بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, December 16, 2011

Belia benteng pertahanan negara

AKTIVITI bersama masyarakat mampu lahirkan generasi muda yang berjiwa kental.
AKTIVITI bersama masyarakat mampu lahirkan generasi muda yang berjiwa kental.

Oleh Nik Salida Shuhaila

2011/12/15

AKTIVITI bersama masyarakat mampu lahirkan generasi muda yang berjiwa kental.
Generasi muda perlu dalami ilmu agama elak tersasar

GOLONGAN muda harus dijadikan benteng pertahanan negara yang sedia berjuang dan berkorban apa saja untuk menyelamatkan tanah air tercinta. Dengan fizikal yang kuat, akal cerdas dan iman tuntas, generasi muda perlu menyedari serta meletakkan diri mereka di tempat sewajarnya.

Tiada siapa mampu menafikan kebanyakan generasi muda hari ini lebih bijak. Mereka betah bersama golongan yang lebih dewasa kerana mempunyai ilmu dan pengetahuan tinggi. Untuk menjadi benteng negara, selain fizikal dan minda perkasa, golongan muda juga bertanggungjawab dalam urusannya dengan Allah SWT, manusia dan alam.
Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita sedangkan impian hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar,
Mereka harus memahami kepentingan ilmu sehingga sanggup menadah kitab walau di mana saja dan apa juga rintangannya kerana mereka yang akan meneruskan legasi memastikan umat Islam seluruh dunia hidup di landasan agama sebenar.

Sungguhpun generasi muda cukup matang menilai dan membina keupayaan, tanpa bimbingan, mustahil mereka mampu menerajui diri untuk menjadi insan terbilang yang memiliki kebijaksanaan, kecerdasan akal serta sahsiah mulia.

Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga kelihatan lesu mencari punca, tetapi masalah semakin meruncing serta tidak terbendung. 

Selain itu, mereka harus mempunyai hikmah dalam tindak tanduk selain adil, amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mungkin mereka tidak akan ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain. 
Mereka juga mesti berani kerana kejayaan tidak dapat dicapai tanpa ada rasa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, itulah langkah untuk mencipta kejayaan yang lain seterusnya menjadi ikutan kepada golongan yang memerlukan qudwah hasanah di kalangan mereka.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara.

Bagaimanapun, ia memerlukan hasrat dan tekad yang tinggi serta sokongan berterusan. Perkara merisaukan ialah jika peluang menjadi orang muda yang hanya sekali dirasai sepanjang kehidupan dipersiakan dengan kejahilan terhadap agama.

Hari ini generasi muda menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim. 

Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islami, sering membantah, melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul yang mudah meresapi minda sehingga menjadikan nujum sebagai guru yang membimbing akidah mereka. 

Sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan hidup untuk menuntut ilmu dan mengamalkan akhlak mulia sekali gus merubah kehidupan dan keluarga supaya mengikut acuan agama.

Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar mempertingkatkan komitmen dan tanggungjawab membimbing mereka mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir supaya anak sentiasa diingatkan serta tahu batasan dalam tindak-tanduk, bukan menghalalkan semua cara sehingga menggadaikan maruah agama. 

Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan mereka bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini. 

Bukan semua jahil bahawa masa muda hanya sekali dan jika tidak diambil peluang, akan berlalu pergi begitu saja.

Mereka harus berjaga-jaga, jangan sampai waktu muda merosakkan kehidupan. Tetapi ramai juga yang terpesong ke jalan lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi mereka yang selayaknya. 

Justeru, orang muda perlu mengatur langkah lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka juga hendaklah setia kepada pemimpin, apalagi ibu bapa yang setia bersama sepanjang hayat. 

Bagi generasi akan datang, zaman muda ini adalah tempoh mencorakkan masa depan dan boleh jadi menakutkan jika apa yang dicorakkan lebih dahsyat daripada fenomena dilalui belia hari ini. Diharap mereka dapat berubah dan mengubah untuk masa depan lebih baik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...