بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, December 17, 2011

Persaudaraan Muslim pikat Burke


 SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

SETELAH tamat kuliah pengajian tinggi di bidang kejuruteraan teknikal, Yusuf Burke terus ditawarkan bertugas sebagai jurutera teknikal di sebuah syarikat elektrik terkemuka, General Electric (GE).

Tugas tersebut akan membuatkan Burke selalu ke luar negara yang mana ia sesuai dengan minat dan latar pendidikan yang beliau miliki.

Pada tahun 1994, Burke telah dihantar untuk bertugas di Indonesia yang merupakan negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam yang pertama pernah beliau kunjungi.

Tanpa perlu berada lama di sana, Burke terus terpikat dengan keramahan masyarakat negara itu yang turut menyebabkan beliau tertarik mendalami Islam.

Usaha mendalami itu akhirnya mendorong beliau memeluk Islam pada tahun 1996, setelah hanya dua tahun berada di Indonesia.

Burke dibesarkan di New York, Amerika Syarikat (AS) dan berasal daripada keluarga yang taat kepada ajaran Kristian Katolik. Namun beliau tetap belajar mengenai pelbagai budaya termasuk kepelbagaian agama terutama ketika di universiti.

Ini membuatkan beliau mempunyai sedikit asas-asas pengetahuan mengenai Islam terutama dasar-dasar dalam ajaran agama itu.

"Walaupun saya juga sebenarnya penganut Kristian yang taat tetapi yang membuatkan saya dapat menerima Islam kerana Islam bagi saya sebuah agama yang sangat logik dan mudah diterima akal.

"Sebagai seorang jurutera, saya sangat menghargai dan lebih menerima perkara-perkara yang bersifat logik, bukan khayalan apalagi membabitkan perkara mistik dan tahyul," katanya.

Ditambah lagi pengalaman hidup di tengah-tengah komuniti Muslim membuatkan Burke dapat merasakan persaudaraan antara mereka. Semua itu membuatkan beliau tertarik hati untuk menerima Islam.

Ketika bertugas di Australia dan Malaysia, Burke sempat mengambil kursus agama Islam walaupun daripada guru yang berbeza-beza.

Tetapi dari cara mereka menyampaikan ajaran mengenai Islam, Burke dapat meyakini bahwa Islam adalah ajaran dan jalan yang benar.

Pastinya keputusan Burke menjadi seorang muslim, membuatkan seluruh ahli keluarganya terkejut.

"Tetapi saya yakin mereka memahami keputusan saya menerima Islam kerana mereka terdiri daripada golongan yang berfikiran terbuka dan saya kira mereka menghormati semua orang, terutama mereka yang menganut agama monoteisme seperti saya," ujar Burke.

Meskipun demikian, Burke tetap merasakan perlu memberikan penjelasan mengapa beliau memilih Islam dan berharap dengan penjelasan itu sekali gus dapat menghapuskan pandangan salah mengenai Islam dan umatnya di Amerika Syarikat.

Setelah diberi penjelasan, akhirnya keluarga Burke dapat menerima malah menyokong penuh penukaran akidah beliau kepada Islam.

Sekarang, Burke merupakan aktivis terkemuka di AS dengan memegang jawatan sebagai salah seorang pengarah di sebuah pertubuhan Islam, iaitu Council on American Islamic Relations (CAIR) salah satu organisasi mempromosikan Muslim terbesar di AS.

Burke menjelaskan, selain memberikan penerangan dan memperbetulkan pandangan yang salah mengenai Islam di AS, tugas utama CAIR juga membantu komuniti Muslim di AS untuk berintegrasi dan bergaul baik dengan pelbagai lapisan masyarakat di negara Uncle Sam itu.

Tegas beliau, kebanyakan masyarakat AS tidak memahami bagaimana Islam melihat sesuatu persoalan dan bagaimana orang Muslim itu sendiri memberikan penilaian terhadap pelbagai topik dan isu yang muncul di tengah-tengah masyarakat AS.

"Kami ingin membawa sentuhan Islam di AS. Jadi, masalah hak dan kebebasan sivil menjadi keutamaan kami. Kami membantu setiap muslim yang mengalami perlakuan atau mangsa diskriminasi hanya kerana mereka seorang muslim, baik di tempat kerja atau dasar-dasar pemerintah.

"Saat ini, ada beberapa kes yang sedang kami tangani untuk diselesaikan," jelas Burke mengenai CAIR.

Menurutnya, undang-undang dan peraturan AS yang menjamin kebebasan beragama dan menunaikan ibadah sesuai mengikut keyakinan masing-masing menjadi salah satu daya tarikan mengapa ramai masyarakat luar ingin tinggal menetap di AS.

"Tetapi masih ramai lagi yang tidak memahami dasar itu, misalnya di tempat kerja. Pihak majikan harus menyediakan kemudahan kepada para pekerja mereka yang beragama Islam termasuk kebenaran untuk wanita Muslim menutup aurat memakai tudung, waktu dan tempat untuk mendirikan solat.

"Jilbab atau tudung masih dan sering menjadi persoalan di AS, terutama jika berkaitan dengan peraturan pakaian seragam dengan pelbagai dalih, termasuk dalih soal keamanan dan keselamatan kerja.

"Mereka harus diberikan penjelasan bahwa jilbab merupakan mandat bagi kaum perempuan dalam Islam, dan jilbab itu sama sekali tidak membahayakan dan selayaknya diizinkan digunakan di tempat kerja," kata Burke.

Dalam beberapa kes, tambah Burke lagi, organisasinya berjaya memberikan pendidikan dan pemahaman mengenai menutup aurat dan bertudung itu serta kewajipan-kewajipan lainnya yang harus dilakukan oleh seorang muslim.

Tetapi ada juga beberapa kes yang terpaksa melalui perbicaraan di mahkamah namun jumlah kes seperti ini tidaklah banyak.

"Komuniti Muslim harus tahu siapa wakil-wakil mereka dalam kerajaan, memahami pelbagai isu yang berlaku dalam masyarakat dan memberikan hak suara dan mengundi mereka dalam pilihan raya," ujar Burke.

Meskipun komuniti Muslim menghadapi tekanan dan cabaran yang berat di AS dan menuntut mereka untuk berjuang dengan lebih kuat dan keras namun Yusuf Burke melihat masa depan yang cerah bagi komuniti Muslim di AS.

"Selagi kita tetap memegang teguh prinsip-prinsip yang kita yakini, dan menunjukkan dan menampilkan diri sebagai seorang muslim yang baik dan sejati, saya sungguh yakin, komuniti Muslim di AS memiliki masa depan yang cerah," ujar Burke.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...