بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, December 10, 2011

Rebut peluang solat sunat gerhana malam ini



Oleh Hasliza Hassan

FENOMENA gerhana bulan penuh yang akan disaksikan malam ini bermula jam 7.30 malam pasti ada kelebihan padanya dan kita disarankan merebut peluang yang datang untuk meningkatkan ketakwaan serta mendekatkan diri kepada Allah. 


Seperti kebiasaan, Masjid Negara dan masjid serta surau di kebanyakan tempat menganjurkan solat sunat gerhana bulan yang diikuti dengan khutbah untuk mengajak umat Islam menghargai kesempatan diberi Allah melihat akan kekuasaan-Nya.


Penolong Pengarah Kanan Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni, berkata solat sunat gerhana bulan adalah sunat muakad, amalan sunat yang sangat dituntut sempena berlakunya peristiwa yang jarang-jarang sekali terjadi.

Justeru, katanya, kesempatan melihat sendiri fenomena yang boleh melahirkan rasa takjub terhadap kekuasaan Allah itu dihidupkan dengan menunaikan solat sunat secara berjemaah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Tidak dinafikan jika dulu apabila berlaku gerhana bulan, ada yang melakukan perkara khurafat atau amalan bertentangan syarak tetapi kini fahaman itu tidak ada lagi. Oleh itu, sebaiknya apabila melihat fenomena yang jarang berlaku ini kita mengambil hikmah serta pengajaran daripadanya. 

Apabila dikatakan bulan gerhana, bermakna bulan sakit dan sepatutnya keadaan itu mengingatkan kita kedudukan dunia yang semakin tua atau menghampiri kiamat. Walaupun kita tidak tahu bila berlakunya kiamat, persediaan mesti dibuat secara berterusan, katanya. 

Beliau berkata, peluang yang diberikan kepada manusia termasuk melihat perubahan atau pergerakan cakerawala boleh mendorong mereka memikirkan keajaiban yang berlaku serta kepentingannya dalam kehidupan di dunia ini. 

Ehsan berkata, Jun lalu Masjid Negara dengan kerjasama Planetarium Negara menganjurkan solat sunat gerhana dan khutbah khas sempena peristiwa itu dan jemaah turut berpeluang melihat sendiri perubahan berlaku menggunakan kemudahan disediakan pihak Planetarium Negara. 

Katanya, Masjid Negara akan mengadakan solat sunat gerhana dan khutbah khas sempena fenomena gerhana bulan penuh dan orang ramai dijemput hadir ke program berkenaan sebagai tanda kesyukuran dan menginsafi kejadian alam kurniaan Allah. 

Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada Jun lalu. Gerhana bulan penuh yang akan berlaku malam esok sudah menepati jangkaan ia akan berlaku sekali lagi pada Disember ini. 

Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik saja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Jika gerhana yang lalu berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai. 

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan iaitu sekitar jam 8.30 malam. 

Bulan akan berada dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam. 

BH2011/12/10


Panduan solat gerhana



Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam)

ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I’tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I’tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
10. Salam



Sumber : SINI 


Atau klik SINI  


Amalan sunat semasa gerhana pula seperti berikut: 

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

Bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

Memerdekakan hamba. Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat. Sumber : ekhutbah.wordpress

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...