بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, December 25, 2011

Hanya akan mati dalam Islam

Kisah Lia Rojas (1): Ingin Mendalami Agama yang Dianutnya, Ia Malah Terpikat Islam
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
LIA Rojas sudah setahun mempelajari Islam. Tetapi hanya baru enam bulan yang lalu beliau mengucapkan dua kalimah syahadah dan rasmi menjadi seorang Muslimah.

Wanita yang berasal dari Dallas, Texas, Amerika Syarikat itu sanggup melepaskan agama lama yang menjadi anutannya selama ini demi Islam.
Semuanya ini bermula saat Lia menjadi guru agama Khatolik.

Suatu hari beliau perlu mengajar di dengan tajuk Mengapa (memilih) Khatolik?
Sebagai guru yang baru mengajar, Lia mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk tajuk pelajaran yang bakal diajarkannya di kelas itu.
"Tentu saja saya sudah melakukan persiapan sejak lapan bulan dahulu. Ini kerana saya benar-benar mahu belajar dan ketika itulah secara tidak sengaja saya menemukan Islam.

"Buat pertama kali saya mendengar perkataan Islam yang membuatkan saya terus mencari dan ingin tahu lebih lanjut mengenai agama tersebut," kata Lia menceritakan peringkat awal beliau mengenal Islam.
Lia memanfaatkan jaringan Internet sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam yang akhirnya mendorong beliau datang ke masjid dan berpeluang berkenalan dengan teman-teman baru yang beragama Islam di masjid itu.

Pada teman-teman barunya yang beragama Islam itu, Lia menceritakan mengenai kelas agama Khatolik di mana beliau sedang mengajar dan bagaimana beliau sedang belajar sedikit mengenai Islam.
"Lalu, teman-teman Muslim saya itu memberikan senaskhah al-Quran (terjemahan) dan saya terus mulai membacanya.

"Pada surah yang awal sahaja saya sudah menjadi begitu kagum sehingga tidak mampu untuk meneruskan bacaan. Saya bagaikan tidak percaya dengan kejutan yang al-Quran berikan kepada saya.
"Sejak itu saya tidak lagi mengunjungi gereja. Apatah lagi untuk kembali mengajar di kelas mengenai Khatolik," katanya.

Lia mengaku beliau benar-benar tergamam saat mengetahui kebenaran dalam ajaran Islam.

Kata Lia, dalam agama asalnya beliau berdoa kepada tuhannya untuk meminta pertolongan bagi keluar dari pelbagai persoalan hidup seperti orang buta.

"Saya tidak pernah menyedari bahwa saat itu saya seperti orang buta. Sekarang usia saya 40 tahun dan baru menyedari akan kesalahan itu.

"Pada umur 40 tahun ini baru saya benar-benar menyedarinya," tegasnya.

Saat membaca al-Quran itu, beliau merasa ada sesuatu yang masuk ke dalam kalbunya.

Sesuatu yang menyatakan bahawa kebenaran itu ada dalam al-Quran.

"Saya hampir tidak percaya apa yang saya lakukan saat berdoa di masa lalu. Mengapa saya begitu buta mengenai fakta ini," tukas Lia.

Lia akhirnya memutuskan dengan yakin untuk memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid pada bulan Jun lalu.

Ramai teman-temannya terkejut apabila mengetahui keputusannya memeluk agama Islam.

Akibatnya ada antara mereka yang tidak lagi mahu bersahabat dengan Lia. Namun, ada juga beberapa temannya yang turut gembira dan menyokong keputusan Lia menjadi seorang Muslimah.

"Saat saya mengucapkan dua kalimah syahadah itu, saya merasa mendapat sesuatu yang istimewa yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata.

"Ada perasaan yang sangat gembira, meski juga tidak mudah kerana ada sisi lain yang harus kita lihat.
"Ini kerana, apabila seseorang penganut Khatolik menjadi seorang Muslim, apa yang akan saya katakan kepada keluarga?

"Bagaimana saya hendak menyampaikan hal ini pada keluarga? Saya merasa benar-benar menghadapi persoalan yang rumit," kata Lia.

Kekhuatirannya itu akhirnya benar-benar terjadi. Keluarganya bukan sahaja terkejut malah pelbagai tekanan diberikan.

Namun, sekali syahadah sudah terlafaz, Lia tidak akan menarik balik. Malah beliau akan buktikan kebenaran ajaran Islam berbanding agama-agama lain.

Sebenarnya ada satu pengalaman yang cukup bermakna sebelum Lia memutuskan untuk bersyahadah.
Seperti biasa ke mana sahaja beliau akan pergi, Lia lebih memilih untuk hanya memakai celana pendek dan kemeja T dengan bahagian atasnya mendedahkan dada.

Pada suatu hari dengan berpakaian yang seperti itu, beliau hendak ke sebuah pusat membeli belah.
Ketika itu beliau sebenarnya telah dua bulan membaca al-Quran. Sebaik sahaja sampai dan ketika hendak keluar dari keretanya, secara tiba-tiba Lia terpandang dan terperasan akan keadaan kakinya yang terdedah kerana hanya memakai celana pendek dan pakaian yang begitu menampakkan dadanya. Saat itu beliau merasa malu yang tidak terhingga melihat keadaan dirinya yang seperti itu.

"Saya merasa sangat malu dan tidak mampu keluar dari kereta. Saya membuka pintu kereta dua, tiga kali tetapi saya tidak mampu untuk keluar seolah-olah semuanya menjadi kaku. Kaki sahaja menjadi terlalu berat untuk melangkah.

"Saya terus tertanya-tanya apa yang telah terjadi dengan saya. Secara tiba-tiba terbit perasaan malu melihatkan keadaan pakaian saya itu," ungkap Lia.

Hampir 10 minit lamanya Lia tidak berani keluar dari keretanya kerana perasaan malu itu lalu beliau terus pulang ke rumah dan menangis.

"Saat itu, mungkin dalam hati saya sudah sebagai seorang Muslim. Tetapi saya belum menyedarinya," ujar Lia.
Sebagai seorang mualaf, Lia berpesan kepada mereka yang belum bergelar Muslim supaya benar-benar mempelajari kembali agama mereka.

"Teliti dan kaji kembali agama yang kalian anuti. Jika kamu seorang Kristian, bacalah Alkitab yang menyatakan dengan jelas 'tidak ada tuhan selain-Nya'.

"Itu ertinya Tuhan itu satu. Tidak ada tuhan-tuhan selain daripada-Nya. Jangan hanya mengulang apa yang diajarkan kepada kamu sebelum ini.

"Lihatlah ke dalam dirimu. Belajarlah, paling mudah gunakan perkataan Islam sahaja sebagai pencarian ketika melayari Internet.

"Kita akan menemui begitu banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat mengenai Islam.
"Saya merasa begitu mendapat keistimewaan dan keberkatan daripada Allah. Saya kira Allah telah membuka kedua-dua mata saya.

"Jujur, daripada hati yang paling dalam jika saya mati, saya akan mati hanya sebagai seorang Muslim walaupun apa pun cabaran yang mendatang," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...