بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, December 21, 2011

Bersubahat dalam suasana perang

Replika Pedang Zulfikar, pedang milik Saidina Ali bin Abi Talib yang digunakan untuk membunuh Amru bin Abdu Wud dalam perang Khandaq.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

TENTERA musuh dengan jumlah yang sebegitu ramai begitu buntu bagaimana untuk melepasi parit besar yang digali oleh tentera Islam yang hanya seramai 3,000 orang itu.

Melihatkan cubaan nekad seorang rakan mereka, Naufal bin Abdullah yang memecut kudanya untuk melompat melepasi parit itu gagal menambahkan lagi kekalutan di pihak musuh.

Tetapi kematian Naufal itu memberikan ilham kepada pihak musuh dalam cubaan mereka untuk menyerang tentera Islam.

Mereka sanggup menawarkan wang sebanyak 10,000 dirham dan 500 ekor kambing untuk menuntut kembali mayat Naufal yang kini berada di pihak Islam.

Dengan harapan apabila mereka mahu menuntut kambing-kambing tersebut, pihak Islam akan membina jambatan bagi membolehkan haiwan ternakan itu dibawa masuk ke Madinah. Pada masa itulah dikira sebagai masa yang sesuai untuk menyerbu dan menyerang tentera Islam.

Namun Rasulullah sedia menyerahkan mayat Naufal tanpa perlu dibayar sebagai pertukaran.

Pihak musuh begitu kecewa apabila rancangan mereka tidak menjadi. Namun kematian Naufal perlu dibela yang menyebabkan mereka tetap nekad untuk membalas dendam.

Akhirnya empat orang dari pihak musuh dengan salah seorangnya merupakan adik kepada saidina Umar bin Al Khattab, iaitu Dhirar bin Al Khattab dengan beraninya cuba menyeberangi parit dengan cara mereka saling membantu antara satu sama lain untuk memanjat tebing dan akhirnya mereka berjaya berada di seberang parit.

Kemudian salah seorang daripada mereka, iaitu Amru bin Abdu Wud yang dianggap sebagai pahlawan paling hebat dan perkasa walaupun telah berusia lanjut, iaitu 90 tahun tampil kehadapan lalu mencabar pihak Islam untuk berlawan dengannya.

Tidak ada sesiapa daripada pihak Islam yang sedia menyahut cabaran Amru itu. Malah mereka membiarkan sahaja pahlawan daripada pihak musuh itu berteriak seorang diri. Ia menyebabkan Amru bertambah sombong dan bongkak.

Apabila suaranya semakin serak kerana mencabar tentera Islam, ketika itulah pahlawan muda Islam yang hanya baru berusia 25 tahun, Saidina Ali bin Abi Talib melangkah ke hadapan dan bersedia untuk bertarung dengan Amru.

Namun Amru enggan bertarung dengan Ali kerana baginya anak muda itu bukan tandingannya. Dia mahukan yang lebih dewasa dan lebih perkasa untuk satu lawan satu.

Sebenarnya tidak ada lagi kekuatan yang tinggal pada Amru itu kecuali suara yang lantang. Sedangkan kudratnya begitu lemah dan jauh berbeza daripada kekuatan dan ketangkasan yang dimiliki Ali.

Mereka akhirnya saling serang menyerang, berbalas-balas tetakan pedang tetapi penghabisannya Ali mengambil kesempatan untuk terus membunuh Amru saat pahlawan musuh itu mencungap kepenatan.

Kematian Amru disambut dengan suara takbir yang kuat bergema dan bersahut-sahutan dengan penuh kegembiraan oleh para tentera Islam.

Manakala tiga lagi yang mengiringi Amru segera lari menyelamatkan diri yang menyebabkan Khalid Al Walid, salah seorang pahlawan terkenal dari pihak kafir Quraisy sangat marah dengan tindakan mereka yang membiarkan Amru mati tanpa dibela.

"Kamu bertiga sepatutnya membunuh Ali, bukan melarikan diri!" Marah Khalid.

"Kami berada di seberang parit. Sekiranya kami membunuh Ali maka kami juga akan dibunuh mereka, lebih baik kami lari menyelamatkan diri," kata Dhirar.

Mereka kemudiannya bergaduh dan saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

Namun mereka tetap menyerang pihak Islam dengan melancarkan serangan panah walaupun anak-anak panah yang dilepaskan dari busur-busur pasukan memanah itu tidak satu pun dapat melepasi tebing parit besar tersebut.

Ini menyebabkan pihak musuh benar-benar berada dalam keadaan tertekan.

Di pihak Islam pula, mereka mengambil kesempatan untuk melancarkan satu bentuk serangan yang cukup unik, iaitu dengan cara bersubahat.

Perbuatan bersubahat adalah sangat dilarang dalam Islam sebagaimana ditegaskan oleh Allah dalam sebuah firman-Nya yang bermaksud: Jangan kamu bersubahat (bersekongkol) dengan orang yang melakukan kezaliman, (Hud: 113)

Namun dalam keadaan pihak musuh sering bertelagah sesama mereka dan tidak mencapai kata sepakat maka ketika inilah seorang pemuda, Nuaim bin Mas'ud meminta kebenaran daripada Rasulullah untuk 'bersubahat' dengan pihak musuh.

Satu cubaan yang sangat berani dan risiko sangat tinggi. Namun Rasulullah terpaksa membenarkannya.

Setelah mendapat kebenaran daripada baginda, Nuaim berpura-pura menyebelahi pihak musuh dan akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada mereka.

Rupa-rupanya dalam pasukan musuh itu, Nuaim berperanan memecah-belahkan perpaduan suku Quraisy dengan ahli-ahli gabungan yang lain.

Perbuatan Nuaim yang menawarkan rasuah dan mengadu domba antara Yahudi dan Quraisy itu menyebabkan kekuatan musuh walaupun bilangan melebihi pihak Islam semakin hari semakin lemah.

Ternyata tindakan bersubahat itu sedikit sebanyak menjadi satu strategi yang bermanfaat untuk menyelesaikan sesuatu masalah lebih-lebih lagi dalam suasana perang seperti itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...