بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, December 29, 2011

Tanam teras agama kepada anak-anak


Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

RAMAI ibu bapa gembira apabila keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan kerana kejayaan anak-anak mereka dalam peperiksaan tersebut.
Namun ada juga di kalangan ibubapa yang berdukacita kerana anak mereka tidak secemerlang rakan-rakan mereka yang lain.

Apa pun keputusannya anak-anak tersebut perlu meneruskan kehidupan mereka ke aras yang lebih tinggi lagi di dalam sistem pelajaran kebangsaan dan juga kehidupan seharian mereka.

Walaupun peperiksaan awam penting ia bukanlah satu-satunya kayu pengukur yang menjamin kejayaan anak-anak pada masa hadapan.

Ibu bapa perlu melihat anak-anak sebagai kurniaan Allah yang tidak terhingga nilainya. Mereka perlu dijaga dengan sebaik-baiknya serta diberi perlindungan dan pelajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Jiwa mereka juga perlu disulami dengan elemen kerohanian yang tinggi agar mampu menjadi benteng dan perisai kepada segala cabaran. Peranan ibu dan bapa tidaklah boleh dipandang ringan atau dilaksanakan secara sambil lewa sahaja.

Ia adalah tugas yang tiada penghujungnya dan ibubapa akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ia tidak hanya ketika anak-anak tersebut menghadapi peperiksaan awam sahaja tetapi setiap detik ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka beroleh pendidikan yang sempurna.

Atas dasar itu ibu bapa perlu mempunyai ilmu serta mengetahui peranan mereka kepada anak anak dalam jagaan mereka.

Ibu bapa Islam perlu menyemai nilai-nilai Islam kepada anak-anak mereka sejak usia kecil kerana ketika itu jiwa mereka masih lagi kosong, suci dan senang menerima apa yang diajarkan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah (suci) maka ibu bapanyalah yang akan menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim)

Oleh yang demikian dapatlah disimpulkan bahawa Islam memandang berat dan menuntut ibubapa untuk mencorakkan anak anak mereka dengan corak yang sesuai dengan agama Islam.

Walau bagaimanapun sering ibu bapa terlepas pandang dan kurang mengambil berat urusan menanam teras beragama kepada anak-anak sejak dari kecil lagi.

Anak-anak seringkali terkapai-kapai mencari jati diri serta nilai murni untuk diteladani. Hakikat ini sebenarnya telah juga dikenalpasti oleh sarjana barat seperti Glen Doman yang menyebut: "Apabila ibu bapa yang benar-benar menyayangi anak-anak mereka menyampaikan ilmu dan kebolehan anak tersebut akan menjadi lebih girang, baik, penyayang daripada mereka yang tidak diberikan peluang tersebut."

Napolean pula pernah menegaskan: "biarlah negeri Perancis ini memiliki ibu-ibu yang baik, pastinya kita akan memiliki anak-anak muda yang handal."

Charles Simmon pula menyebut: "Sekiranya anda mahu membersihkan dunia dari noda dan dosa, bermulalah dengan membantu ibu-ibu."

Jelaslah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak amatlah besar dalam konteks pembangunan negara itu sendiri. Ibu bapa adalah faktor penting kepada perkembangan kejayaan anak-anak.

Dalam melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan, menjadi teladan yang baik kepada anak-anak dengan mengamalkan ajaran agama secara keseluruhannya.

Pendekatan mendidik yang berbeza pada tahap-tahap yang tertentu juga amat penting bagi menyeimbangkan kemajuan intelek anak-anak.

Anak-anak yang di dalam kandungan, bayi, sebelum mencapai umur mumaiyiz, setelah baligh dan setelah mencapai umur matang perlu diberi pendekatan yang berbeza dalam menyulami hidup mereka dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat.

Sudah sering kita mendengar cerita anak-anak yang biadap terhadap ibu bapa malah anak yang menentang usaha agama yang dijalankan oleh ibu bapa mereka juga tidak kurang banyaknya yang telah berlaku.

Mereka menjadi musuh kepada perjuangan ayah bonda mereka dalam menegakkan agama. Hal ini sebenarnya telah diingatkan oleh Rasullullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Bukanlah musuhmu itu orang yang apabila kamu bunuh dia, bererti kamu menang dan kalau kamu mati terbunuh maka kamu akan masuk syurga. Tetapi kadang kadang musuhmu itu adalah anak yang lahir dari tulang rusukmu sendiri. Kemudian musuhmu yang paling besar lagi adalah harta yang kamu miliki."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...