بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, December 6, 2011

Cinta bukan tiket gadai maruah

Oleh Muhammad Asyraf


Remaja mesti bijak jaga penampilan elak digoda lelaki 

PENGUMUMAN di akhbar tempatan berkenaan isu pembuangan bayi, keterlanjuran gadis dan masalah sosial di kalangan remaja agak merunsingkan. Statistik menggambarkan betapa seriusnya krisis itu. Fokus kita bukan sekadar menyalahkan remaja perempuan. Ia juga membabitkan lelaki yang tidak bertanggungjawab meragut kesucian wanita. Namun, kita cuba mengatasi detik bagaimana wanita begitu mudah terpedaya pujuk rayu lelaki.


Mereka akhirnya terpaksa menanggung beban hamil anak luar nikah, ditinggalkan lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab, maka anak tidak bersalah itu dibuang begitu saja. Pengharaman pembuangan bayi jelas bagi kita.

Firman Allah bermaksud: 

“Jangan kamu membunuh anakmu lantaran takut kelaparan, Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka mahupun kepadamu; sesungguhnya membunuh mereka suatu dosa besar.” (Surah al-Israk, ayat 31). Menariknya, ayat berkenaan pengharaman membunuh ataupun membuang anak itu diiringi ayat yang menghalang zina. 

Ayat berikut dalam surah yang sama bermaksud: 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Israk, ayat 32) 

Kesinambungan ayat ini menggambarkan cara Islam yang menitikberatkan mencegah lebih baik daripada merawat. Namun, jika ditanya kepada si pelaku, adakah mereka tidak mengetahui pengharaman zina? Jawapan yang pasti ialah mereka mengetahui hukumnya. Namun, nafsu sudah menguasai diri dan lebih kuat dalam menolak wahyu. 

Sebelum menuding jari ke pihak lain, remaja perempuan perlu mengetahui sifat mereka dari segi fizikal dan jiwa yang berbeza. Antara sifat wanita yang banyak dipergunakan lelaki adalah kelemahan dan kelembutan fizikal mereka. 


Begitu juga naluri cinta dan setia serta kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap pasangan membuatkan wanita mudah terpedaya. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum bersahabat dengan lelaki walau apa saja latar belakang mereka. 

Islam tidak membezakan lelaki baik atau tidak, tetapi menjelaskan bagaimana wanita dapat menghindari gangguan lelaki dengan menjaga penampilan diri. 

Firman Allah bermaksud: 

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59). 

Ayat ini memberi panduan kepada wanita menjaga penampilan supaya menutup aurat yang secara tidak langsung memberi gambaran kepada lelaki mereka wanita baik dan sukar digoda. Ayat ini juga antara janji Allah SWT bahkan syarat pertama bagi wanita mengawal daripada diganggu. 

Islam menitikberatkan tanggungjawab bapa mengawal anak gadis. Kaedah mendidik anak lelaki dan perempuan berbeza. Anak perempuan hadiah syurga kepada ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa memiliki tiga puteri atau tiga saudari atau dua puteri atau dua saudari dan mendidiknya dengan baik serta menjadikannya bertakwa kepada Allah, maka baginya syurga.” (Hadis riwayat Tirmizi) 

Syeikh Jamal Abdurrahman dalam kitabnya Athfal Muslimin Kaifa Rabbahum an-Nabiyyu al-Amin, menyatakan Nabi SAW melarang anak berusia 10 tahun tidur bersama dalam satu selimut dan dipisahkan tempat tidur mereka. 

Ayah juga perlu menjadi tempat bermanja bagi anak perempuan untuk mengelak mereka menagih kasih lelaki bukan mahram. Contohi saja kemesraan Nabi SAW dengan puteri kesayangannya, Fatimah. 

Walaupun Rasulullah SAW mesra dan cinta kepada anaknya, kecintaan itu tidak menjadikan Baginda mengambil mudah terhadap tanggungjawab anak. Baginda mendidik Fatimah mengikat tali hubungan yang utuh dengan Allah SWT bersesuaian manfaat agamanya. 

Sejarah Islam juga menunjukkan tanggungjawab menjaga anak perempuan terletak di bahu abang atau saudara lelaki. Malangnya, hari ini, abang atau saudara lelaki yang membuka ruang untuk adik mereka diganggu. Selain menjaga diri, ibu dan ayah, lelaki bertanggungjawab menjaga anak atau adik perempuan. Setiap manusia akan ditanya Allah sejauh mana mereka memenuhi amanah itu. 

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis 


2011/12/06

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...