Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SALMAN al Farisi bukan sahaja mengemukakan cadangan menggali parit tetapi beliau sendiri bersungguh-sungguh menggali dan terus menggali tanpa henti.
Namun sebagai pemimpin, Nabi Muhammad SAW tidak hanya duduk melihat dan memberi arahan. Baginda sendiri turut sama menyingsing lengan malah mencampakkan baju yang dipakai dengan turun mencangkul dan menggali parit tersebut bersama para pengikut yang lain.
Baginda sebelum itu membahagikan para pengikut baginda kepada beberapa kumpulan yang mengandungi 10 orang. Setiap seorang perlu perlu menggali empat hasta atau 40 hasta bagi setiap kumpulan.
Dengan pembahagian seperti itu, kerja-kerja menggali parit dapat disiapkan dengan segera.
Apabila peralatan untuk menggali tidak mencukupi baginda menerima cadangan sahabat, Abdul Rahman bin Auf untuk meminjam peralatan tersebut daripada penduduk Yahudi dari Bani Quraizah yang masih berpegang teguh kepada perjanjian damai antara mereka dengan Nabi Muhammad.
Baginda sendiri memulakan kerja-kerja menggali di Ajam Asy-Syaikhani dalam kawasan Herrah Al Wabarah.
Baginda menggali dengan bersungguh-sungguh sambil melawan angin sejuk lagi dingin yang bertiup kencang ekoran musim sejuk ketika itu.
Melihatkan baginda menumpahkan segala tenaga dan kudrat menyebabkan pengikut yang lain juga menggali dengan bersungguh-sungguh demi menjaga kota Madinah daripada dicerobohi pihak musuh.
Namun, keletihan tetap dirasai. Apatah lagi mereka menggali tanpa henti dan saat seperti itu baginda menyedari betapa pentingnya untuk meniupkan semangat kepada mereka.
Lalu baginda pun melagukan sebuah syair yang disambut dengan sahut menyahut para sahabat dengan gembira, bagi mengurangkan rasa letih ketika menggali itu.
"Wahai Allah, sesungguhnya kehidupan hanyalah kehidupan di akhirat, maka ampunilah kami, orang-orang Ansar dan Muhajirin!"
Lalu disambut oleh para sahabat yang lain: "Kami adalah kaum yang mengikat janji dengan Muhammad untuk berjuang selama hidup kami!"
Namun ketika mereka bertungkus lumus bagi menyiapkan parit besar yang digali hampir mengelilingi kota Madinah itu, maka dugaannya tetap ada.
Ini apabila hampir 300 golongan munafik menarik diri daripada menggali parit tersebut dengan segala macam alasan yang direka-reka.
Ia termasuklah kurang sihat, sakit disebabkan cuaca sejuk yang mencengkam, simpan tenaga untuk berperang dengan para musuh yang akan datang menyerang dan sebagainya lagi.
Tentu sahaja semua itu adalah strategi yang sama, ilham daripada bapa munafik, Abdullah bin Ubay sebagaimana beliau dan 300 pengikut yang lain menarik diripada Perang Uhud.
Tindakan jahat mereka itu benar-benar menimbulkan kemarahan para sahabat yang lain. Malah mereka mahu agar golongan itu dihalau sahaja dari Madinah.
Namun, daripada menyuruh golongan munafik itu menggali yang mungkin dibuat sambil lewa, banyak berbual dan bergurau senda, lebih baik mereka pulang ke rumah. Sekurang-kurangnya tidaklah menyakitkan hati yang lain.
Adapun, mereka yang lain tetap menyahut cabaran menggali parit itu sehingga berjaya. Menggali dan terus menggali seolah-olah musuh akan muncul pada bila-bila masa sahaja.
Mereka hanya berhenti untuk solat zuhur dan asar dan kemudiannya akan terus menggali sehingga senja dan esok awal-awal pagi mereka akan menyambung lagi kerja menggali.
Oleh kerana tanpa sesaat pun mereka membuang masa kecuali menggali parit, umat Islam 'melupakan' soal makan dan minum.
Andai lapar, dikatakan mereka sanggup mengikat ketat-ketat seketul batu di perut masing-masing sebagai cara menahan perut daripada dimasuki angin.
Ikat perut
Rasulullah SAW sendiri mengikat dua biji batu di perut baginda dan selagi mampu menggali tanpa perlu makan dan minum. Seluruh 3,000 Muslim juga terus bertungkus lumus menggali parit tersebut.
Dikatakan, kerja-kerja menggali parit dengan hanya menggunakan tenaga manusia itu mengambil masa 15 hari sebelum angkatan besar tentera musuh menghampiri kota Madinah.
Begitupun usaha untuk menggali parit itu hampir-hampir menemui kegagalan apabila di suatu peringkat ia dihalang oleh bongkah batu yang besar lagi keras, yang tidak dapat dipecahkan oleh mana-mana kekuatan manusia.
Jika batu besar itu tidak dipecahkan ia akan menjadikan seluruh usaha menggali parit itu sia-sia. Walaupun beramai-ramai cuba memecahkannya dengan cangkul dan penukul besi, namun tidak berjaya.
Akhirnya mereka bercadang membuat lencongan ke arah lain tanpa perlu memecahkan batu tersebut. Namun cadangan itu perlu diberitahu terlebih dahulu kepada baginda.
Apabila Rasulullah diberitahu, baginda datang melihat betapa besar dan pejalnya batu tersebut dan tidak mungkin dapat dipecahkan sekali pun menggunakan tenaga seribu manusia.
Lalu baginda pun meminta supaya batu tersebut disiram dengan air. Setelah seluruh batu tersebut disiram baginda pun mengambil penukul besi dari tangan Salman al Farisi.
Sambil membaca Bismilillah dan sedikit doa baginda pun mengetuk batu tersebut dengan kuat sehingga terkeluar percikan api daripada batu besar itu.
Batu itu akhirnya pecah dan terbelah kepada tiga bahagian yang besar-besar. Sekali lagi baginda mengetuk dengan kuat sebongkah batu yang besar sambil berseru dengan kuat: "Telah dibuka kepada saya akan negeri Syam dan demi Allah, saya telah melihat istana-istananya yang merah itu."
Kemudian baginda mengetuk pula bongkah batu besar yang kedua dan sambil menyeru: "Telah dibuka kepada saya akan negeri Parsi dan demi Allah, saya telah melihat istana-istana Madain yang putih."
Bongkah batu yang ketiga juga hancur diketuk oleh baginda yang turut menyeru: "Kepadaku telah diberi kunci negeri Yaman. Demi Allah, saya telah melihat dari dari tempatku ini pintu-pintu gerbang negeri Yaman itu."
Akhirnya, seluruh bongkah batu besar lagi keras itu dipecahkan dengan meninggalkan debu-debu dan pasir-pasir halus bagi memudahkan kerja-kerja menggali parit diteruskan.
Selepas kejadian itu, ada antara sahabat bertanya kepada Salman al Farisi akan maksud di sebalik seruan-seruan baginda yang mengatakan baginda dapat melihat suasana dan keadaan di negeri Syam, Parsi dan Yaman sedangkan perkara tersebut adalah sangat mustahil.
"Negeri-negeri atau kuasa-kuasa besar yang memerintah Syam, Parsi dan Yaman akan jatuh juga suatu hari nanti di tangan umat Islam, umat Nabi Muhammad.
"Sekiranya umur kita panjang pasti kita akan dapat melihat kesemua peristiwa-peristiwa tersebut," kata Salman.
No comments:
Post a Comment