بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, December 23, 2011

Khutbah Jumaat: Masyarakat prihatin dapat hindari kemungkaran berleluasa



2011/12/23

MUTAKHIR ini hampir setiap hari dilaporkan media massa pelbagai fenomena gejala sosial melanda masyarakat negara kita. 

Perlakuan buruk ini bukan saja membabitkan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Antara fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita seperti kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya.


Pada pemerhatian mimbar kebanyakan kes itu membabitkan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan besar timbul ialah kenapa ia berlaku? Adakah ia menggambarkan agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya atau sikap masyarakat Islam yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga ada mayat di sebelah rumah, anak kecil di dera atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya. Adakah ini ajaran Islam yang sebenar kepada umatnya?

Mimbar berasa yakin sikap sebegini bersalahan daripada tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain seperti bangunan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (hadis Riwayat Muslim ) 

Manusia dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota, maka anggota lain turut merasainya. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita saja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran. Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak beriman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya” (Hadis Riwayat Muslim) 

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat dipupuk nenek moyang kita suatu ketika dulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan generasi terdahulu, kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bila dilihat seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa. 

Lebih daripada itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul ibu bapa. Ini menyebabkan anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana sedar semua orang mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur. 

Berbeza sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini yang konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka. Masyarakat yang prihatin, saling tegur-menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, sama ada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen kesedaran. Pada masa sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlaku pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat. Justeru, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Kita bukan lagi hidup dalam gua seperti zaman purba. Kita hidup bermasyarakat, berkomuniti, berhubung antara satu sama lain, saling bergantungan ibarat pepatah ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing.’ 

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. 

Mari kita bertanya kepada diri kita, apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa sama akhlak manusiawi runtuh roboh. Mimbar percaya jika masyarakat bersikap prihatin, isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingat gejala sosial isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman. 

Porak-peranda kehidupan masyarakat berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Permasalahan ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap ‘keakuan’ dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dulu. kita juga mesti menanam perasaan kasih sayang terhadap masyarakat dan negara. Renungi pepatah Melayu yang menyebut ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’. 

Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ia dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk masyarakat prihatin dan perpaduan sejagat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan pihak pemerintah pada hari ini. 

Justeru, Islam menggalakkan umatnya sentiasa bekerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara demi mencapai kebaikan sebagai usaha mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwa kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). 

Sumbangan JAKIM 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...