dari harta kekayaan yang disayangi dan dikumpulkannya di dunia itu berguna kepadanya.

Firman Allah SWT: (Allah berfirman): 

"Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh. (al-Haaqah: 29-32)

Ibn Kathir berkata: Allah perintahkan malaikat Zabaniah supaya mengambil dan mengganyang mereka dengan keras dibawa ke mahsyar dalam keadaan dirantai pada lehernya kemudian diseret ke neraka jahanam seterusnya dibakar di dalamnya.

Berkenaan dengan rantaian sebanyak 70 rantai dikatakan bahawa ia mengikut hasta para malaikat seperti kata Ibn Abbas: Seorang ulama bernama Nauf al-Syami berkata: Setiap hasta jaraknya seperti 70 depa yang jumlahnya cukup jauh. Dikatakan semua ahli neraka dirantaikan.

Firman Allah SWT: 

Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang Maha besar. Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin. (al-Haaqah: 33-34)

Ibn Jauzi berkata: Mereka tidak pernah benarkan dengan ke-Esaan dan keagungan Allah. Tambahan lagi tidak pernah menjamu dan memberi makan orang miskin bahkan lebih parah dari itu tidak menyuruh supaya diberi makan kepada orang miskin.

Syed Qutub berkata: Kerana hatinya kosong dengan keimanan kepada Allah dan kosong dari rahmat kasihan belas kepada manusia. Oleh itu, hati ini tidak layak melainkan api neraka.

Hatinya kosong daripada iman kerana ia laksana bumi gersang, tanah runtuhan dan tanah kesang. Dia tidak mempunyai nur.

Dia adalah makhluk ganjil yang tidak menyerupai makhluk yang hidup dan tidak pula menyerupai kejadian yang tidak bernyawa.

Ini kerana seluruh makhluk beriman dan bertasbih memuji Tuhannya serta menjalinkan hubungan dengan sumber kewujudannya tetapi dia putus hubungannya dengan Allah dan putus hubungannya dengan makhluk yang beriman kepada Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...